Tuesday, February 25, 2014

"Mak akan simpan daging untuk saya walaupun sebesar jari" - Adnan

BELASUNGKAWA                                                                            

Jenazah ibu kepada Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakub, Saadiah Osman yang meninggal dunia di hospital pakar di Damansara, Selangor jam 10:50 pagi tadi selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Barak, Benus, Bentong Pahang. Allahyarham meninggal dunia dalam usia 84 tahun, akibat karang hempedu.

Adnan sedang memperkatakan sesuatu kepada rakan ibunya.
Allahyarham dirihat di hospital lebih sebulan dan menjalani pembedahan hempu kira-kira dua minggu lepas dan terus dirawat di ICU. Menurut MB Pahang itu, ibunya sihat setelah menjalankan pembedahan berkenaan tetapi keadaanya lemah dua tiga hari lepas setelah berlaku jangkitan kuman.

"Pembedahan sudah berjaya tetapi ada sedikit masalah jangkitan kuman," ceritanya.

Saat Allahyarham menghembus nafas terakhir semua anak-anaknya berada di sisi. "Ibu saya meninggal sebaik saja saya sampai, beliau hanya seakan-akan mahu menanti kehadiran saya untuk menemui Rabul Jalil," cerita Adnan ketika ditemui di tanah perkuburan. Sewaktu saya sampai talqin sedang dibacaakan oleh Mufti Pahang.

Allahyarham meninggalkan enam orang anak, 26 cucu dan 27 cicit manakala suaminya lebih awal meninggal.

Sebahagian yang datang memberi penghormatan di kubur.
Menurut Adnan ibunya merupakan seorang pejuang dan aktif didalam gerakan Melayu, Umno. Ramai kenalan dan rakan seperjuangan Allahyarham hadir memberi penghormatan terakhir. Jenazah disembahayng di masjid berhampiran kediamannya di Ketari Baru, sebelum menjelang Asyar.

Antara orang kenamaan yang hadir.
Turut sama memberi penghormatan terakhir dan ikut sembahyang jenazah dan menunggu sehingga upacara pengembumian selesai, Yang Dipertuan Negeri Melaka, Tun Abdul Khalid Yaakub juga bekas Menteri Besar Pahang. Lain-lain orang kenamaan atau tokoh politik yang turut hadir memberi penghormatan ialah Exco Pahang, Sarkar Shamsuddin, bekas Adun Benta, Suhami Ibrahim, Ahli MT Umno Suhaimi Shadan, Ketua Cabang PKR Pasir Mas, Dr Wan Suhaimi Wan Daud dan lain-lain.

Dalam perbualan perihal ibunya, Adnan bersama adiknya Hasnon Hisham menceritakan serba sedikit kisah ibunya yang dianggap sebagai seorang yang sangat menyayangi anak-anaknya dan baik dengan jiran tetangga.

"Kami orang miskin MSO, masa kecil kalau beli biskut merry, terpaksa dibagi dua atau tiga keping seorang untuk cicah air tea O. Jadi ibu sangat prihatin dalam hal ini dan dia akan pastikan semua anak-anaknya merasa, kalau tidak dapat banyak sekeping pun jadi," ceritanya mengenai keprihatinan dan sifat adil ibunya.

Begitu juga cerita Adnan, kalau di rumah ada orang bawa daging rusa atau pelanduk, ibu akan pastikan anak-anaknya semua dapat merasai. Dan kalau kebetulan saya tidak ada di rumah, dia akan taruh (simpan) untuk saya walaupun sebesar jari," cerita Adnan seakan menahan sebak. Matanya juga saya lihat sudah berkaca.

"Itulah kenangan atau kisah ibu saya. Dia seorang yang prihatin," tekannya lagi dengan nada duka mendalam. Adnan bagaimana pun reda atas ketentuan Allah s.w.t. "Saya ingat ibu dapat bertahan untuk setahun dua lagi, tetapi Tuhan telah lebih menyayanginya. Tidak ada apa-apa yang terkilan dengan pemergian ibu. Begitu juga adik beradik lain," tambahnya.

Dibawah khemah inilah kubur Allahyarham.
Keperibadian Allahyarham bukan saja menjadi kecintaan dan kasih anak-anak, cucu dan cicitnya, tetapi orang kampung juga merasa keadaan itu. Ini terbukti bila ramai kawan-kawan Allayaraham yang rata-rata sudah lanjut usia datang dari dekat dan jauh untuk memberi penghormatan terakhir baik semasa di rumah maupun ke kubur.

Beberapa orang yang sudah berusia saya lihat datang bersalaman dengan Adnan dengan air mata berlinangan. Mereka dilayan oleh Adnan dengan penuh kasih sayang.

"MSO, ini semua kawan-kawan ibu saya, mereka berkawan sejak dari muda hingga ke saat ini," ceritanya sambil memeluk seorang rakan ibunya penuh kasih sayang laksana ibunya sendiri.

"Itulah Adnan Yaakub, MSO, dia sangat perihatin dan menyayangi orang tua sebab itu ramai yang saya tengok yang datang menziarahi jenazah sejak dari tengah hari tadi hingga ke saat ini, di kubur ini," celah seseorang yang berada berhampiran dengan saya memberi tahu apa yang berlaku.

"Jadi saya tidak hairan kalau rakyat Pahang menyayangi Datuk Seri Adnan, sebab dia juga tahu menilai kasih sayang rakyatnya," katanya lagi, Saya tidak mengenali Datuk ini tetapi sangat cam wajahnya.

Kepada Datu Seri Adnan Yaakub dan seluruh keluarganya diucapkan takziah atas kehilangan ibubanda tersayang. Al Fatihah. [wm.kl.12:50 am 25/02/14] 

No comments: