SUDAH menjadi amalan kebajikan Tengku Razaleigh Hamzah di sepanjang bulan puasa beliau akan mengundang rakan-rakan dan sahabat handainya berbuka puasa dan bertarawih di rumahnya. Panggilan itu dibuat ke atas rakan dan sahabatnya dari berbagai bidang dan profesyen, dekat dan jauh.
Ianya dipanggil mengkut giliran semacam sudah ada jadual khusus mengenai undangan ini pada setiap tahun.
Suatu perkara yang diperhatikan setiap kali Ramdan ada-ada saja sahabat ataupun rakan baru Tengku Razaleigh. Ini membuktikan bahawa beliau seorang yang ramai kawan dan suka menjalani hubungan silaturahim dengan sesiapa saja yang sudi. Mereka yang jauh di Pulau Pinang, Johor atau Terengganu juga tidak pernah mis hadir, walaupun sekadar untuk berbuka dan bertarawih dengannya.
Paling merujakan, ada yang dulu menghentam atau mengkritik pendekatan dan gaya politiknya, namun hari ini datang bersimpuh bersamanya seperti qari menghadap hafiz. Memanglah kebenaran dan keadilan itu selalunya lambat menjelma! Seolah-olah mereka mengambil kesempatan Ramdan yang mulia untuk berbai'ah semula dengan Tengku Razaleigh.
Melihat suasana ini menandakan kerendahan hati budi kerabat di-Raja Kelantan itu. Orang suka dengannya kerana beliau tidak memilih rupa dan bulu dalam berkawan. Beliau bukan sahaja berkawan dengan golongan ningrat, tetapi dengan orang tidak ada kerja juga termasuklah pencacai politik kelas kaki lima, atau kelas RM50. Semuanya digauli tanpa ada batas ataupun protokol.
Mereka yang diundang dan hadir berbuka puasa dan bertarawih di rumahnya tergolong dari semua jenis dan kelas manusia. Dari kerabat, hinggalah rakan politik, ekonomi, budaya dan para penulis. Terbaru para bloggers yang berminat untuk mengkaji pemikiran ekonomi dan politik bekas Menteri Kewangan itu juga hadir.
Majlisnya tetap meriah meskipun beliau bukan seorang menteri atau bekas Timbalan Perdana Menteri. (Tidak dapat saya bayangkan bagaimana majlis-majlis seumpama itu ketika beliau menjawat jawatan menteri atau sewaktu ada kuasa dulu) Apa yang menyenangkan orang, setiap tetamunya disambut sama rata tanpa mengira kelas dan juga status seseorang.
Kalau beliau bersalam dengan bekas eksekutif syarikat GLC dan bertanya khabar, begitu juga bila beliau bersalam dengan penyokong setia kalangan marhean akan diaju soalan yang sama; lama tak jumpa, you sihat ke? Inilah keistimewaan Tengku Razaleigh. Beliau tidak seperti setengah orang politik, baru jadi Exco belum habis sepanggal tetapi sombongnya melebihi artis kampungan.
Sesiapa yang mengenali dan pernah bercakap dengannya akan merasai ketinggian budi dan kerendahan dirinya.
Untuk puasa tahun ini penulis / blogers nampaknya diistimewakan. Belum habis minggu pertama sudah diundang untuk berbuka dengannya. Saya tidak berkesempatan kerana terpaksa ke Kota Bharu untuk mengikuti satu perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu berhubung petikaian dua pihak tentang binatang berjanggut.
Hari ini manusia bergaduh bukan saja fasal balak, tanah dan sungai, tetapi fasal binatang berjanggut juga bergaduh macam nak rak - sampai tuduh menuduh tipu dan sebagainya. Satu pihak tetap berdegil macam tenggling mampus, dan satu pihak lain yang beriya-iya mahu menyelesaikan masalah itu kerana kesiankan kepada bintang berjanggut berkenaan.
Malam tadi satu lagi majlis berbuka puasa diadakan oleh Tengku Razaleigh. Para jemputan kali ini ialah rakan-rakannya di kalangan bekas pegawai tinggi kerajaan dan juga bekas-bekas pemimpin politik.
Kehadirannya mengalahkan jemputan para menteri. Nampak sekali kemeriahan majlis malam tadi. Kehadiran rakan politiknya baik dalam Umno ataupun bekas pemimpin Semangat 46 tidak mengejutkan. Tetapi kehadiran bekas-bekas pengawai kerajaan dan juga CEO dalam syarikat GLC memeranjatkan kerana di majlis berbuka puasa anjuran menteri atau bekas timbalan perdana menteri pun mereka tidak pernah kelihatan!
Keadaan ini ditambah pula dengan hadiran beberapa orang penulis dan penganalisa politik yang selama bertahun-tahun tidak berani mendekati Tengku Razaleigh kerana mereka begitu kasih dan taksub kepada pemimpin yang dilihat berlawan dengan Tengku Razaleigh ketika itu. Kemeriahan ini semacam ada perkembangan dan semangat baru yang sedang berlaku di sekitar Tengku Razaleigh.
Kurang dipasti pula, apakah kalau Dr Mahathir Mohamad tidak berada di IJN pada masa ini beliau juga akan turut hadir sama atau tidak malam tadi. Ini kerana Setiausaha Akhbar Dr Mahathir, Saufi Yusuf turut hadir siap dengan songkok tinggi dan tersenyum sepanjang masa, rancak menceritakan mengenai perkembangan kesihatan bekas PM itu.
Seperkara yang menyerlah pada majlis-majalis Tengku Razaleigh akhir-akhir ini ialah kehadiran dan komitmen para sasaterawan dan budayawa negara. Mereka satu demi satu hadir ke sisi Tengku Razaleigh bagaikan si camar tumpang berteduh di hari hujan.
Mereka yang seolah sudah hilang tempat bergantung bagi mengadukan remuk radam hatinya terhadap pengkhianatan dan ketidakpekaan dan kepedulian Kerajaan ke atas Bahasa Melayu dan juga ke atas hak-hak keistimewaan Melayu.
Walupun mereka tahu, dalam keadaan hari ini Tengku Razaliegh tidak dapat berbuat apa-apa hanya boleh bercakap dan berbicara seperti mereka, namun kehadiran mereka seakan membawa harapan supaya Tengku Razaleigh menjadi jurubicara dan penterjemah hasrat murni mereka untuk bangsa dan negara.
Malam tadi kelihatan tokoh-tokoh budayawan dan bahasa seperti Hassan Ahmad, Tengku Alaiuddin, Awang Sariyan serta beberapa orang kerabat Gapena yang mewakili Prof Ismail Hussein. Mereka semua nampak serasi dengan Tengku Razaleigh Hamzah.
Mungkin golongan intelektual ini sudah membaca dan mempunyai pengalaman bahawa pemimpin lain yang mereka harapkan medaulatkan bahasa dan bangsa menghampa dan mengecewakan. Dan mereka melihat bahawa satu-satunya pemimpin era Tun Razak yang masih utuh menjaga dan rajin berbicara mengenai Melayu ialah Tengku Razaleigh Hamzah.
Tidak terlupa juga turut hadir sama malam tadi ialah beberapa orang yang sebelum ini dikenali sahabat dan pendokong bekas TPM Anwar Ibrahim. Sejak akhir-akhir ini mereka ini sering kelihatan di majlis-majlis Tengku Razaleigh. Apakah kehadiran mereka kerana kesunyian ataupun bertujuan ingin menghubungkan talisilaturahim antara Tengku RAzaleigh dengan Anwar!
Apapun tip yang paling baik semalam ialah mengenai pilihan raya. Menurut Pengerusi SPR Abdul Rashid Abdul Rahman yang turut juga hadir menjelaskan bahawa pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat. "Malam ini sah pilhan raya tidak akan diadakan!" katanya sambil berseloroh menjawab pertanyaan saya. "Jadi bila..?" tanya saya, Rashid terus ketawa terkekeh-kekeh sambil berjalan dan menggelengkan kepala! [wm.kl.23/09/07]
No comments:
Post a Comment