Thursday, May 1, 2014

Himpunan TURUN bantah GST berjalan lancar

CATATAN                                                                                         

Pemandangan himpunan di hadapan Dataran Merdeka.
Himpunan TURUN bantah GST yang berlangsung di Dataran Merdeka petang ini telah selesai dan berjalan dengan aman. Semua pihak berpuas hati. Himpunan kali ini tidak ada halangan langsung daripada pihak polis seperti sebelum ini.

Para peserta bebas untuk bergerak. Tidak ada semburan air beracun atau pun kedengaran hantukan cota si kepala merah dan jeritan mengejar para peserta himpunan. Mungkin tidak ada setitik darah juga yang jatuh ke bumi.

Walaupun jumlah yang hadirnya tidak begitu ramai, tetapi ia cukup untuk dijadikan simbol penentangan rakyat kepada pelaksanaan cukai baru yang akan diperkenalkan kerajaan yang dikira membebankan rakyat bawahan.

Himpunan itu digerakan oleh beberapa NGO dimana enjin himpunan itu pihak Pakatan Rakyat. Pimpinan tertinggi Pakatan termasuk Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Azmin Ali, Sallahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir membimbang desakan rakyat.



Kebetulan hari ini saya tidak dapat begerak jauh untuk merakam suasana bersejarah itu seperti salam siri-siri himpunan atau tunjuk perasaan sebelum ini. Apa yang mampu saya lakukan hanya memerhati dari Jalan Tuanku Abdul Rahaman bersama sekawan kawan sambil minum tea sejuk limau.

Antara mereka yang sempat saya temui, bekas Adun Kuala Krai, Zulkifli Yaacob dan pegawai keselamatan MB Kelantan, Mohamad Ali. Mereka sempat berbual bersama saya, Dr Wan Suhaimi Wan Daud dan sdr Mohd Sabri Shafei. Setiausaha Badan Perhubungan Pas Zulkifli Mamat dan bekas Adun Limbongan Drs Zainuddin Awang Hamat juga sempat berhubung menerusi telefon.

Hendaknya kerajaan khususnya Najib Razak mendengar desakan rakyat sekejap tadi. Jangan menganggap ia adalah himpunan iseng-isengan politik semata-mata. Kalau pun kerajaan tidak ada maksud untuk membatalkan sama sekali cukai itu, tetapi menangguhkannya mungkin satu tindakan yang adil dan baik.

Seperti mana kata Anwar Ibrahim, rakyat tidak patut dikenakan cukai dalam keadaan ekonomi dan pendapatan rakyat masih belum mampu untuk dicukakan. Membandingkan dengan negara lain yang telah lama mengenakan cukai seperti Singapura adalah tidak adil dan tepat tanpa mengira berapa pendapatan rakyat negara berkenaan berbanding dengan pendapatan negara ini.

Mungkin himpunan hari ini tidak sampai mencecah ratusan ribu, tetapi sekiranya desakan dan kebimbangan mereka tidak dipenuhi mungkin dimasa akan datang himpunan itu akan menjadi masalah besar kepada kerajaan. Sebelum ia melarat elok Najib mengambil tindakan sesuatu.

Dalam pada itu sikap terbuka pihak PDRM perlu dipuji kerana tidak mengambil langkah sekatan dan halangan seperti sebelum ini. Jelas, apabila polis bertidak secara profesional, para peserta himpunan juga bersikap profesional. Setiap wajah yang menyapa saya tersenyum dan puas. Mereka gembira dan seronok.

Syabas kepada semua. [wm.kl.6:43 pm, 01/05/14]
Post a Comment