Sunday, June 16, 2013

Masa Untuk Pas, Umno Bela Rakyat

ULASAN SORE                                                                                      

Jaminan dan kesanggupan Pegerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed untuk menjadi orang tengah bagi menjalinkan hubungan kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri Kelantan sesuatu yang dialu-alukan oleh rakyat Kelantan. Bagi rakyat yang dahagakan pembangunan fizikal sudah tentu menyambut baik jaminan Mustapa itu. Jaminan itu merupakan satu sinar baru untuk rakyat Kelantan dan diharap akan menjadi kenyataan.

Jaminan atau pun tutur demikian juga pernah kedengaran sebelum ini di kalangan pemimpin Umno terdahulu terutamanya semasa berada di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, tetapi malangnya ia tidak pernah menjadi kenyataan. Kenyataan lunak dan jaminan sedemikian seakan sengaja ditaburkan untuk mengambil hati pihak tertentu saja. Ia tidak lebih daripada retorik politik untuk menunjukkan kononnya masing-masing komited untuk rakyat Kelantan.

Tetapi kali ini kita berharap apa yang dilafazkan oleh Mustapa itu akan menjadi kenyataan. Walaupun Mustapa juga pemimpin Umno biarlah Mustapa pemimpin Umno yang tidak bermulut busuk. Perkembangan politik hari ini khasnya yang melanda orang Melayu di seluruh negara perlu dijadikan iktibar.


Mustapa juga tidak perlu mengambil sikap berdendam atau sengaja mahu menganaktirikan rakyat Kelantan seperti mana diamalkan oleh selama ini. Beliau harus sedar perubahan minda politik dikalangan pengundi. Kemunculan generasi baru yang mahu tengok politik yang realistik perlu difikirkan.

Apa lagi hasrat agar wujud kerjasama kedua pihak, kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri Kelantan itu lahir dari hasrat dan harapan Tuanku Sultan Mohamad Ke IV sendiri. Ertinya Sultan Kelantan sendiri yang menganjurkannya. Dua perkara yang ditekankan oleh Sultan semasa bertitah merasmi persidangan Dun Kelantan untuk penggal ke pertama Dun ke 13 kali ini.

Dalam titahnya baginda berharap sangat agar lebuh raya (central spine road) di antara Kota Bharu ke- Kuala Krai dibina dan kerajaan persekutuan akan membantu Kelantan dalam masalah utilitis terutamanya air. Sewajarnya kalau kedua-dua pihak kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri mengutamakan kedua projek ini.

Mustapa dan Ahmad Yakob boleh menjadikan kedua projek ini sebagai batu tanda ke arah kerjasama lebih menyeluruh lagi untuk Kelantan. Kedua projek itu perlulah disiapkan dalam jangka yang terdekat ini. Misalnya masalah air bersih dan air jernih yang kesekian lama dihadapi rakyat Kelantan, perlulah diatasi dan penyelesaiannya dengan kerjasama bakal dibentuk itu.

Serentak itu juga pembinaan jalan berpusat (lebuh raya) dari Kota Bharu ke Kuala Krai itu juga perlu disegerakan dan ia boleh dijadikan jasa politik sebagai lambang kerjasama. Sebenarnya tidak ada apa-apa masalah untuk membangun kedua-dua projek yang disebut Sultan itu. Asal saja keduanya ikhlas untuk membela dan membantu Kelantan ia boleh dicapai dengan mudah. Syarat utama ialah ketepikan fahaman politik ekstrem.

Barang kali sebagai menada bermulanya kerjasama ini saya rasa oleh diadakan majlis letak kerja (batu asas) pembinaan lebuh raya berkenaan. Dalam majlis itu Mustapa sebagai mewakili kerajaan Persekutuan boleh sama-sama meletakkan batu asas dengan Ahmad Yakob. Mereka boleh sama-sama mengikat konkrit ataupun sama-sama memulas string jangkaut untuk memecahkan batu.

Acara itu akan menjadi simbolik paling bermaka untuk kedua-dua pihak khasnya Umno dan Pas di Kelantan. Bentuk kerjasama untuk kepentingan bersama dan rakyat itu tidak akan diterima oleh semua orang. Tidak ada yang menolaknya. Mana-mana orang yang menolaknya mereka merupakan antikan kerjasama dan perpaduan untuk membela rakyat Kelantan.

Pas tidak perlu curiga dengan kerjasama demikian. Dasar dan prinsip Islam Pas tidak akan luntur. Bahkan ia bertepatan dengan slogan dalam manifesto Pas, 'keberkatan, kemakmuran dan kebajikan'. Begitu juga dipihak Umno kerjasama sedemikian tidak akan melunturkan semangat nasionalis mereka. Umno boleh kekal dengan nasionalis dan sekularismenya manakala Pas pula kekal degan Islamnya. Jalan atau lebuh raya bakal dibina itu tidak akan memansuhkan prinsip dan dasar serta ideologi kedua-dua parti itu.

Sama-sama kita berdoa agar hasrat dan harapan ini akan menjelma segera, dan marilah sama-sama kita buktikan bahawa orang Kelantan boleh bekerjasama dan berpakat untuk kepentingan serta kebaikan bersama. Kita buktikan bahawa kita semua adalah; anak beranak belaka.

Kesempatan yang baik juga pada masa ini kebetulan Umno dan Pas dipimpin oleh tokoh yang berfikiran sedarhana, berasal dari kampung dan sama-sama beriltizam untuk memajukan anak beranak se kampung.  Baik Mustapa maupun Ustaz Ahmad Yakob saya rasa mereka juga mahu meninggalkan legasi istimewa untuk Kelantan dan juga mencatat sejarah tersendiri buat diri mereka.

Sebagai manusia, rakyat Kelantan dan pemimpin mereka juga tidak sanggup untuk menyaksikan ketegangan minda politik rakyat Kelantan kerana dibezakan dengan ideologi dan tafsir terhadap apa itu siasah. [wm.kl.7:28 pm 16/06/13]

2 comments:

firdaus said...

Anak beranak belaka - great word

SantaidariUK said...

asm Tuan Mso.sungguhpun Malaysia sudah lama merdeka tetapi amalan menghukum dan menafikan hak majoriti rakyat yg mengundi selain BN di sesebuah negeri seperti Kelantan,PPinang,Selangor,(Kedah & Perak sebelum jatuh) sudah lama berlaku dan jadi amalan turun temurun kerajaan federal BN!.Pewujudan pentadbiran lantikan kerajaan pusat di peringkat negeri2 yang dimenangi PR dan penafian hak peruntukkan utk Mp&Adun2 PR yg menang juga menyerlahkan lagi kezaliman BN sedari dulu lagi.Sampai bila agaknya kezaliman dan amalan demokrasi double standard begini mahu diteruskan BN?Apa jenis gaya pemikiran dan pendekatan politik hasil warisan legasi Bn dan Dr Mahatir!Tinggalkanlah amalan politik lapuk itu!Semuga tulisan Tuan akan menyedarkan mereka yang berkuasa di atas agar dpt berbuat sesuatu yang lebih bermakna buat rakyat.Hentikanlah politik hutan rimba ala Zimbabwe dan negara2 dunia ketiga yg sewaktu dengannya.wassalam