Monday, September 10, 2007

Berita Semasa

Anwar Suruh Polis Jaga Disiplin

DATUK Seri Anwar Ibrahim kesal dengan tindakan polis melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup dalam usahanya untuk meyuraikan perhimpunan politik di Batu Buruk Kuala Terengganu malam tadi.

Katanya, pihak polis hendaklah lebih berhati-hati dan menjaga disiplin serta memelihara nyawa dan keselamatan orang ramai.

"Polis hendaklah menghentikan tindakan samseng mereka, tidak menjadi alat kepada golongan tertentu dan perlu menjaga disiplin perkhidmatan mereka," katanya penuh kesalan selepas menyampaikan ceramah sempena pembukaan pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bahagian Wangsa Maju, di Jalan Genting Klang sekejap tadi.

Dalam kejadian di Kuala Terengganu malam semalam dua orang yang mengikuti perhimpunan anjuran Bersih telah terkena tembakan polis. Seorangnya terkena di bahagian rusuk sebelah kini dan kini sedang dirawat di Hospital Universiti Sains (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Lelaki itu Suwaidi Abdul Ghani, 37 berasal dari Binjai Rendah Terengganu di pindahkan HUSM petang ini dari hospital Kuala Terengganu. Menurut maklumat dari Kota Bharu, lelaki itu dibawa ke situ untuk pembedahan bagi mengeluarkan peluru di dalam dadanya.

Suwaidi telah dibawa masuk ke bilik bedah HUSM jam 8.00 malam tadi.

Sementara itu seorang lagi lelaki terkena tembakan di bahagian leher dan kini di rawat di Hospital di Kuala Terengganu.

Menurut kenyataan pihak polis seramai 23 orang telah ditangkap kerana dikatakan terlibat dalam satu rusuhan di Terengganu.Beberapa orang telah direman dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu Anwar Ibrahim dalam ucapan ringkas sekejap tadi turut menyeru semua kaum di negara ini supaya bermaufakat untuk menjaga kedaulatan negara.

"Sudah sampai masanya Melayu, Cina dan India berpakat untuk mengangkat martabat negara ini," ujarnya.

Katanya keadaan negara ini semakin lemah berbanding dengan negara-negara lain dan termasuk juga dengan negara jiran Singapura.

Anwar hanya sempat berucap kira-kira 40 minit kerana terpaksa beredar untuk menghadiri satu lagi majlis politik di Sentul.

Majlis malam tadi kurang selesa bila mana orang ramai mengikuti ucapan Anwar dari bawah menerusi skrin besar yang disediakan, apabila ruang pejabat tingkat tiga penuh sesak. Sambil berucap beberapa kali Anwar menjenguk melihat keadaan di bawah menerusi tingkap sambil dilaungkan reformasi!

Turut hadir pada majlis malam tadi ialah Bendahari Agung PKR, Khalid Ibrahim dan Saifuddin Nasution Ismail selaku Pengarah Strategi Politik PKR. [12.40 10/09/07]

No comments: