Thursday, February 20, 2014

Menangkapi apa yang Kassim Ahmad ingini

REAKSI                                                                                             

Kassim, seronok dia dibahas.
Kassim Ahmad - satu nama yang menjadi phobia kepada sesetengah umat Islam negara ini. Semuanya kerana bentuk pemikiran dan keberaniannya mengenegahkan pandangan yang agak kritikal terhadap ajaran dan pegangan agama Islam. Inilah dinama keberanian. Sesuai dengan darjat beliau sebagai pemikir, maka wajar beliau melontarkan pandangan atau idea-idea kritikal yang boleh menimbulkan suasana 'kiamat' dalam dunia pemikiran ummah negara ini, sekurang-kurangnya.

Manusia yang hebat ialah manusia yang ingin merubah sesuatu yang sedia ada di dunia ini dengan harapan ia menjadi lebih baik lagi. Dia juga manusia yang berfikir dengan kedua belah otak mencakupi lapisan yang belum diterokai. Pemikir dia bukan pengikut. Dalam konteks Kassim ini itulah yang terserlah.

Semuanya bermula kerana beliau berani membuat penilaian dan kajian semula ke atas hadith Nabi yang dianggap sesetengahnya palsu. Kepalsuan itu dari padangannya memberi kesan negatif kepada umat Islam khasnya di negara ini. Kepalsuan itu juga (mungkin pada anggapannya) menjadikan orang Islam berpegang kepada bayang-bayang dan bukannya teras. Ia amat merbahaya kalau mengikut pandangan Kassim dan ia perlu dijernihkan.

Persoalan ini (karektor pemikiran Kassim) berlaku sejak tahun 1986 lagi apabila beliau menulis buku khas yang mengundang perbahasan mengenai pendiriannya itu sekaligus menjadi vehicle untuk menyebarkan pemikirannya. Buku itu berjudul; Hadith satu penialaian semula. Dunia Malaysia kalut dan warga ulamak dan lebai-lebai konvensional tersintak dengan pemikiran itu. Kassim mengumpamakan berlaku kiamat dengan bukunya itu.

Rakyat negara ini yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jemaah terkaget dan merasakan dunia Islam Malaysia dibom dengan bom yang sangat dahsayat. Ada yang merasakan Kassim mahu merombak pegangan dan keyakinan Ahli Sunnah Wal Jemaah selama ini dan membawa fahaman baru. Beliau seakan mahu merombak ikatan akidah umat Islam di negara ini.

Lantas golongan agama, NGO dan institusi agama berbincang, bermuzakarah, 'berjemak berkira' mengenai pandangan Kassim itu. Meneliti dan mencari sumber untuk berhujah dan mematahkannya atas keyakinan ia sangat merbahaya. Akhirnya keputusan dibuat secara kolektif bahawa pendirian Kassim itu salah dan bertentangan dengan fahaman Aahli Sunnah Wal Jemaah maka beliau harus diperangi.

Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang di Johor pada 18 September 1986, telah mewartakan apa yang dipegang atau dilontarkan oleh Kassim itu boleh digolongkan dalam golongan murtad. Ia satu keputusan yang konkrit dan tegas. Ini kerana kalau mengikut pendapat Imam Syafie orang yang murtad boleh hukum bunuh.

Sejak iu Kassim dihukum dengan kecaman dan dilontar dengan 'batu-batu' hudud. Perwartaan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu dijadikan sempadan untuk menolak fahaman Kassim dan dijadikan batu-batu hudud untuk merejamnya hingga mati. Selepas itu, tidak timbul lagi kalau soal Kassim melontarkan pandangan itu untuk dibahas dan dinilai saja kerana keputusannya sudah tetap.

Majlis Fatwa Kebangsaan dan para ulamak lain juga pastinya ada hujah accurate dan tentu ada sebab-sebab lain (maslahat) kenapa tindakan segera diambil. Yang nyata agar memastikan fahaman dan pemikiran Kassim yang dianggap merbahaya itu tidak merebak dan merasapi ke dalam pemikiran golongan yang bersikap liberal terhadap agama, yang mudah menerima apa-apa saja anasir kotor ke dalam minda mereka. Waktu itu juga riuh dengan kewujudan entiti Anti Hadith.

Kandati pun Kassim dilontar dengan kecaman berupa batu-batu hudud, tetapi dia hanya mendiamkan diri dan menerima seadanya saja. Kassim tidak terbunuh seperti tentera Abraham oleh batu "siiji", yang dilontarkan oleh burung Ababil. Kecaman itu tidak merubah pendiriannya. Ia tidak sedikit pun membuat ralat terhadap apa yang diperkatakan, jauh sekali untuk mengangkat bendera putih. Sebagai seorang bekas pemimpin sosialis Kassim teguh dengan pendiriannya. Beliau melihat apa yang dilakukan bagi menyihatkan minda saja.

Kassim selesa dan tidak perlu merasa gerum dengan tindakan dan hukuman fizikal ke atasnya. Ini kerana beliau disokong oleh pemerintah pada masa itu. Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri seakan membenarkan Kassim untuk berpolemik mengenai isu agama dengan sebebas-bebasnya. Sebagai buktinya Kassim tidak pernah didakwa ataupun dihukum sebagai menghina agama Islam di mana-mana Mahkamah Syariah di negara ini. Beliau hanya dikecam saja. Kecaman oleh pihak berkuasa itu lebih dilihat sebagai menanam tebu di bibir mulut semata-mata.

Mahathir seakan tidak sedikit pun bimbang dengan ulah Kassim itu. Boleh jadi beliau sendiri telah menjadikan Kassim sebagai perantara untuk mencampakkan pemikirannya juga yang dilihat selari dan 'semakan' dengan pemikiran Kassim. Kalau tidak silap Mahathir juga pernah membuat cadangan mirip dengan Kassim tetapi agak lebih rasional, dengan meminta agar Quran ditafsirkan semula. Apa bezanya dengan menilai semula hadith dan mentafsirkan semula Quran?

Di sini seakan ada persepakatan politik dan kepercayaan kepada doktrin yang sama di antara mereka berdua. Kassim diberi tugas secara langsung dalam hal ini dimana tidak manis kalau beliau sebagai perdana menteri bertindak secara terang-terangan. Maka Kassim perlulah meminkan peranannya dengan jaminan keselamatan olehnya.

Dikatakan Kassim diberikan kebebasan untuk 'menohokkan' (lontar) pemikirannya kerana tindakan dan pemantauan ke atas Kassim oleh kerajaan sangat berbeza dengan apa dilakukan ke atas badan-badan, perutubuhan atau NGO dan individu lain yang dilihat ada penyimpangan dari ajaran biasa agama Islam. Mereka diberi perhatian dan diambil tindakan serius tetapi tidak begitu terhadap Kassim.

Misalnya tindakan ke atas individu yang didapati bersikap biadap ke atas agama atau cuba meletakkan diri setaraf dengan Nabi Muhammad terus diambil tindakan. Contoh paling klasik ialah apa yang berlaku kepada Ashaari Muhammad (Allahyarham) dan kumpulan Darul Arqam, atau kepada orang bernama Baharuddin yang mengaku dirinya Rasul, dan terbaru ialah tindakan ke atas Tuhan Harun yang juga dibabitkan degan pembunuhan Pegawai Penguasa MAIP, di Pahang. Bagaimana pun Ayah Pin dikecualikan?

Kassim dilayan dengan istimewaa sebagai anjing peliharaan. Kerana itu Kassim merasakan dia diberikan kebebasan. Penyerataan Kassim ke dalam Umno seakan menjadi lesen kepadanya untuk bebas bercakap. Kemudian pengambilannya menjadi penal pemikir politik Mahathir mengukuhkan lagi kedudukannya. Jawatan dan status itu seakan-akan Kassim diberi green linght oleh Mahathir untuk terus 'bergomol' dengan isu-isu agama, bagi memecahkan apa-apa doktrin dan fahaman agama yang rigid.

Situasi itu menyebabkan Kassim berada dalam keadaan selesa dan dipelihara. Sejahtera.  Menyedari itu maka mana-mana pihak yang membenci Kassim dan berharap dia akan dikenakan tindakan mahkamah seperti mendakwanya atas sebab menghina hukum Allah atau menghina Nabi Muhammad tidak akan terjadi kerana kerajaan yang ada hari ini masih berROHkan Mahathir Mohamad. Sementelahan pula perdana menteri, Mohd Najib Razak sendiri cetek agama dan ilmuan Islamnya sangat terbatas kepada ilmu-ilmu syariat asas sahaja. Kenapa tidak, nama-nama najis pun tidak dihafal oleh Najib.

Harapan untuk dilihat Kassim dihina dengan pandangannya itu apa lagi dipenjara, tidak akan berlaku selagi kerajaan yang ada hari ini tegap. Seperti kata Kassim, Malaysia sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem liberal. Adalah bersalahan kalau kerajaan mengambil tindakan itu kerana ia bertentangan dengan prinsip dan dasar tersebut. Iya, benar urusan agama berada di tangan negeri dan raja-raja, tetapi kerana sifat raja-raja itu sediri berada di bawah Perlembagaan maka mereka tidak akan berani bertindak jauh dari itu, apa lagi terhadap tokoh-tokoh seperti Kassim Ahmad.

Dan hari ini apabila Kassim muncul semula mengenegahkan pemikirannya yang dianggap berkadas dengan faham Ahli Sunnah Wal Jemaah itu, maka dunia sekali lagi geger. Para pewaris fahaman Ahli Sunnah Wal Jemaah yang baru lahir di dekat 90-an dan obses kepada Islam pasti 'terbeliak' biji mata mendengar pandangan Kassim itu. Ustaz-ustaz yang baru pandai mengikat serban dan pakai jubah, baru balik dari tanah Arab juga akan terperagah dengan pemikiran Kassim itu.

Bagi Kassim reaksi yang diberikan kepada penyataan itu sesuatu yang menggembirakannya. Gara-gara itu menyebabkan gelanggang ilmu (polemik) agama yang sepi selama ini kerana tidak ada pandangan-pandangan baru yang kontras, akan menjadi riuh kembali apabila beliau menimbulkan semula agenda yang belum selesai itu. Kassim mengutip untung dari keriuhan itu. Anak-anak muda yang buta atau jahil mengenai dirinya dan pemikirannya akan mula mengkaji mengenai siapa Kassim itu.

Hari ini pun sudah ada ulamak dan ustaz yang mendekati rak-rak buku untuk membelek kitab-kitab kuning dan mencari fatwa-fatwa dari para guru muktabar mereka untuk membalas dan membelasah Kassim Ahmad. Kesenyapaan jurucakap-jurucakap agama teopian masjid yang lantang sebelum ini terhadap isu Kassim ini boleh danggapkan mereka masih tercari-cari hujah. Walhal permasalahan dilontarkan Kassim ini lebih besar dan penting dari soal kepala lembu, atau bangkai ayam ataupun sindiran Teresa Kok terhadap Najib dan Rosmah.

Sifat responsif ini bagus. Sepekara perlu difaham dan diteliti, untuk menyerang Kassim tidak perlu dengan fizikal. Tindakan mengutuk Kassim dengan kecaman di media massa atau angkat sepanduk di serambi-serambi masjid dan surau, atau membebel dalam kolom akhbar suara parti tidak memberi kesan. Untuk berdepan dengan orang cerdik dan menggerakan massa dengan otak perlu juga digunakan dengan otak. Justeru mereka yang 'otak kemetot' jangan sesekali cuba mencampak kail ke dalam sungai Kassim yang telah diduga kedekian dekad.

Justeru, sekiranya pandangan atau pendapatnya mengenai beberapa perkara berhubungkait dengan agama yang disentuh itu, hendaklah dibuat juga secara ilmiah dan dalil-dalil yang kemas. Sebagai pejuang Kassim tidak akan mudah patah dan berputus asa kalau ia diserang dengan 'kayu'. Bahkan serangan menerusi kecaman dari jauh, menyeronokkan Kassim kerana ia memberi penghebahan percuma buatnya bagi mengisyaratkan dia masih bernyawa.

Seorang pemikir akan lemah dan mengaku kalah apabila hujah-hujahnya dibalas dengan hujjah dan mempamirkan akhlak lebih Islamik.

Seperti dinyatakan tadi, sebelum ini pun dia sudah dihukum sebagai murtad dan diberikan beberbagai konotasi teruk. Dia tidak berubah dan tetap kukuh dengan pendiriannya. Dia seorang yang istiqamah dengan hasil perenungan dan pemikirannya. Dia juga mempertahankan pandangan itu. Atas keyakinan ia bertujuan baik bagi memesongkan pegangan dan keyakinan yang dianggap salah atau palsu, dia akan teguh pendiriannya hatta akan menerima nasib seperti al Halaj.

Ada baiknya juga apabila Kassim menimbulkan semula padangan dan apa yang menjadi peganganya yang dikatakan bersalahan dengan pegangan dan keyakinan Ahli Sunnah Wal Jemaah itu. Dengan cara itu ia meriuhkan semua gelanggang ilmu di kalangan ilmuan kita. Sudah pasti apabila Kassim menimbulkan semula soal hadith palsu, aurat atau wujud pendewaan terhadap Nabi Muhammad dalam kalimah syahat kedua, menyebabkan para ulamak dan ilmu akan bangkit.

Atas rasa tanggungjaab dan keyakinan pegangan Kassim salah, mereka akan mendekati rak-rak kitab untuk mencari hujah dan sumber bagi menjawab dan menjernihkan keadaan. Inilah yang diingini oleh Kassim wujud polemik dalam agama secara sihat. Dalam kata lain, penimbulan mengenai pandangannya itu dalam seminar Pemikiran Kassim: Satu penialaian di Yayasan Kepimpinan Perdana itu, merupakan peluwit gerakan minda para sarjana dan ilmuan agama kita, khasnya kalangan mereka merasai fakeh agama dan merupaan loceng untuk menjaga tidur yang lena yang diulik keangkuhan rasa, akulah fakeh akulah benar.

Kalau Kassim tidak berbuat demikian, sudah pasti mereka akan lena dari membahas apa yang beliau utarakan. Apa-apa yang dhaif yang dipegang selama ini akan terus dipegang sebagai mutlak kerana tidak ada pengukuhan nilai dan kajian menambah nilai ke atas subjek ini. Sikap umat beginilah yang diumpamankan bahawa umat Islam di akhir zaman laksanakan bueh-bueh dilautan, banyak tetapi tidak berguna.

Itu yang dirasaikan. Dalam hal ini ummah Islam harus bersikap 'tasamuh' dan tidak emosional. Atas mempercayai Kassim juga ingin mendapat keredhaan Allah, maka dia ada rasa tanggungjawab memberi kebaikan kepada orang lain. Sekiranya pandangan beliau itu salah, perbetulkanlah kerana ternyata dia juga berharap demikian. Kassim dengan pemikiran yang 'complexity' itu tidak merupakan masalah besar kalau kita sedia hadapi dengan terminologi agama yang betul dan mengambil berbagai-bagai sumber rujukan ilmu agama yang mendalam. [wm.kl.11:57 am 20/02/14]
Post a Comment