Sunday, May 31, 2009

Evolusi Politik

Evolusi Kopiah Dalam Pas

SELEPAS selesai menghadiri walimatulurus anak saudara belah isteri di Dewan MBSA di Shah Alam sore tadi, semasa pulang saya terpandang papan iklan besar yang memberitahu Parti Islam se Malaysia (Pas) akan mengadakan muktamarnya ke 55 pada 5 hingga 7 Jun depan. Satu lagi iklan yang mengalu-alukan kehadiran para muktamir. Iklan itu ditaja oleh Pas Selangor selaku tuan rumah. Di papan iklan itu terpampang gambar pemimpin kerohanian, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi Awang dan Hassan Ali.

Muktamar, bermakna perwakilan. Tetapi istilah ini tidak dipopularkan lagi kerana ada yang tidak berapa minat dengan istilah-istilah yang berbau Timur Tengah yang dianggap Islamik itu.

Golongan profesional suka menggunakan istilah moden dan ala barat. Istilah Timur Tengah sukar untuk disebut kerana lidah mereka tidak berapa fasih, lidah tebal! Mungkin suatu hari nanti muktamar akan dikenali dengan nama kongres. Baru ada kelas!

Begitu juga imej-imej Timur Tengah dan Pakistan juga hendak dihakis. Sebab itu saya kira kopiah akan hilang dari kepala ahli dan penyokong Pas tidak lama lagi. Iya, kopiah bukan segalanya dalam Pas, tetapi itulah identiti Pas. Kalau Umno berbangga dengan songkok, Pas boleh berbangga dengan kopiah. Barang kali elok kalau diadakan perlawanan kopiah dan songkok paling cantik.

Hari ini pun sudah ada ahli Pas yang tidak pakai kopiah. Sudah ada yang berani pergi dengan kepala gondol, orang Kelantan panggil dengan 'bojen sport' merasmikan mesyuarat Pas. Atau yang mengenakan kopian ketika hendak berjumpa Tok Guru saja dan bila sampai di Kuala Lumpur, susuk kopiah dalam kot.

Penghakisan budaya yang menempelkan imej Islam ini mungkin tidak dirasai dan sesuatu yang remeh temeh dan tidak perlu diperdebatkan.

Saya sendiri pernah ditegur oleh Bendahari Pas, Dr Mohd Hatta Ramli di sebuah kedai di Kampung Baru menjelang pilihan raya umum lalu. “Eh enta pun dah pakai kopiah..?” tegurnya buat-buat tak tahu semacam terkejut. Stail Dr Hatta. Tenguran itu berunsur bergurau tetapi ia memberi mesej yang dapat saya membacanya, tajam juga.

Sebenar saya pun bukan pengamal kopiah yang istiqamah macam Tok Guru Nik Aziz atau Abdul Hadi Awang, Nik Abduh ataupun Nasarudin Tantawi. Malam itu saya pakai kerana nak tutup kepala dogol selepas bercukur (tahlul) di Makkah.

Tetapi itulah yang berlaku. Kopiah ini mula memutih dalam Pas selepas berlakunya era kepimpinan ulama dalam Pas bermula sekitar tahun 80an. Saya pernah tulis dalam satu buku perubahan ketara dalam Pas pada masa itu selepas Pas dikuasai ulama ialah semua perwakilan Pas memakai kopiah dan membuang songkok. Bukan main lagi saya dimarah oleh ahli Pas. Iya, macam kena kecam hari nilah... kalau tak tahan dah lama jadi pengkritik parti. Tetapi saya rasa yang marah dulu sudah besar dan dewasa sudah tahu beza antara kura-kura dengan labi-labi.

Hari ini pula bukan kopiah hendak dibuang dan akan diganti dengan songkok atau kedua-duanya akan dibuang terus. Sekali lagi saya katakan, songkok dan kopiah bukan melibat aqidah.. terserah nak pakai atau pun tidak. Macam juga janggut, kalau dagu kita tidak subur, usahlah simpan janggut, nanti kalau naik pun 'renggah' macam ekor tupai kena hujan saja atau macam ekor burung cecawi.

Pun begitu walaupun soal kopiah, serban dan janggut ini perkara kecil namun ia akan menatijahkan impak besar kepada Pas. Sesuatu yang besar itu dicerminkan dari perkara-perkara yang seni! Perubahan mengenai budaya dan penampilan ini adalah imej. Sekarang ini pembinaan imej baru dalam Pas sedang dilakukan. Akan berlaku evolusi budaya dan penampilan tidak lama lagi.

Berbalik soal muktamar Pas tadi, kerana ada masa, saya memasuki ke stadium, Melawati Shah Alam tempat di mana akan berlangsung muktamar Pas minggu depan. Saja saya nak meninjau sekeliling stadium tempat berlangsung muktamar itu. Manalah tahu takut-takut ada pula orang yang pergi tabur bernas kunyit ataupun serbuk jampi.. al maklumlah mukatamr kali ini melibat pemilihan jawatan, untuk menang orang akan lakukan apa saja tidak kira halal atau haram.


Pemilihan pula hangat. Mereka yang terdesak nak menang akan melakukan apa saja. Kalau di meja bekas PM Abdullah Badawi di bangunan Umno ada ayat-ayat jampi dan kertas azimat diselit, tidak mustahil di stadium juga boleh berlaku begitu. Ooi... untuk menang kena buat macam-macam oi...!

Kenapa saya kata begitu kerana ada kerja-kejra tidak masuk akal dilakukan oleh orang politik tidak terkecuali Pas atau Umno. Bila terdesak nak menang apa saja orang suruh dilakukan walaupun ia tidak munasabah dan tahyul.

Kalau Umno menjelang pemilihan mereka akan berduyun-duyun pergi jumpa bomoh semua jenis etnik Siam, Orang Asli, Jawa dan Banjar. Mereka juga akan terbang untuk mengunjungi atau bertanya ramalan Kiyai-Kiyai di Indonesia. Di Tasik Malaya sana nak jumpa Abas Anom untuk tanya nasib dan masa depan sampai ada yang sanggup beratur berjam-jam dan pakai nombor pula.

Pas mungkin tidak ada yang parah sampai begitu, paling-paling kalau ada pun yang ralik berzikir, meratib dengan tasbeh ditangan tidak kira tempat dan suasana agar diri tidak lalaikan Allah dan senantiasa ingat Muhammad Rasulullah. Keadaan itu mungkin ada. Baguslah, sambil berdoa Tuhan bagi hidayat, dapat juga pahala akhirat.

Jadi pada tilikan saya tidak ada apa-apa pasir yang dijampi ataupun kertas bertulis macam azimat yang diletakkan di jalan masuk ke stadium Melawati Shah Alam petang tadi. Maknanya belum ada yang hendak main kotor sampai guna bomoh dalam Pas. Bagaimana pun Dr Haron Din yang terkenal sebagai pakar alam ghaib dan boleh berdialog dengan jin jenguk-jenguklah, mana tahu kot-kot ada terselit di mana-mana celah batu dan longkang, bukan apa untuk menjamin keselamatan muktamar dan muktamir!

Selamat bermuktamar round pertama. [wm.kl.8:00 pm 31/05/09]

No comments: