Wednesday, September 26, 2007

Lapor Terus

Perarakan Menuntut Keadilan di Putrajaya!

MSO

BERJAYA dan selamat! Itulah yang boleh disimpulkan perarakan menuntut Keadilan dan Membersihkan Badan Kehakiman di Putarajaya yang bermula di Istana Keadilan ke Pejabat Perdana Menteri pagi ini yang berlangsung dalam suasana penuh bersemangat dan komited.

Berjaya kerana perarakan itu dikira yang terbesar diadakan sejak Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri yang melibatkan golongan profesional, khsusnya para peguam. Perarakan yang juga dinamakan, "Berjalan Sambil Menuntut Keadilan" itu, dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia.


Kira-kira lebih 3,000 menyertai perarakan itu yang sebahagian besarnya disertai oleh para peguam. Dengan mengenakan pakaian rasmi peguam; kot hitam bagi lelaki dan skirt hitam bagi perempuan serta setengah melilitkan kain putih di lengan kiri tanda "berdukacita', mereka berarak bagaikan ribuan gagak lahap penuh semangat sambil meneriakan laungan; "Kami Mahu Keadilan.. Kami Mahu Keadilan ... Kami Mahu Keadilan," bersahut-sahutan.

Berpadu laungan

Apa yang membuat bulu roma tegak berdiri ialah suara dan tuntutan itu berpadu dilaungkan anggota rombongan tanpa mengira bangsa dan warna kulit.


Sambil berjalan berbagai kain rentang juga dipamirkan menyuarakan tuntutan mereka, antaranya berbunyi "Rakyat Hakim Negara," "Judiciary has gone to the dogs" Judiciary has gone to the drain", "Selamatkah Kehakiman" dan lain-lain.

Sementara kereta yang lalu lalang di sepanjang jalan di Putrajaya masing-masing membunyikan hon sebagai tanda sokongan dam protes mereka terhadap apa yang menimpa badan kehakiman kini.


Perarakan 14 Ramadhan 1428 itu juga turut disertai sama oleh beberapa pemimpin parti politik pembangkang seperti PKR, Pas dan DAP. Antara pemimpin politik yang kelihatan Mohd Azmin Ali, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Angkatan Muda, Tian Chua, Ketua Penerangan PKR, Dr Mohd Hatta Ramli, Bendahari Agung Pas dan lain-lain.

Perarakan dan ilham tuntutan Majlis Peguam itu adalah ekoran daripada pendedahan klip video mengenai salah laku seorang peguam yang cuba mengaturkan badan kehakiman negara yang didedahkan oleh Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim minggu lalu.

Perarakan itu sepatutnya bermula pada jam 11: 00 pagi di mana rombongan diminta berhimpun di hadapan Istana Keadilan (Palace of Justic). Bagaimana pun ia terlewat kira-kira satu jam setengah kerana sebahagian rombongan lambat tiba disebabkan disekat oleh pihak polis.

Rombongan yang menaiki lima buah bas itu sampai di Putrajaya jam 10: 40 ditahan daripada memasuki jalan menuju ke Pejabat Perdana Menteri, dan semua mereka yang menaiki bas itu diminta berjalan untuk menuju ke Istana Keadilan sejauh lebih tujuh kilomter.

Aman dan tertib

Disebabkan menanti rombongan kedua inilah, perarakan menuju ke Pejabat Perdana Menteri tertangguh selama lebih satu jam dan perarakan baru bermula pada kira-kira jam 11:55 pagi.

Sepanjang perarakan itu walaupun ia dikawal rapi oleh ratusan polis berpakaian seragam dan awam ia berjalan dengan aman dan tertib. Sambil berjalan berami-ramai dalam keadaan santai menuju ke Pejabat Perdana Menteri, jeritan menuntut keadilan terus bergema sesekali latang dan meremangkan bulu roma.

Pasukan polis khabarnya dikerah sejak dari pagi-pagi lagi bagi menjamin perarakan itu berjalan lancar dan tidak menimbulkan sebarang masalah. Setiap ruang, simpang jalan dan jalan utama menuju ke Putrajaya diadakan sekatan jalan raya.

Walaupun di Pejabat Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi tidak ada namun ia dikawal rapi dari segenap penjuru. Waktu ini Abdullah bersama isteri sedang berada di Eropah dalam rangka menghadiri Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Sekurang-kurangnya lima buah trak yang membawa water cannon dan lima buah landrover yang membawa anggota FRU mengiringi perarakan dengan berada di sebelah jalan.

Kira-kira 200 meter daripada bulatan berhadapan masjid Putarajaya dan Pejabat Perdana Menteri, polis cuba untuk menghalang perarakan, bagimana pun tiba-tiba mereka berundur dan mengambil tempat dikira strategik, betul-betul di hadapan pejabat Perdana Menteri.

Rombongan perarakan sampai di bulatan kira-kira jam 12:45 tengah hari dan mereka beramai-ramai berhimpun secara aman di situ sementara menanti penyerahan memorandum yang dilakukan oleh Pengerusi Majlis Peguam, Abiga Sreenevasan, Naib Pengerusi Ragunath Kasevan dan dua yang lain.

Sementara menanti penyerahan memorandum selesai, tiba-tiba hujan turun namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat anggota rombongan dan orang ramai. Mereka tetap berdiri tanpa menghirukan hujan dan membiarkan baju seluar basah kuyup. Setengahnya ada berlindung di masjid.
Tanpa semburan


Sebuah helikeptor juga kelihatan berlega-lega di ruang udara memantau keadaan.

Kira-kira jam 1:30 petang Ambiga dan rombongan kelihatan keluar dari perkarangan bangunan pejabat Perdana Menteri untuk bersama rombongan perarakan yang sedang menanti di bulatan hadapan masjid.

Perarakan bersurai jam 2:15 petang dengan selamat dan jaya, tanpa semburan water cannon, pukul memukul dan menumpahkan darah. Namun natijah daripada perarakan sekejap tadi sewajarnya dipadang berat oleh Perdana Menteri kerana ia mempamirkan suatu mesej yang sangat jelas mengenai protes terhadap kredibilitinya! [putrajaya. 3:45 pm 26/09/07]

No comments: