Sunday, June 30, 2013

PRK Besut Medan Ujian Pertama Buat Pas dan UBN

ANALISA                                                                                              

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Besut Terengganu kalau boleh dielakkan rasanya semua pihak mahu mengelakkannya. Lengguh dan letik semasa menghadapi pilihan raya umum lalu masih belum reda lagi. Tetapi kerana ia tidak dapat dielakkan hendak tidak hendak terpaksa dihadapi juga.

Namun bagi hantu politik mereka tidak merasa akan keletihan itu. Kekosongan mana-mana kerusi sesuatu yang dinanti-nantikan, konon kekosongan itu boleh dijadikan untuk menguji kekuatan parti masing-masing.

Sebaliknya juga bagi parti politik pilihan raya kecil pertama itu sesuatu yang membimbangkan. Terutamanya pihak UBN kerana pilihan raya itu amat mencemaskan mereka. Pilihan raya itu akan memberi natijah tersendiri kalau tiba-tiba UBN kalah. Kekalahan boleh menyebabkan berlaku sesuatu yang diluar dugaan di Terengganu.


Kekalahan UBN menjadikan kedudukan kerusi seimbang di antara UBN dengan Pas 16 - 16. Dengan kedudukan ini menyebabkan tidak ada siapa yang mendapat kelebihan kerusi dan berhak untuk menubuh kerajaan. Kerajaan sedia ada (UBN) bermasalah dan tidak dapat berfugsi lagi. Salah satu jalan terbaik atau kemungkinan diambil ialah Dun Terengganu dibubarkan.

Tertakdir berlaku demikian, kedudukan kerusi sama 16:16 - kalau ingin kepada keharmonian, menjimatkan wang rakyat, boleh dibentuk hanya dengan mewujudkan kerajaan bersama antara kedua-dua parti berkenaan.

Erti akan wujud kerajaan bersama di Terengganu. Untuk tujuan ini bolehlah jawatan MB digilir-gilirkan, dua tahun setengah seorang di antara Pas dengan UBN. Itu idealisnya. Tetapi Pas sebagai sebuah parti yang ghairah untuk mengganti Umno tidak mungkin akan bersedia. Pas akan merasakan lebih baik untuk diadakan pilihan raya semula. Kalau pun Pas Terengganu bersetuju atas 'maslahat' tertentu namun Pas Pusat akan menenangnya.

Situasi itulah maka menjadikan pilihan raya kecil Kuala Besut ini penting. Sebab itu saya katakan kalau ia boleh dielakkan, atau dibayar berapa sekali pun Umno Terengganu sanggup berbuat demikian. Kerana kalau bertanding ia belum tentu dapat meraih kemenangan dan UBN boleh meneruskan kerajaan yang sedia ada.

Pilihan raya kecil itu akan memberi signifiken kepada Umno dan Pas. Ia menjadi indikator kepada kedua-dua parti selepas berlangsungnya pilihan raya umum. Apakah perkembangan selepas pilihan raya umum berubah atau tidak? Pilihan raya itu akan memberi jawaban.

Wujud beberapa perkembangan selepas pilihan raya umum lalu, sangat diperhatikan oleh orang ramai bagaimana keputusan pilihan raya itu nanti. Pihak Pakatan Rakyat tidak menerima keputusan pilihan raya lalu atas alasan ianya dilakukan dalam keadaan tidak bersih, kotor dan penuh penyelewengan. Maka gerakan himpunan Black505 dilancarkan untuk menyatakan manifestasi itu. Kemuncak himpunan itu ialah di Padang Merbok dua minggu lepas.

Apakah perkembangan selepas pilihan raya itu akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat? Apakah rakyat khasnya di Besut menilai semua itu atau mereka tidak sedikitpun mengambil peduli. Memandangkan imbasan-imbasan (flash) mengutuk SPR berkenaan bersifat nasional saya tidak merasakan soal-soal tuntutan itu menjadi perhatian rakyat di Besut.

Dalam perhatian saya Black505 tidak memberi kesan besar kepada pilihan raya kecil di Besut itu, jauh sekali untuk mengharapkan pengundi di Besut akan membuat ralat besar ekoran kononnya berlaku penyelewengan dilakukan SPR berkenaan. Bagi rakyat Besut mereka mungkin pun tidak merasakan sedikitpun SPR bersalah.

Seperkara lagi bila bercakap soal pilihan raya kecil itu subjek tidak kurang peting ialah calon. Calon yang bakal diturunkan kedua-dua parti menjadi penentu. Kredibiliti calon menguasai 30% peluang kepada parti. Kemenangan UBN menerusi Allahyarham Dr Abdul Rahman Mokhtar baru-baru ini ialah kerana keistimewaan yang ada kepadanya. Beliau merupakan anak tempatan Pulau Perhentian yang suka bergelombangan dengan rakyat. Allahyarham juga mempunyai keperibadian yang baik dan disenangi orang bawahan.

Kelemahan yang ada kepada calon Pas, Nafisah Ismail ialah dia seorang perempuan dan kedua dia tidak dilihat tokoh yang mengauli rakyat. Sosio budaya di Besut berbeza dengan kawasan hampir pekan atau bandar. Maka ia memerlukan seorang calon yang bergaul dengan mereka. Dalam istilah lain calon-calon yang tidak berpijak di bumi akan ditolak.

Perbezaan gender juga menjadi persoalan baru-baru ini di mana masyarakat di Besut tidak begitu yakin dengan calon Pas seorang muslimat. Walaupun penampilan dan peranan wanita kini hampir sama dengan kaum lelaki, tetapi persepsi bahawa wanita itu tetap berada di bawah masih diterima.

Jadi dalam ulasan saya berhubung pilihan raya kecil Besut ini Pas sekiranya mahu menang atau setidak-tidaknya memberi tentangan kepada UBN sila kemukakan calon yang berpijak di bumi, seorang yang bergual dengan rakyat dan boleh bercerita mengenai ikan dan laut, pukat atau perahu. Calon-calomn branded dari atas kayangan rasnaya tidak sesuai. Kehebatan mereka dalam bidang mereka duduki baik agama atau perniagaan tidak banyak membantu.

Rasanya untuk pilihan raya Besut ini tidak sesuai kalau Pas meletakkan calon yang gah dengan nama atau profesyennya. Begitgu juga calon dari luar Besut tidak membantu. Pas harus cari anak tempat biarpun beliau itu bukan berkelulusan tinggi, atau berjebang lebat dan pandai membaca hadith dan ayat-ayat Quran.

Barang kali cukup kalau dia seorang juragan atau taukeh ikan di Kuala Besut. Apa yang perlu disedari masyarakat di pesisir pantai begitu suka kepada orang yang sehidup semati ataupun mudah ditemui. Kalau pun calon itu terkenal dan gah namanya di Kuala Lumpur ia tidak bererti kepada mereka.

Mungkin kriteria calons begini sedang diperhatikan oleh pucuk pimpin Pas Terengganu untuk diletak pada pilihan kecil Besut yang dijangka akan dilangsung bulan Ramdhan ini. [wm.kl.8:11 pm 30/06/13]





5 comments:

Martoiriat said...

Salam MSO..
Sama ada suka atau tidak pilihanraya tetap diadakan. Dalam PRK kali ini, PAS/PR perlu mengambil kesempatan yang terbaik kali ini untuk memulihkan imejnya setelah kecundang di PRU 13 baru-baru ini. Tidak mustahil bagi PAS/PR untuk memenangi PRK DUN Besut kali ini memandangkan PAS juga pernah menduduki kerusi tersebut. Begitu pun PAS perlu mempergandakan kerja dan kempen mereka dengan lebih tersususun dengan isu-isu politik semasa. Selain dari pemilihan calun yang wibawa, ahli akar umbi dan pimpinan atasan perlu komited dengan memberi komitmen yg lebih jitu untuk mencapai kemenangan. Justeru itu, jangan ada lagi kedengaran suara-suara sumbang dan kenyataan bodoh yang bertentangan dengan pucuk pimpinan sebagaimana di PRU 13 baru2 ini. Bermuafakat dan bersatu dalam apa sekali pun akan menjadi PAS/PR lebih kuat dan nampak berkualiti. Tanpa bersatu sekuat mana pun parti itu, mereka tidak kemana...

penyatarahman said...

almarhum dr rahman berbeza dengan pemimpin umno yg lain... boleh diumpamakan seperti almarhum dato razali ismail.. disayangi & dihormati rakyat...

istimewanya dr rahman kerana beliau diangkat & dicalonkan oleh rakyat (terutamanya para nelayan) kerana khidmatnya kepada masyrakat terutamanya kerana kliniknya yang mudah dikunjungi....walaupun seorang doktor, life stylenya simple sahaja...

dr rahman berbeza juga dengan pemimpin PAS yang banyak bercakap tapi kurang berkhidmat.... nampak muka pun sekali-sekala sahaja...
dr rahman lebih ikhlas & dihormati kakitangan kerajaan kerana senang dibawa berunding....

PAS adakah tokoh sebegitu: berkhidmat dengan ikhlas walaupun belum bergelar YB, senang dibawa berunding, mesra rakyat, sudah pun tersedia dikenali di mana2 sebelum menjadi calon, tak banyak cakap, kuat bekerja?

Dalam kes Kuala Besut ini, kewibawaan Dr Rahman mendahului ramai tokoh2 hebat dari PAS.

Izazulzilati said...

Ledakan ekonomi sementara akan berlaku di K. Besut, khasnya. Inap desa, hotel bajet, kedai kopi waima resort-resort sekitar Tok Bali pun akan penuh selepas raya nanti - saya jangka prk diadakan selepas Eid Fitri.

Flights KUL-KBR akan hampir penuh semasa tempoh ini. Kelantan juga akan merasa tempias spill over effects-nya.

penyatarahman said...

Sementelahan berbicara tentang dr rahman, saya teringatkan juga tentang dr mahmud bekas adun di kuala berang.

Jika dikaji tentang sejarah mereka, ada persamaan yang ketara, iaitu kedua2nya telah pun sedia terkenal di kalangan masyarakat sebelum mereka terpilih menjadi wakil rakyat. Ini kerana mereka masyhur dengan kemesraan & khidmat ikhlas kepada masyarakat.

Oleh sebab itu, terfikir saya satu teori untuk menjana kemenangan di kerusi2 yang PAS mengalami kekalahan. Saya juga berpendapat, PAS sendiri tidak menyediakan calon2 yang hebat ketika tarikh PRU diumumkan. Ada yang last2 minute dicalonkan malah ada kerusi yang bertembung seakan2 PAS sendiri tak bersedia untuk pilihanraya. Jadi sebaiknya disediakan calon berkaliber 5 tahun sebelum PRU bermula. Teori ini saya namakan 'Melahirkan Calon Boleh Menang Dalam Tempoh 5 tahun'.

Saya mencadangkan agar setiap kawasan yang dipilih melantik tokoh2 untuk diperkenalkan sebagai calon untuk PRU 14 bagi tempoh 5 tahun akan datang. Walau bagaimanapun, statusnya wajib dirahsiakan. Tetapi, tokoh yang dipilih akan diasah & digilap karekternya dalam tempoh 5 tahun. Dia juga akan dibantu sehabis-habisan untuk mendapatkan kepercayaan rakyat. Jadi, untuk menjana projek ini, tokoh tersebut perlu bergiat melalui kapasiti peribadi tetapi dibantu oleh jemaah.

Sebagai contoh, jika dia seorang doktor, jemaah akan bantunya establish kliniknya sendiri. Jika tokoh ini seorang pendidik/ ustaz, jemaah akan bantu establish pusat pendidikan. Jika tokoh ini seorang usahawan, jemaah akan bantunya establish pusat perniagaan.

Masalah sekarang, PAS gagal membentuk calon berkaliber lebih awal daripada tempoh pilihanraya. Itu yang jadi haru-biru. Cubalah lantik calon 5 tahun lebih awal, lalu gilap karisma masing2 seawal mungkin. Contoh, kalau target mahu menang di Kuala Berang, pilih calon untuk PRU 14 SEKARANG dan bantu calon itu establishkan namanya awal2 lagi. Tempoh untuk menumpang pengaruh calon yang dilantik last minute sudah berlalu. Lantik calon 5 tahun lebih awal & bantu calon itu untuk menang.

Wallahu a'lam. Hanya cadangan.

penyatarahman said...

Saya sambung lagi tentang Teori Melahirkan Calon 5 tahun sebelum PilihanRaya.

Orang Melayu ini memang kurang cerdik dari segi politiknya, tetapi amat kental dalam hal mengenang budi. Itulah sebabnya UMNO kekal menang, kerana orang Melayu mengenang budi yang konon2nya teramat banyak itu.

Oleh sebab itu, saya rasa teori ini perlu diperkenalkan terutamanya dalam kawasan hulu & pedalaman.

Saya lihat trend sekarang, main tangkap muat sahaja calon. Contoh, dalam kawasan A, dipilih seorang calon Y. walaupun Y berasal dari kawasan A, tetapi Y hanya nampak muka 2 minggu sebelum pilihanraya umum. Budinya tak dirasai penduduk tempatan. Kita perlu terima hakikat. Orang Melayu tak memilih berdasarkan akal & kelayakan calon, tetapi lebih memilih atas sebab budi & khidmat. Jadi, perlu ubah cara kerja. Walaupun nanti ada yang pertikai, tapi ikhlaskan niat terlebih dahulu & taburkan budi dalam memori rakyat 5 tahun sebelum pilihanraya bermula.

Sebagai contoh, kita mahu menang di kawasan A, kita lantik dahulu Dr.S sebagai calon pilihan. Jemaah akan bantu Dr.S bina kliniknya & menyertai program2 khidmat masyarakat. Dr.S juga akan beri tazkirah & khutbah di masjid2 atau surau2 kawasan A. Dr.S akan turun ke kenduri kendara, menziarahi kematian & lain2. Tiap2 jumaat ambil peluang ziarah masjid2 berbeza dalam kawasan A. Dalam tempoh 5 tahun, lebih darpada cukuplah untuk dikenali rakyat. Kalau 2 minggu memang tak cukup. Yang penting, nama Dr.S digilap habis-habisan.

Hakikatnya, rakyat sekarang lebih memandang kepada servis berbanding retorik. Kurangkan bercakap,lebihkan kerja. Lagipun taklah terjadi macam PRU13. Esok dah nak mengundi, hari ni masih berebut kerusi. Bergaduh pasal calon jual pil kudalah,sosialislah, macam2 lagi..... Bersiap sedia lebih awallah lagi baik. Lagipun senang, kalau calon itu bermasalah, awal2 lagi boleh digugurkan. 5 tahun lebih baik daripada 2 minggu.

Wallahu a'lam.