Umno Semakin Hari Semakin Buruk
BURUK dan busuknya Umnoku oh... bukan Umnomu! Umno yang mengakhiri persidangan peringkat bahagian hari ini meninggalkan beberapa tragedi dan peristiwa yang bukan saja busuk tetapi menakutkan. Segala macam keburukan, kejahatan dan kedurjaan nampaknya bersarang dalam Umno.
Sudah ada juga tanda-tanda bukan saja budaya samseng ala gedebe Kampung Dusun, tetapi budaya Tamil Elan juga ada.
Berbagai kejadian tidak elok dilaporkan berlaku di sepanjang mesyuarat bahagian Umno sejak sebulan lalu. Apa yang berlaku menunjukkan perkembangan tidak sihat sedang melanda parti orang Melayu itu. Empat bahagian ditangguhkan dan tidak dapat menyelesaikan mesyuarat mereka seperti mana dijadualkan. Kegagalan itu menjelaskan betapa Umno sedang berhadapan dengan masalah moral ataupun pentadbiran yang meruncing.
Empat bahagian itu dua di Kelantan masing-masing satu Perak dan satu di Negeri Sembilan.
Dua bahagian di Kelantan ialah Tanah Merah dan Pengkalan Chepa. Keduanya patut mengadakan persidangan semalam, namun ditangguhkan atas nasihat Ibu Pejabat Umno setelah merujuk kepada perundangan. Mesyuarat Umno bahagian Tanah Merah ditangguh ekoran bantahan ahli kepada ibu pejabat parti belum diputuskan.
Satu lagi bahagian ialah Pengkalan Chepa. Mesyuarat bahagian itu ditangguh atas arahan sepucuk surat dari ibu pejabat yang meminta agar semua cawangan dalam bahagian itu diadakan semula.
Satu bahagian di Perak di tangguhkan adalah di Larut. Masalahnya kerana pertikaian berlaku antara ketua bahagian itu Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dengan calon ketua, Hamzah Zainuddin. Hamzah dikatakan tidak berhak bertanding kerana beliau baru menjadi ahli Umno bahagian berkenaan. Kerana pertikaikan itu Raja Ahmad meminta agak mesyuarat ditangguhkan.
Manakala bahagian Seremban, Negeri Sembilan pula ditangguhkan, lagi teruk, apabila mesyuarat itu menajdi kecoh dan sampai baling kerusi. Dua ahli perwakilan dilaporkan mengalami cedera parah. Apa yang berlaku di Seremban hari ini adalah klimaks 'kemabukan kuasa' dalam Umno.
Jika diperhatikan apa yang berlaku dalam mesyuarat bahagian itu menunjukkan Umno berada dalam keadaan membimbangkan. Politik buruk, tidak bermoral yang sebelum ini berlaku dalam parti MIC, kini sudah diambil tempat pula oleh Umno.
Kenapa berlaku tragedi demikian? Apakah puncanya? Apakah yang menjadi ahli tidak berpuas hati dan terpaksa menggunakan kaedah atau mekanisme yang boleh mencemarkan maruah dan martabat orang Melayu? Kalau Onn Jaafar dan Tuanku Abdul Rahman masih hidup tentu mereka akan menangis melihat nasib dialami Umno kini.
Apakah kerana nilai atau pun pengagihan wang rasuah bagi menyokong calon tertentu tidak adil! Seperti mana diketahui umum masalah rasuah dalam Umno menjadi-jadi. Rasuah sudah menjadi budaya. Ahli sudah ada mindset, bahawa mereka hadir mesyuarat wajib diupah... dan menjadikan kehadiran itu sebagai sumber rezeki instant.
Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi ketika memberi pandangan berhubung kejadian di Seremban itu mengatakan ia satu kejadian yang memalukan. Siapa yang malu?
Memang memalukan. Umno sebagai parti tulang belakang dalam BN sepatutnya terhindar daripada terlibat dengan kejadian-kejadian memalukan itu. Dengan apa yang berlaku ia boleh menyebabkan parti komponen akan hilang penghormatan kepada Umno.
Jangan kesal dan salahkan orang kalau satu masa nanti MCA atau Gerakan atau MIC atau rakan dalam BN akan mempersoalkan wibawa Umno? Mereka akan hilang kepercayaan dan penghormatan kepada Umno. Dan jangan terkejut kalau mereka rama-ramai mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno bersendirian. Tidak mustahil.
Mungkin sebelum sampai ke perhimpunan agung Mac depan lagi banyak laporan kejadian tidak diingini dikemukakan. Menurut pihak Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudden Ismail pihaknya menerima 900 aduan berhubung salah laku disepanjang mesyuarat bahagian. Ini satu kes teruk.
Jumlah itu bukan sesuatu yang kecil. Ia angka yang menggerunkan dan perlu diberikan perhatian segera oleh seluruh ahli Umno. Sudah pasti angka aduan itu akan bertambah dari hari kesehari.
Melihat kepada masalah yang berlaku dalam persidangan peringkat bahagian yang penuh dengan masalah, kelam kabut, pertikaian dan bantah membantah itu apakah berkemungkinan persidangan Umno untuk semua bahagian akan dibatalkan dan diadakan semula?
Segalanya bergantung kepada keputusan Lembaga Disiplin yang akan membuat kajian dan penilaian. Kalau ianya dibatalkan maka sekali lagi Umno mencatat satu lagi sejarah hitam dalam usianya sesudah 62 tahun. Tidak mustahil semua ini, tidak mustahil! [wm.kl. 09/11/08]
1 comment:
Najib kata tiada tempat bagi calon UMNO dalam UMNO bagi mereka yang menggunakan politik WANG.
Sebenarnya yang berlaku adalah...Tiada tempat bagi calon UMNO dalam UMNO bagi mereka yang tidak menggunakan politik WANG.
UMNO!!!!!...Kalau ini tidak boleh dibenteraskan....jangan nak dok cerita perjuangan BANGSA,AGAMA DAN TANAH AIR
Post a Comment