Saturday, September 8, 2007

Bari Merdeka 3

Hussein dan Annuar Sama-sama Ada Dataran!
MSO
SEBAIK saja selesai upacara membaca sajak, Ayah Sin (Husein Ahmad, Tan Sri) tidak terus balik. Kesempatan berjumpa rakan-rakan yang dianggap sebagai adik dan anak-anaknya tidak dilepaskan peluang untuknya bermadah dan bernostalgia mengenai kegemilangan politiknya yang lampau.

Sekali lagi kami ke Cerana coffee house di Hotel Perdana. Beliau seperti menyambung semula perbicaraannya yang terhenti tadi apabila kami berangkat ke dewan PPK. Apa yang disebut tadi diulang sekali lagi. Ibrahim Ali dan Nik Mahadi TV3 sudah tidak ada. Ianya diganti oleh muka-muka baru antaranya Sabre Shafein (bekas Ketua Pemuda Peringat), Rosmadi Ketua Pemuda Umno Kota Bharu dan beberapa yang lain.

"Pagi tadi anak saudara saya datang ke rumah. Dia tanya 'bagaimana ayah dengan Umno?' Saya kata padanya aku tetap Umno, tetapi orang Umno yang ada hari ini aku tidak suka." Sudah lebih lima kali dia mengulangi cerita perihal anak saudaranya itu.

Menurut bekas Ketua Penerangan Umno itu, (foto) Umno hari ini sudah tidak seperti dulu lagi. Parti itu sudah dipenuhi dengan rasuah. Hari ini katanya rasuah (undi) dalam Umno bukan RM10 atau RM20 tetapi berjuta-juta. Betapa tidak bayangkan, orang yang tidak ada lesen kontraktor kelas A pun dapat projek berjuta-juta.

Sambil mendengar penjelasan itu, saya terpaling ke muka Rosmadi yang duduk bersebelahan dengan saya, dan sambil bergurau mengatakan, salah seorang ini, kerling saya ke arah Rosmadi. Muka Rosmadi berubah, dan beliau cepat-cepat menafikan. Katanya, "amba tidak... amba ada lesen ayah," Rosmadi terperasaan seakan Ayah Sin menyindirnya.

Ketua Pemuda Kota Bharu ini telah mendapat projek membesarkan jambatan Sultan Yahaya Petra Kota Bharu yang baru-baru ini dilakukan pecah tanah oleh Abdullah Ahmad Badawi. Beliau tidak buat sendiri tetapi diberikan kepada Read Land. Khabarnya dia senang-senang dapat dua tiga empat juta? Beliau mendapat projek itu adalah kerana hubungan baiknya dengan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini timbul berbagai cerita mengenai projek berkenaan. Ramai yang masuk tander (terbuka kononnya)! Ini termasuklah proxy Ibrahim Ali. Mulanya projek itu dikatakan telah diperolehi oleh Ketua Umno Bahagian Tumpat Noorzaidi Mohd Noor, kawan baik Annuar. Kononnya Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa yang terkenal baik dengan Noorzaidi telah 'menganugerahkan' kepada kawannya itu.

Ada juga cerita kononnya ia telah diperolehi orang lain atas pertolongan pihak istana Kelantan. Tetapi penamatnya, ia diperolehi oleh Rosmadi dan sekaligus menandakan betapa berpengaruh dan hebatnya Khairy Jamaluddin dalam 'membayangi' keputusan berhubung kelulusan sesuatu projek atau tender.

Begitulah cara pengagihan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 di Kelantan. Ia menjadi milik Umno seratus peratus. Mana-mana kontrektor yang tidak ada kunci dan suis dengan Umno, jangan haraplah nak merasa!

Begitu juga projek pembinaan Pusat Metrikulasi di Kok Lanas, pembesaran jalan Kota Bharu - Kuala Krai, pembesaran jalan Pasir Puteh - Semerak dan lain-lain semuanya diagihkan di kalangan Umno. Orang yang memperoleh projek Pusat Metrikulasi dan pembinaan Jalan Semerak - Pasir Puteh khabarnya senang-senang mengaut RM30 juta ke dalam poketnya sendiri.

Setengah kontraktor yang dihadiahkan projek itu tidak ada apa-apa pun pengalaman. Tetapi kerana baik dengan Umno dan sanggup "merasuah" atas nama derma untuk parti, maka mereka perolehi. Inilah yang dipersoal dan dikesalkan oleh Ayah Sin itu.

Sedang asyik kami berbicara tiba-tiba bekas Setiausaha Akhbar Annuar Musa, Rahime Yusuff masuk untuk duduk bersama. Belum elok benar Rahime membetulkan punggungnya, Ayah Sin mengulangi sekali lagi apa yang disebut sebelum ini, fasal anak saudaranya ke rumahnya itu.

Terkulat-kulat Rahime mendengarnya. Dan apa yang diluahkan Ayah Sin selepas itu sangat difahami Rahime, bahawa Ayah Sin menyindir bossnya, Annuar Musa, apabila Ayah Sin mengatakan ada pihak dalam Umno cuba menafikan peranannya dengan menjadikan sebagai veteran. "Kita dikatakan veteran, veteran ini makna orang tak ada apa-apa peranan. Veteran tidak veteran, cetung kepala ekor baru veteran. Dalam perjuangan mana ada veteran?" tambahnya menyinis. Rahime tidak terkata apa kerana hormatkan Ayah Sin. Mungkin dia malas basa.

Selepas itu saya sengaja melontarkan pertanyaan yang kurang menyenangkan Rahime iaitu berhubung pembinaan Dataran Kada di Kok Lanas. Saya sengaja tackle Ayah Sin untuk memberi reaksi ke atas projek berkenaan. Saya tanya berapa harganya, namun beliau tidak memberi apa-apa reaksi cuba mengatakan tujuan dia buat dataran Kada di Melor dulu untuk kemudahan petani dan bukan untuk tujuan menjadi pentas propaganda parti dan politik peribadi.

Saya mengajukan itu untuk memastikan apakah tuduhan mengatakan pembinaan Dataran Kada Kok Lanas menelan belanja melebihi daripada sepatutnya. Ia juga dikatakan tidak perlu dan membazirkan wang saja. Dataran itu tidak sedikit pun dapat membantu mempertingkatkan pendapatan petani dalam kawasan Kada melainkan dijadikan tempat menjalankan aktiviti Umno saja Ketereh saja.

Rahime begitu kurang selesa dan menafikan dengan mimik wajahnya mengenai dakwaan itu. Katanya pembinaan dataran tu menelan belanja tidak sampai RM1 juta. Apa yang Annuar buat itu katanya kerana dataran Kada Melor dan kemudahan yang sedia ada tidak dapat digunakan. Dan menurutnya dakwaan Ayah Sin itu tidak betul sebaliknya projek Kada di zamannya dulu banyak memberi manfaat kepada dirinya dan bukan petani. "Apa yang kita buat sekarang ini ialah memperbetulkan apa yang ditinggalkan," tukas Rahime.

Rahime mempersoalkan ini setelah Ayah Sin telah meninggalkan kami.

Apa yang dapat disimpulkan dari perbualan ringkas itu, ialah Hussein Ahmad tidak begitu senang dengan Annuar Musa. Beliau menyifatkan Umno hari ini dikuasai oleh orang-orang yang suatu masa dulu berusaha untuk mematikan Umno. Dan beliau begitu yakin Umno Kelantan tidak akan menang kalau ianya masih diterajui Annuar Musa. Beliau juga membayangkan Umno bukan saja tidak berjaya merampas Kelantan tetapi untuk mempertahankan kerusi yang ada pun sakit. [wm.kl 3:07 am]


No comments: