Tuesday, February 11, 2014

Pengganti Taib Mahmud masih dalam penelitian rapi

KHABAR KUCHING                                                                             

Saya menunjukkan awan berarak di pengkalan Satok.
Pengumuman oleh parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dua hari lepas yang Taib Mahmud akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri yang dipegangnya selama 33 tahun tidak begitu mengejutkan masyarakat negeri bumi Kenyalang itu. Kebanyakan mereka menyambut pengumuman seperti biasa sahaja, seperti pengumuman keadaan cuaca. Tidak mengambil berat dan sesuatu yang menarik perhatian.

"Acap kali sudah dia (Taib Mahmud) mahu letak jawatan, tetapi tidak pernah menjadi," begitu komen seorang politik veteran ketika minum kopi  di kompleks Satok yang baru itu. Katanya bagi rakyat Sarawak berita seperti itu bukan sesuatu yang baru dan diberi perhatian.



DUN Sarawak, apakah bakal bergegar? 
"Kami sini sudah biasa mendengar itu, ia seperti pengumuman mengenai keadaan cuaca saja, ada laut bergelora, hujan sekali sekala dan awan larak berarak," tukas veteran itu lagi sambil ketawa halus. Bahunya bergoyang sambil tangan memegang cawan kopi. Kedut dimukanya menunjukkan dia sudah masak dengan politik Sarawak khasnya Taib Mahmud.

Mengapa tidak katanya, sebelum ini Taib sudah pun berjanji akan letak jawatan dan diberikan kepada penggantinya. Setiap kali menjelang pilihan raya negeri, Taib berjanji kononnya tidak akan bertanding dan akan memberi laluan kepada tokoh lebih muda. Orang pun suka dan seronok mendengarnya. Tetapi ternyata bila dewan dibubar beliau bertanding lagi, menang dan angkat sumpah menjadi ketua menteri untuk kesekian kalinya.

Masa pilihan raya negeri 2011 lalu juga meletus berita Taib tidak lagi akan menjadi KM. Pengerusi BN, Najib Razak sendiri sudah memberi isyarat agar Taib Mahmud perlu berundur dan pemimpin lebih muda dan bersih diperlukan untuk Sarawak. Bagaimana pun isyarat itu tidak diendahkan bahkan Taib mengancam pula Najib. Akhirnya Najib diam dan Taib terus jadi ketua menteri.

Belum pun habis kiraan kerusi, sebaik BN mendapat kerusi majoriti di Dun, Taib sudah bergegas ke Astana berjumpa Tuan Yang Terutama (TYT) untuk angkat sumpah jadi KM. Masa beliau angkat sumpah tempoh hari mereka yang diandaikan akan jadi penggantinya tidak dijemput dan sampai setelah upacara selesai. Taib sendiri katanya kerana mahu cepat sampai tersalah pakai stokin. Saya ketika itu berada di Kuching.

Kerana ulah dan sikap itu masyarakat Sarawak khasnya orang politik tidak mudah untuk percaya yang Taib segampang itu akan berhenti, jadi pengumuman oleh Setiausaha Agung PBB itu dianggap hanya sebagai gimik tahun baru Cina sahaja.

Banyak faktor kenapa Taib dikatakan sukar untuk berundur atau takut untuk meninggalkan Petrajaya. Antaranya kerana berbagai penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukannya. Beliau dikatakan mempunyai harta ratusan billion dan merupakan orang terkaya di Borneo. Taib juga dikatakan mempunyai harta di luar negara.

Beliau juga dikatakan bimbang dan gerun kerana ketika ini sedang disiasat oleh SPRM. Ramai yang percaya kedudukan sebagai KM menyebabkan kuasa SPRM menyiasat beliau terbatas. Jawatan itu menjadi tugu atau benteng untuk menyelamatkannya.

Justeru kalau dia sudah tidak duduk di Petrajaya lagi, ia memudah dan memberanikan SPRM untuk terus menyiasat laporan yang dibuat ke atasnya. Itulah menjadikan pengumuman kononnya Taib hendak lepas jawatan dipandang sebagai satu sandiwara untuk menyejutkan hati mereka yang membencinya sahaja.

Bagaimana pun apabila semalam, beliau sendiri menyatakan akan menghadapi TYT Sarawak, Abang Sallahuddin Abang Barieng untuk memberi surat letak jawatan dan nama penggantinya, menjadikan masyarakat dan pemerhati politik Sarawak merasakan kali ini Taib benar-benar akan berundur. Ia bukan lagi cubaan dan main-main.

Apa lagi PBB juga sudah endorse yang beliau akan mengambil alih jawatan TYT yang dipegang oleh Sallahuddin dan akan tamat 28 Februari ini. Sekali lagi pertukaran jawatan itu merupakan pagar dan kubu baru untuk Taib melindungi dirinya dari diusik oleh SPRM atau mana-mana pihak. Bolehlah dianggap pengunduran beliau itu sebagai taktikal untuk mengukuhkan lagi kedudukannya.

Sabtu ini dilaporkan Taib akan menghadap TYT dan menyerahkan surat perletakan jawatan dan juga menyembahkan nama penggantinya. Sabtu ini dinanti oleh semua pihak sambil berdoa biarlah ia menjadi kenyataan. Rakyat Sarawak sudah tidak mahu berketua menterikan Taib lagi, dan biarlah kisah mengenainya (pemerintahan) menjadi legenda seperti Bujang Senang ataupun Gunung Santubung.

Persoalannya kini yang masih menyelimuti kepala rakyat Sarawak dan pemerhati ialah siapakah pengganti Taib? Siapakah bakal menjadi kuda hitam untuk memberi kekebalan kepadanya? Ada tiga nama yang disebut-sebut dan sedang diapungkan dalam pasaran saham Sarawak hari ini. Mereka ialah Adenan Satem, bekas pimpinan PBB, Abang Johari Openg yang merupakan timbalan presiden PBB dan Awang Tengah Ali Hassan, Naib presiden PBB.

Ketiga mereka merupakan anggota Kabinet Taib Mahmud.  Tiga nama ini menjadi pertarungan dan pertaruhan. Kumpulan dan penyokong kepada ketiga tokoh itu masing-masing melobi. Dari segi senioriti dan pengalaman Adenan menjadi pilihan golongan veteran di Sarawak. Mereka beranggapan Adenan lebih layak dan sesuai. Lagipun Adenan pernah dijanjikan oleh Taib sebagai penggantinya sejak lama dahulu.

Sebuah akhbar arus perdana (PB) sudah yakin yang Adenan Satem akan menjadi ketua menteri. Bagaimana pun sedikit menjadi persoalan mengenai Adenan ialah beliau sudah agak berumur di mana usia sebegitu tidak akan banyak membawa perubahan masa depan di Sarawak.

Manakala golongan teknokrat dan birokrat lebih menyukai Abang Johari. Johari dilihat seorang pemimpin yang sabar dan tenang serta sedia menahan hati dengan karenah Taib. Walaupun sesetengah tindakan Taib seperti mana disebut rakyat agak merungsingkannya, tetapi Johari mampu mengikut rentaknya. Beliau juga dianggap sang setia kepada parti bila mana walaupun beliau seakan dinafikan dari segi kedudukan, namun setia kepada Taib.

Pihak Kuala Lumpur juga lebih berminat kepada Johari. Beliau dikatakan akan menjadi penyambut tamu sekiranya Umno ingin menyengkang kaki ke Sarawak seperti mana berlaku di Sabah dahulu. Sikap nasionalisme Abang Johari ini katanya kurang disenang Taib. Selain itu juga kerana masalah perbezaan etnik di antara mereka berdua. Sudah sedia maklum Taib kurang senang dengan keturunan "Abang" tetapi lebih suka kepada keturunan "Awang".

Satu lagi nama yang menjadi sebutan ialah Awang Ali Hasan, naib presiden PBB. Sebenarnya tidak ramai yang tahu, siapa Awang Tengah bagi Taib Mahmud. Dalam sudut tertentu Awang Tengah menjadi prokasi kuasa kepada Taib Mahmud. Awang Tengah merupakan orang yang setia kepada Taib Mahmud.

Beliau juga menganuti politik Taib Mahmud dimana kurang senang dengan Kuala Lumpur. Apabila Taib mengatakan Sarawak perlu diperintah oleh orang Sarawak ia menggambarkan Awang Tengah adalah penggatinya kerana Awang Tengah anti Umno, tidak seperti mana Abang Johari.

Kesimpulannya masih belum tentu siapakah yang akan ditunjukki oleh Taib sebagai penggantinya. Apapun Taib akan memastikan penggantinnya nanti tidak akan membawa porak peranda kepada PBB itu sendiri dan boleh mengukuhkan kerajaan Sarawak di bawah BN. Bukan mudah juga untuk Taib Mahmud mencongak dan membuat keputusan kerana kalau tidak kena catur ia boleh menyebabkan PBB akan hilang kuasa di Sarawak.

Yang dapat saya rasakan sekiranya Taib terus memilih kroninya untuk menguasai Sarawak, tidak dapat tidak pergolakan dan krisis politik akan berlaku di Sarawak. Krisis dan pergolakan itu kelak akan memberi masalah kepada PBB sebagai parti unggul di Sarawak untuk memerintah.

Misalnya kalau bukan Abang Johari menjadi ketua menteri, sebaliknya diambil Awang Tengah, sudah pastikan dua marga ini akan berantakan. Di sinilah nanti ia membuka celah dan ruang untuk Dayak dan DAP menguasai politik Sarawak. Boleh jadi kalau Taib menyedari masalah ini maka Adenan Satemlah yang akan diambil sebagai orang tengah walaupun dia mahukan Awang Tengah.

* Barang kali boleh juga dijadikan tip, semalam sewaktu saya turun dari kapal terbang dari Sarawak saya terserempak dengan Abang Johari. Dari jauh dia kelihatan tersenyum dan menyambut salam saya. "Dari mana ni?" tanyanya mesra.

"Dari Kuching Datuk... insyaAllah Datuk akan jadi Ketua Menteri dan bila Datuk angkat sumpah nanti, saya akan ke Kuching lagi," balas saya sambil menduga dia datang Kuala Lumpur mungkin berjumpa Najib Razak. [wm.kl.12:31 t/hari 11/02/14]

No comments: