Friday, February 14, 2014

Ada pemimpin Pas pujuk Khalid terus jadi MB?

CURI PANDANG                                                                                  

Ini satu maklumat yang tidak enak didengar tetapi dipercayai ia sudah beredar di bawah karpet dan di balik dinding rumah politik. Hukumlah sendiri dengan apa yang saya nak kisahkan ini, siapa yang baik dan jahat, siapa yang ikhlas dan munafik dalam persahabatan. Jangan marahkan saya, saya mengisahkan apa yang berlaku saja, khasnya kepada mereka yang tidak tahu.

Tetapi tentu saya akan dikatakan fitnah dan sengaja mereka cerita.

Dua hari lepas Dr Mahathir Mohamad ada menabur racun dalam politik puak Pakatan Rakyat apabila mengatakan Pas berhak untuk mendapat jawatan menteri besar. Alasan Mahathir mudah sahaja sebab Pas mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN Selangor  berbanding dengan PKR. Pas ada 15 kerusi manakala PKR ada 14 kerusi.



Memang kalau mengikut sistem demokrasi berpandukan kepada angka, kerusi MB wajar diberikan kepada Pas sebab parti itu mempunyai satu kerusi lebih banyak dari PKR. Barang kali orang Pas sudah mula mencongak akan kebenaran dan kemunasabahan itu. Dan mereka yang merasakan layak untuk menjadi MB, mula berfikir tentang itu.

Mungkin orang itu sudah tidur melentang dengan tangan di letak atas dahi, dan kaki bergedik-gedik. Mungkin dia teringat kepada kata-kata presiden Pas dalam muktamar di Kota Bharu dua tahun lepas yang berbunyi; syok juga kalau menjadi perdana menteri. Mungkin.

Jangan mudah berkhayal dan termakan dengan apa yang Mahathir lontarkan itu. Ia merupakan racun berbisa untuk memburukkan hati-hati orang Pas dan PKR. Kata-kata itu tidak lebih dari sejemput racun sakti boleh menjadikan orang gila bila terhidu dan termakannya.

Politik bukan sahaja setakat angka. Masih banyak perkara lain yang perlu diperhitungkan. Angka adalah pencapaian dan fakta, di mana fakta bukan sangat dijadikan asas di dalam politik. Fakta boleh diketengah dan diketepikan. Bahkan fakta dilupuskan begitu saja.

Yang selalu difikir dalam politik ialah kesan terhadap kepada sesuatu yang dibuat itu. Ini paling penting. Untuk menjadi MB, sesiapa sahaja boleh, tetapi apakah ia memberi natijah baik, dapat menyelamatkan keadaan atau tidak. Kalau jadi MB tetapi di sepanjang perkhidmatannya penuh dengan cabaran dan gelora ia tidak selamat juga. MB sebegitu boleh memburukkan keadaan akhirnya memusnahkan impian bersama.

Mahathir sendiri mempraktikkan perkara ini, tidak mempedulikan sangat kepada angka dan fakta walaupun dia seorang yang praktikal dengan angka dan fakta. Dia juga menghitung hal-hal lain lebih penting dari angka atau kelebihan kerusi atau undi.

Kalau boleh disebut dan ia relevan, cuba kita menjenguk apa yang berlaku di Pulau Pinang pada tahun-tahun sebelum 1999. Umno pernah memenangi banyak kerusi di negeri berkenaan. Tetapi kenapa jawatan Ketua Menteri tidak diberikan kepada Umno. Kenapa ia diberikan kepada Gerakan?

Mahathir tentu arif rahsianya atau pun tindakan politiknya itu. Kalau hendak tahu kenapa Mahathir berbuat demikian kenapa beliau pengecut untuk memberi jawatan KM kepada Umno sila tanya dia sendiri?

Begitu juga angka tidak memberi signifiken besar di dalam politik bahkan ia tidak diambil kira langsung. Benarkah kita hendak mengambil kira mengenai angka ini? Kalau benar dan ia merupakan perkiraan tepat dalam politik, ini bermakna Pakatan Rakyat sesungguhnya sudah layak diberi peluang untuk memerintah Malaysia.

Dalam pilihan raya lalu PR mendapat undi popular sebanyak 52% melebihi daripada apa diraihkan oleh Barisan Nasional dibawah 57%. Kalau Mahathir seorang yang menghormati kepada majoriti kenapa beliau tidak pernah mengatakan sepatutnya Pakatan Rakyat diberi peluang mentadbir negara ini kerana PR mendapat undi popular mengatasi UBN? Kenapa binti mengapa?

Barang kali Mahathir terlupa kepada situasi itu. Atau pun dia sengaja melupakannya kerana untuk memberi racun kepada Pas dan menampaknya pandangan ikhlas dan benar?

Saya yakin Mahathir sengaja memberi racun dan menahan lukah dipergentingan. Rasanya Mahathir tahu hakikat yang berlaku di Selangor. Mungkin dia memberi pandangan 'kunun'nya ikhlas itu selepas dia tahu apa yang dua orang pemimpin tertinggi Pas sudah lakukan. Beberapa hari sebelum beliau menabur racun itu, dua orang pemimpin tertinggi Pas dikhabarkan telah berjumpa dengan Khalid Ibrahim.

Dalam perjumpaan itu mereka memberi cadangan kepada Khalid agar terus menjadi MB dan tidak meletak jawatan untuk beri laluan kepada Anwar. Dalam kata lain Pas akan sedia menyokong Khalid. Ada juga mengatakan Khalid diajak menyertai Pas. Kalau ini merupakan satu kebenaran ia sangat merbahaya kepada politik Pakatan Rakyat. Lebih dahsyat lagi ia menyerlah hati budi pemimpin Pas berkenaan.

Tetapi tindakan dan political animal begitu tidak akan mudah memberi kejayaan. Mereka yang mencadang begitu untuk mempertahankan Khalid barang kali lupa kepada sikap dan pendirian rakan mereka yang satu lagi DAP. DAP tidak mudah melacurkan diri dan pelahap kepada jawatan, atau pun mengambil sikap membocorkan perahu di tengah lautan. Mungkin dua pemimpin itu lupa kepada keteguhan parti Cina itu?

Kebenaran mengenai perkara ini tidak dapat disahkan bagaimana pun ia sudah menjadi percakapan dalaman. Tetapi ada dua perkembangan selepas itu boleh dianggap menyokong maklumat berkenaan. Pertamanya Mahathir telah memberi sokongan kepada usaha dua pemimpin tertinggi Pas itu dengan mengatakan sudah sampai Pas diberi peluang jadi MB. Dan kedua, malam tadi Anwar Ibrahim seakan tergesa-gesa terbang ke Kota Bharu menemui Tokguru Nik Aziz?

Pemergian Anwar ke Kota Bharu hanya untuk berjumpa Nik Aziz itu seperti ada perkara besar sedang bergolak di dalam Pakatan Rakyat, khas mengenai sikap Pas terhadap pelan transisi jawatan MB. Mungkin.

Tidak perlu diulas panjang, sama-sama kita tunggu perkembangan selanjut. Yang hendak ditarik kesimpulannya, orang Pas jangan mudah termakan dengan racun Mahathir Mohamad itu. Atau kalau orang Pas lebih yakin dan percaya kepada Mahathir, mungkin Pas boleh buat pendirian tegas berhubung Anwar Ibrahim dan pelan politiknya. Jangan memanggangkan Anwar terlalu lama atas unggun api yang besar.

Mungkin idea Unity Government yang pernah dicadangkan oleh sebilangan pemimpin Pas boleh dihidupkan semula tetapi dalam nada lebih tegas dan tidak kluk-klik. Kerana politik itu menghalalkan cara, Pas boleh lakukan. Di dalam politik juga kadang-kadang memerlukan pembunuhan.

Dan nilai baik dan buruk persahabatan itu akan diukur sewaktu kawan sahabat itu berada dalam keadaan gawat. Kalau dalam keadaan gawat kawan terus juga mengkhianati maka nyata kawan itu lebih jahat dari segala-gala. Untuk bersikap begini Pas boleh mencari dan mencungkilkan hadith-hadith dan ayat Quran menghalalkan tindakannya. Ini tidak pelik dan rumit kerana didalam Pas banyak mereka yang fakih mengenai Islam. Lakukan...[wm.kl.12:20 pm 14/02/14]


4 comments:

aosis said...

kalau niat sudah tidak betul......macam2 boleh jadi,w/pun atas nama perjuangan Islam.

ras abu said...

Kalau benar memang PAS HAMPAS

PokAmid said...

Tuan MSO, patut tuan sebutkan nama 2 pemimpin yang pergi menemui YAB Khalid.

PokAmid said...

Tuan MSO, sila tuan tuliskan nama pemimpin yg menemui YAB Khalid, mudah2an orang yang perangai hodoh dan kohong ini terburai.