Monday, September 17, 2007

Sayang Kelantanku...

Sebaknya Hati Melihat Keadaan Jihad Ternak.
MSO

PENGEMBALIAN ke Kelantan semalam (16/09/07) saya sempat singgah di ladang Jihad Ternak di Rong Chenak. To' Uban Pasir Mas. Sambil melaram di Pasir Mas untuk mencari nyira kelapa teringin untuk menjenguk ke ladang kambing berkenaan. Agak lama juga tidak menjenguk ke situ. Sebenarnya hati sudah tawar dan hambar untuk melihat ladang kambing usahasama antara Mohd Amin Pipit - Fauzi Daud dengan Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia Berhad itu yang direstui Kerajaan Negeri Kelantan dan dicetuskan oleh orang baju merah petak-petak itu. Al maklumlah, projek berkenaan tidak mencapai sasaran yang dihasratkan!

Begitu sampai di ladang berkenaan hati terus diusik sayu dan ditindih kehibaan. Suasananya tidak ceria dan sumaringah seperti dulu. Seperti ketika projek itu mula berjalan penuh mesra dan persahabatan antara kedua rakan kongsinya.

Suasananya muram dan masam. Tempat itu tak ubah persis tempat keras di mana menurut orang tua-tua di tempat keras bila ketika gerimis turun ia boleh meremangkan bulu roma. Saya melihat ladang itu bukan mengembirakan tetapi menyeramkan! Itulah yang terbata dalam mata petang semalam.

Bagaimana pun kedamaian dan kebersihannya masih terjaga. Rumput napiar yang ditanam sudah mulai tumbuh menghijau. Rumput itu subur dan berlumba untuk berbudi kepada alam tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di sekelilingnya. Longgokan sampah sarap di tengah padang ragut sudah diangkat atau dibakar. Suasananya menjadi bersih dan tenang. Lapang tetapi kosong!

Tembakan pistol

Suasana ini juga terbayang kepada pekerja ladang yang hanya tinggal beberapa orang saja. Mereka juga tidak ceria dan seperti dalam ketakutan. Wajah-wajah mereka juga turut menjadi kusam dan lemas. Mungkin gema tembakan pistol sebanyak tiga das di ladang itu masih menghantui mereka. Justeru setiap kereta yang menghampiri ladang berkenaan dicurigai dan menjadikan mereka berdebar dan takut. Bimbang peristiwa melepaskan tembakan itu akan berulang lagi.

Kira-kira 60 meter berhampiran kandang kambing itu, sudah kedengaran tembakan kambing dan biri-biri. Mereka bertebek bersahut-sahutan. Beekkk... beeekkk...seolah-olah meminta agar diselesaikan segerea kemelut dan masalah yang menimpa ladang itu. Hanya manusia yang berhati perut sahaja dapat memahami dan menterjemahkan raungan hiba binatang berkenaan.

Betapa tidak masalah ladang itu masih dalam dilema. Ia masih dalam perbicaraan di mahkamah anatara Mohd Amin - Fauzi dan Akademi. Kedua pihak sedang mendapat proses mahkamah untuk memiliki ladang dan kambing berkenaan. Kedua mereka kini seperti pasangan isteri yang sedang berhadapan dengan Tok Kadhi yang memohon untuk bercerai. Keduanya tidak dapat pandang muka antara satu sama lain lagi.

Yang jadi mangsanya kini ialah anak-anak yang tidak berdosa. Kambing dan segala macam makhluk di ladang itulah yang menjadi mangsa dengan keadaan sekarang ini. Mereka seakan terbiar dan dibiarkan oleh kedua ibubapanya yang sedang bercakar untuk bercerai.

Buat masa ini Mohd Amin - Fauzi menguasai kandang berkenaan. Manakala pihak Akademi tidak dibenarkn masuk atau melakukan apa-apa aktiviti seperti sebelum ini. Akademi sedang memohon perintah mahkamah untuk mengenepikan injuksi yang diperolehi Mohd Amin.

Semalam kedua pihak menerusi peguam masing-masing sudah menghadap Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi mencari penyelesaian. Pihak Akademi dikatakan telah mengemukakan injuksi balas ke atas injuksi yang diperolehi Mohd Amin. Tetapi penyelesaian masih belum putus. Khabarnya kedua pihak diminta hadir semula ke mahkamah itu pada 3 Oktober hadapan bagi mencari penyelesaian muktamad.

Proses sedang berjalan. Sementara keputusan selesai, ladang itu dalam keadaan dilema dan tidak ceria, kambing dan biri-biri yang ada di situ terus diancam masalah. Walaupun Mohd Amin berhak namun kuasa itu sementara sahaja. Keadaan inilah menjadi tumpuan seratus peratus kepada ladang itu sudah tidak ada. Kesan daripada itu menyebabkan ladang itu seakan terbiar dan membebankan.

Apa yang paling memeritkan ialah waktu ini kambing atau biri-biri di landang itu sedang beranak. Kesemua lebih 1, 700 ekor kambing dan biri-biri yang berada di situ dalam keadaan bunting. Sebahagian daripadanya sedang menanti saaat untuk melahirkan. Hari ini antara lima hingga lapan ekor sehari kambing atau biri-biri yang melahirkan anak.

Penjagaan rapi

Dalam suasana seperti ini haiwan itu memerlukan panjagaan rapi. Mana-mana anak kambing yang lahir perlu dirawat dan diberi bantuan. Makanan untuk ibu juga harus bergizi dan berkualiti. Sebaliknya apa yang berlaku sekarang ini tidak seperti mana sepatutnya. Kambing-kambing yang lahir itu dibiarkan tanpa diurus oleh manusia. Sudahlah pekerja tidak mencukupi semangat mereka juga sudah terjejas dengan apa yang berlaku kini.

Apa yang paling ketara ialah makanan sudah berkurangan. Penjagaan terhadap kambing juga tidak serapi dulu. Doktor juga tidak ada. Manakala pihak Mohd Amin sudah merasai perit untuk terus membekal makanan kambing bersendirian di situ yang jumlah semakin bertambah dari sehari ke sehari. Keseluruhan bebanan ladang berkenaan terpikul ke atas bahunya. Tahap penjagaan juga semakin meningkat dengan kelahiran kambing dan biri-biri baru.


Misalnya selama saya berada di situ tidak sampai setengah jam empat ekor biri-biri melahirkan lapan ekor anak. Disebabkan tidak cukup kakitangan anak haiwan itu dibiarkan begitu saja kepada ibu mereka. Apa lah yang boleh diharapkan kepada seekor ibu kambing untuk menjaga anak-anaknya dalam susana kalut dan ramai begitu.

Anak-anak kambing yang masih lembek itu terbiar begitu saja, tanpa dipedulikan sesiapa. Kalaulah ada manusia yang tidak tahu bertangungjawab, apa lagi dengan binatang bernama kambing, terdapat juga kambing yang sama dengan manusia seperti itu - tidak bertanggungjawab atau bersikap lepas tangan untuk menyelamatkan diri.
Saat melihat keadaan inilah hati jadi begitu tersentuh apabila mengenang apa yang berlaku ke atas ladang berkenaan. Suasana hiba dan sedih itu tidak akan berlaku kalau ladang itu diurus dengan baik. Kalau semua pihak bertanggungjawab, tidak tamak dan berpegang kepada janji asal, anak-anak kambing yang baru dilahirkan tidak akan terbiar berbelit dengan tali pusat ataupun kelemasan sehingga membawa maut.

Bagi mereka yang mempunyai perasaan kebinatangan dan perikemanusiaan akan menitis air mata melihat dan mengenang apa yang berlaku di Jihad Ternak sekarang. Tetapi bagi mereka berhati batu dan buat kerja macam kucing timbus tahi tidak merasai apa-apa melihat suasana yang menyayatkan itu. Mereka melihat panorama itu seperti mana musang atau tikus melihat kayu dan batu saja. Bahkan mungkin ada yang ketawa mengejek menyedari hal ini.

Menurut pengawal ladang berkenaan jumlah kambing di ladang itu kini sudah mencecah ke angka lebih 2,000. Mereka menjangka dengan kadar kelahiran hari ini (enam hingga 10 ekor) sehari dengan kira-kira 500 ekor yang sedang bunting dan menanti saat untuk melahir, landang itu akan mempunyai 2,500 sebelum menjelang tahun depan.

Penambahan ini sesungguhnya merumitkan keadaan dan membebankan kepada pihak yang mengawal ladang tersebut. Tidak mustahil kerana masalah dan bebanan itu menyebabkan kambing-ambing itu akan terus menjadi mangsa. Kerana kurang penjagaan dan makanan berkhasiat menyebabkan kambing itu akan mengalami sakit dan seterusnya akan mati begitu saja.

Keindahan dan kebahagiaan

Demikianlah lukisan dan realiti di ladang kambing Jihad Ternak di Rong Chenak hari ini yang dibangunkan atas hasrat suci dan murni untuk membantu rakyat Kelantan yang miskin. Keceriaan dan kesumaringahan yang wujud sebelum ini, seketika saja bak menjelmanya pelangi di senja hari. Ia mempamirkan keindahan dan kebahagian sekejap saja. Selepas itu ia hilang dan ghaib begitu saja dengan meninggalkan setitik nostalgia.

Begitu juga dengan keindahan dan seri ladang Jihad Ternak, ianya indah sekejap saja, kini ia sudah mula berbalam dengan kehuduhan dan keburukan yang menakutkan. Mungkin ramalan sebelum ini ladang itu akan menjadi tempat hantu dalam tempoh tidak berapa lama lagi akan menjadi kenyataan. Orang akan mengenangkan ladang itu nanti sebagai kubur korban pembunuhan orang-orang petah bercakap tetapi rapuh dengan janjinya.

Ketika melangkah meninggalkan ladang berkenaan, kambing-kaming terus bertebek sahut menyahut seakan terus memberi tahu masalah mereka dan memohon agar manusia-manusia yang membawaaya ke situ segera menyelesaikan kemelut yang berlaku. Mereka tidak mahu mereka yang tidak berdosa dijadikan mangsa amarah jahat mansia.
Dalam sahutan itu juga seakan terdengar seperti mereka minta agar dihantar pulang semula ke tempat asal mereka di Kaligeseng, Yogjakarta. Mereka seakan perit dan tidak betah untuk terus mendiami dan senak perut berada dibumi Kelantan Darulnaim. Dan terdengar juga di telinga saya dalam sahut-sahutan itu seperti ada kambing yang menyumpah-nyumpah manusia yang munafik dan bersikap 'mulut manis jubur masam' (bikin tak seperti cakap) dengan projek berkenaan. [wm.kl 5.55 am 17/09/07]

No comments: