Friday, May 8, 2009

Ulasan Politik Tempoyak

Sidang Dirasmi Selepas Berperang

DRAMA politik demokrasi yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam ditafsirkan dengan berbagai-bagai. Peristiwa itu dilihat dengan berbagai pengertian dan diterjemahkan dengan berbagai rasa. Peristiwa itu juga menjadikan pemikiran kita terbata-bata dengan berbagai perasaan. Marah, geram, malu, sedih dan sebagainya. Seribu perasaan bermain dan berperang dalam kepala kita.

Ia bergantung bagaimana kita melihat peristiwa itu dan di belah mana kita mereng, ke kanan atau ke kiri. Sekiranya kita berada di sebelah Pakatan Rakyat (PR), kita merasakan pihak PR yang benar dan perlu ditaburkan simpati. Jika kita menerima pertukaran kerajaan secara sim silabim itu satu kudeta maka yang perlu ditumpahkan simpati ialah PR.

Mereka yang berhak ke atas Dewan berkenaan. Speakernya S Sivakumar tidak sepatutnya dihina dengan diusung dan dicampak ke luar kerana kedegilan atas prinsip yang beliau yakini dia dipihak benar.
Sebaliknya kalau kita berada di sebelah UBN, kita merasakan UBN yang benar. Ganesan yang dilantik menjadi speaker itu berhak mengambil alih tempat S Sivakumar dan meneruskan persidangan Dewan. Sekiranya Pakatan menerima perlantikan Ganesan itu kekecohan seteruk yang berlaku tidak mungkin terjadi, sampai Sivakumar terpaksa dilempar ke luar.

Tetapi tentunya mereka yang berpihak kepada mana-mana pihak ada alasan dan hujah sendiri kenapa mereka bersetuju dengan PR dan tidak bersetuju dengan UBN, atau sebaliknya. Mencari kebenaran dalam hal di Perak ini merupakan polimek yang berpanjangan. Ia tidak ubah seperti mengesan kuman dalam pasir tanpa menggunakan mikroskop berkelas tinggi dan canggih!

Tidak ada kata putus yang dapat disimpulmatikan mengenai hal ini. Mengenai kekecohan yang berlaku itu, boleh diterima atas kepercayaan kejahatan dibenarkan dalam politik demokrasi. Maka setiap apa yang berlaku dalam politik adalah benar belaka atau salah semuanya. Justeru politik demokrasi memerlukan orang yang bermuka tebal, tidak makan saman dan bersedia menjilat segala ludahnya sendiri. Sedia bermuka-muka dan kadang-kadang kena menjadi lembu kenyang.

Saya sudah huraikan sifat-sifat dan ciri-ciri yang harus ada dalam politik atau menjadi seseorang ahli politik. Mereka kena harus mempunyai 4C (si) – pandai memanipulasi, tahu mengeksploitasi, bijak membuat spekulasi dan sedia untuk bersikap hipokrasi.

4C ini cukup penting. Sesiapa atau puak yang cuba mengurangkan empat syarat ini atas dasar tidak mahu berdosa, menganiaya orang dan sebagainya mereka akan gagal dalam politik. Mereka yang meninggal salah satu dari empat prinsip ini tidak harus berada dalam jelumun demokrasi.

Dalam mencapai cita-cita politik juga seseorang harus menjadi kontroversi bagi menarik perhatian umum dan sedia bersikap kuku besi bagi mengekalkan kekuasaan. Sebab itu politik yang ‘dingin’ (low profile) dan tidak mempunyai kekuatan kuasa akan mudah relai dan hancur.
Mengenai politik tempoyak di Perak, jika dilihat dari sudut tengah sebagai seorang warganegara yang mengharapkan kedamaian dalam demokrasi ia sungguh memalu dan mengaibkan.

Kekecohan seumpama itu pertama kali berlaku. Sepanjang perwujudan dewan-dewan undangan negeri di negara ini tidak pernah berlaku seorang speaker terpaksa diusung keluar oleh anggota polis macam mengusung gajah mati di tengah jalan. Apa yang berlaku di DUN Perak itu menunjukkan kehebatan orang Perak yang dirasuki oleh semangat Tok Saga!

Suasana semalam itu berlaku kerana semuanya ingin mempertahankan kuasa dan ego. Kononnya untuk mempertahankan maruah dan atas nama nak membela rakyat demi kebaikan dan keadilan. Tetapi kalau sampai DUN hampir meletus perang dan boleh mencedera para wakil rakyat, apakah itu kebaikan? Politik seperti itukah sesuatu yang diharapkan? Jika itulah jenis politik negara kita ini bermakna politik menjadi semakin tidak sihat dan menghidap berbagai flu.
Saya tidak bersetuju dakwa-dakwi antara kedua pihak terutamanya kenyataan dikeluarkan Zambry Abdul Kadir jelas menggambarkan seolah UBN yang benar dan tidak sikit pun bersalah.
Gambaran diberikan Zambry apa yang berlaku itu seolah PR biadab dan kurang ajar serta tidak menghormati Dewan, menggunakan undang-undang rimba serta tidak mrnghormati institusi raja adalah melampau. Zambry tidak sepatutnya selancang itu sebelum menoleh ke belakang dan melihat rentetan kenapa berlaku demikian.

Sebagai pihak yang kena main dan kena tipu dan tidak dilayani dengan keadilan, PR perlu mempertahankan diri dan haknya dalam keadaan bagaimana sekalipun. PR mungkin menyedari bahawa proses demokrasi menghalalkan demikian, tetapi bagi menunjukan mereka benar mereka berhak membelanya.

Seperkara yang perlu disedari tindakan Adun PR kerana mereka didokong oleh rakyat. Kalau rakyat di luar tidak mendokong mereka, mereka tidak akan bertindak rakus dan berani begitu. Dengan sokongan rakyat ini jelas menunjukkan bahawa tindakan dan cara politik UBN itu ditolak rakyat. Manakala bukti paling jelas sekali rakyat Perak menolak UBN ialah semasa pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang yang baru lalu.

Bagaimana pun jalan penyelesaian masih ada. Kekecohan dan perang tempoyak boleh ditamatkan kalau kedua pihak sedia berdamai. Kedua pihak harus menerima prinsip demokrasi di mana kejahatan boleh dilakukan maka kena bersedialah kalau kejahatan itu tertampal ke muka masing-msing. Dalam hal ini disebabkan kekuatan fizikal PR lemah maka PR harus menerima segala natijah yang berlaku termasuk nasib speaker mereka yang terpaksa diusung keluar.

Manakala UBN pula sekiranya mereka ada maruah, mereka boleh mencadangkan kepada Sultan agar bubarkan Dewan dan adakan pilihan raya semula. Keadaan yang berlaku di Perak tidak akan aman dan lendik sampai ke bilapun selagi Dewan Undangan Negeri tidak dibubarkan. Saya yakin sekiranya UBN memohon untuk bubar DUN, pasti Sultan tidak akan menolaknya.

Tetapi kerana politik itu membenarkan kejahatan, tidak mungkin UBN akan berbuat demikian.

Jadi, jadi... politik Perak akan terus bergolak dan berasap macam api dalam sekam sehingga tamat parlimen penggal ke 12 ini. Itu sahaja. Apa akan tercatat dalam sejarah dengan apa yang berlaku semalam ialah; pertama, betapa peritnya seseorang itu untuk menjadi Menteri Besar, kedua betapa azabnya seseorang yang hendak menjadi speaker dan betapa nasib seorang Raja turut sama seperti dipermainkan oleh demokrasi yang menggunakan pakai matlamat menghalalkan cara.

Bayangkan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah terpaksa berkurung dalam kamar diraja selama lima jam sebelum boleh membuka dengan rasmi sidang Dun. Sidang dibuka selepas perang! [wm.kl. 4:30 pm 08/05/09]

4 comments:

Mamak Penang said...

Salam,
Satu ulasan yang paling liberal dan adil setakat dari saya membaca bepuluh-puluh blog tentang kemelut politik Perak.Senang dengan ada penulis yang betul-betul adil dalam melapurkan berita dengan prinsip kewartawanan (journalism)yang pro!.Tetap kembali ke blog tuan...wassalam.

Al Fakirah Al Dusuni said...

Salam MSO..

Sangat bersetuju dengan apa yang MSO ulas. Untuk mengharmonikan keadaan Kedua-dua belah pihak kenalah bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian yang adil. Bukannya masing2 mendakwa pihaknya benar. Jalan paling adil ialah bubarkan DUN dan biar rakyat yang membuat pengadilan...habis cerita! Dan tidaklah sultan tercemar namanya dek kerana demokrasi 'matlamat menghalalkan cara'.

pak mat tempe said...

Syabas Pak MSO, Tulisan tuan tidak memihak kepada sesiapa dalam pertelingkahan itu tetapi memihak kepada kebenaran mengikut fakta. Teruskan menulis kerana ramai yang dapat berkongsi pandangan tuan dalam politik negara berdasarkan pengalaman tuan didalam penulisan buku2 dan majalah politi seperti Pak Subki, Syed Hussain dan lain2. Kita boleh berbeza pendapat tetapi kita tidak boleh mengatakan yang salah itu benar atau yang hitam itu putih jika terang didepan mata ianya hitam. Wassalam

Atan said...

Salam,
Siapakah yang tidak menghormati hak rakyat dalam kes di Perak ini? Itulah yang harus menjadi pertimbangan kita apabila memperkatakan hal ehwal Perak ini.

Semasa berkesempatan untuk melakukannnya, pihak yang berkuasa mengembalikan hak memimpin Perak kepada rakyat, harus melakukan demikian. Jika tidak kebencian rakyat terhadap pihak itu, yang belum pernah berlaku, akan kekal lama.