Friday, May 16, 2014

Penyelesaian krisis Umno Terengganu kebijaksanaan Najib

KAMUS POLITIK                                                                              

Mengenai gerimis politik di Terengganu sehari dua lalu saya hendak puji tindakan bijak politik Najib Razak yang cepat menampung kain carit dalam Umno yang berkemungkinan boleh memalukan parti berkenaan kalau tiada tindakan pantas.

Tepat Najib mengambil tindakan memecat Ahmad Said dan menggantikan dengan Ahmad Razif Abdul Rahman. Orang politik harus belajar dari Najib.

Kenapa saya kata bijak, kerana kalau Najib lambat bertindak, kemungkinan Ahmad boleh meneruskan agendanya atas dendam kerana rasa malu dan kecil hati apabila ditamatkan menerusi perjanjian memegang jawatan setahun. Kononnya Najib mengatakan dia keliru bahawa kenduri kahwin anak Ahmad itu sudah pun selesai 10 Mei, adalah disengajakan sahaja. Kata-kata dan pengakuan Najib serta apolegetik itu hanya sandiwara Najib semata-mata.



Saya percaya Najib tahu bahawa masih ada satu lagi kenduri 17 Mei. Masakan kenduri berkenaan Najib tidak diundang. Najib perlu tidak sampai menunggu kepada tarikh itu kerana ia bagaikan memberi ruang dan masa. Cita-cita atau agenda tersendiri Ahmad yang sudah diatur secara senyap bagaikan bakteria yang akan berkembang biak begitu cepat. Sebagai seorang perdana menteri yang mempunyai ramai penasihat politik, pakar strategi Najib memintas sebelum Ahmad berlari.

Apa yang dilakukan Najib harus dipelajari oleh politician lain terutamanya Pas di Terengganu. Kalau mereka mahu menang dan menguasai Terengganu mereka harus bijak berpolitik dan mengambil kesempatan. Politik penuh dengan muslihat dan tipu daya.

Ibnu Khaldun berkata semua manusia mempunyai senjata yang sama, (fizikal) hanya yang memberi kebihan (kemenangan) ialah kerana manusia ada wibawa. Wibawa yang menentukan kejayaan dalam keadaan semua memiliki senjata yang sama.

Wibawa ini termasuklah soal bijak mengatur strategi, pantas menghidu tektik musuh. Senjata konvensional tidak ampuh dalam politik. Saya tengok Pas masih lagi banyak menggunakan senjata konvensional dan manual dalam menyerang pihak lawan. Pas masih asyik dengan perang secara terbuka sementara pihak musuh sudah lama berperang secara gerila.

Kata Pesuruhjaya Pas Terengganu Satiful Bahri Mamat, "munasabah kalau Ahmad ditukar kerama kalau dikekalkan kejatuhan BN dalam pilihan raya ke-14 mungkin lebih cepat."

Kenyataan Satiful itu menunjukkan Pas masih menggunakan senjata konvensional tanpa ada tektikal. Kalau beliau sudah beranggapan demikian Pas seharusnya berusaha mempertahankan Ahmad kerana dengan kewujudannya membantu kemenangan buat Pas.

Kejayaan Umno mengatasi krisis politiknya itu sekali lagi menunjukkan kejayaan atas kebestarian Najib. Soal Najib membayar, atau mengeluarkan wang atau ugutan untuk memanggil mereka yang keluar parti itu pulang semula ke penagkuan itu soal nombor tiga. Yang penting mereka dapat mempertahankan kerajaan mereka sekurang-kurang hingga habis penggal. Umno lebih merasa bermaruah mempertahan kerajaan dengan cara begitu daripada kerajaanya tumpas.

Andaian krisis itu buat sementara sahaja, sememangnya semua perkara di atas dunia ini bersifat sementara tidak ada satu pun yang kekal. Kedudukan Najib sebagai perdana menteri sendiri, atau Anwar Ibrahim sebagai ketua umum dan Abdul Hadi Awang sebagai presiden Pas adalah juga bersifat sementara. [wm.kl.11:54 am 16/05/14]
Post a Comment