Saturday, September 6, 2014

Abdul Hadi yang kurang diplomasi

KEROPOK LEKOR                                                                                            

Abdul Hadi Awang.
Sejak kelmarin berkicauan berita kononnya akan wujud sebuah parti baru yang akan menjadi alternatif kepada Pas. Siapa empunya cerita dan menjadi tukang bari walahualam. Tetapi kemunculan berita wujud parti baru itu bertunas apabila apa dinamakan satu pertemuan di Kota Bharu pada 31 Ogos lalu. Pertemuan itu bertujuan menubuhkan, atau mengistyharkan penubuhan sebuah NGO bernama PasMa. Sedap juga namanya.

Tujuan penubuhan PasMa adalah sebagai menjadi penghalang kepada usaha pihak-pihak tertentu daripada membawa Pas bekerjasama dengan Umno. PasMa dikatakan akan jadi benteng kepada usaha itu. Kenapa sampai perlu ada PasMa dan kenapakah perlu dihalang?

Apabila diwujudkan sebuah Ngo menjadi penghalang ertinya ada usaha gigih tanpa jemu dan penat lelah untuk membawa Pas berkerjasama dengan Umno. Penubuhan PasMa itu mendedahkan bahawa Pas dalam berkucah dan berbalah dan mengesahkan Pas sedang dievolusikan.

Bukan maksud saya hendak menceritakan fasal PasMa ini, tetapi ingin merujuk kepada kenyataan Presiden Pas Abdul Hadi Awang apabila menjawab pertanyaan berhubung dengan kewujudan PasMa yang didewa-dewakan menjadi parti alternatif kepada Pas itu. Saya perlu menjelaskan sebab kenyataan presiden Pas itu tidak melambangkan ianya suatu pandangan profesional.

Abdul Hadi semasa  majlis Dialog dan Penjelasan Isu Terkini di Rusila dilaporkan berkata tidak menghalang sekiranya ada pihak yang ingin menubuh parti baru. Alasan diberikan ialah negara ini mengamalkan demokrasi. Katanya mereka berlainan pendapat dalam Pas kalau hendak tubuh parti baru, baik keluar dan tubuh parti.

"Jadi mereka yang berlainan pendapat dalam PAS ni, dia nak tubuh parti sila, baik dia keluar dia tubuh parti sendiri, senang tak payah duduk dalam," demikian katanya. Pandangan dan pendapat Abdul Hadi itu mendapat reaksi hadirin dengan takbir. Bagaimana mereka yang mengharap Pas menjadi sebuah parti dinamik tentu kecewa dengan pandangan seorang ketua sedemikian. 

Memang negara ini sebuah negara demokrasi, sesiapa boleh tubuh parti baru dan menyertai mana-mana parti. Tetapi jawaban oleh seorang presiden sedemikian kurang bijak dan tidak menunjukkan ianya punya taraf diplomasi mengawan. Abdul Hadi tidak seharus menjawab pertanyaan berbentuk provokasi demikian.

Sebagai pemimpin parti berlatar agama beliau seharusnya memberi nasihat atau pandangan ke arah pengukuhan Pas atau jemaah daripada menggesa mereka yang tidak setuju dengan parti agar keluar parti. Sebagai seorang digelar Tokguru, Abdul Hadi seeloknya bertanya kenapa harus tubuh parti baru sedang Pas adalah sebuah parti yang cantik dan indah. Beliau harus melontarkan kepada golongan itu apakah silap dan cacatnya Pas.

Beliau juga sepatutnya mengambil fikiran kenapa sampai ada ura-ura untuk menubuh parti baru. Beliau harus mahasabah dan tilik kepada masalah yang berlaku. Kalau benar ada golongan tidak senang dengan Pas, atau bercanggah pendapat yang besar, beliau perlu menyelidik dan bertanya khabar apakah sebab musababnya. Umpama kita naik basikal kalau handle tidak boleh dipusing tentu adat mana-mana sendiri yang berkarat.

Apabila terus mencadang keluar parti ia menunjukkan Abdul Hadi sebagai seorang pemimpin yang tidak sayang kepada ahli dan melihat pengukuhan parti itu penting. Kebencian seakan senantiasa meniti di bibir mulutnya. Dimanakah hikmahnya beliau selaku pemimpin. Sikap tidak tahu diplomasi dan mudah melautkan orang seperti itu ia tidak memberi keuntungan kepada parti. Kalau kerap sangat menggunting rambut lama-lama kepala akan botak.

Sikap dan stail kepimpinan Abdul Hadi merebak dan menjadi ikutan sesetengah golongan muda dalam Pas. Ia juga menjadi pegangan dan amalan Pesuruhjaya Pas Terengganu apabila Pesuruhjaya itu (entah nama apa), mencadangkan agar Pas mengambil tindakan memecat dua Adun Pas Selangor yang menyokong Dr Wan Azizah Wan Ismail. Sikap peringus demikian menunjukkan kerendahan daya diplomasi dan politik.

Tindakan dan cadangan demikian langsung tidak menggambarkan mereka arif atau fatanah dalam berpolitik. Mereka lupa dalam sistem politik hantu (sekular) yang diterima pakai oleh Pas, ia memerlukan undi tanpa mengira ianya datang daripada orang fasik, zindik, kafir ataupun mualaf. 

Memerhati stail beginilah menjadikan kita tidak hairan kenapa Terengganu gagal dimiliki oleh Pas kerana stail dan sifat sombong begitu. Perbalahan kecil yang sepatutnya dilerai dan didamaikan terus dihukum dan dicampak ke luar. Sikap merasakan diri sendiri alim, benar dan ahli syurga inilah yang memburukkan keadaan dalam Pas. Sikap begini juga menyebabkan orang atas pagar menjauhi Pas.

Saya tidak fikir ada orang bercanggah pendapat dalam Pas terus mengambil tindakan mahu keluar meninggalkan Pas. Kenapa mereka perlu meninggalkan Pas atau menyuruh meninggalkan Pas. Pertelingkahan atau pun perbalahan mengenai idea dalam parti tidak perlu sampai mana-mana pihak meninggalkan parti atau suruh meninggalkan parti. Tindakan itu tidak bijaksana.

Apabila Abdul Hadi menyuruh mereka meninggalkan parti, seolah-olah Pas itu adalah haknya dan kabilahnya sahaja. Pas bukan hak ahli dan penyokong Pas Terengganu, atau mana-mana qaul, tetapi ia adalah milik semua orang yang menyakini perjuangan Pas benar dan betul selari dengan perjuangan Rasulullah. Pas seperti agama, milik semua orang dan bukan milik golongan lebai atau mereka menguasai mana-mana khariah masjid atau surau sahaja.

Jangan merasakan Pas itu adalah kepunyaan pengilik kitab atau mereka yang tahu memutar serban ala ekor kibas atau ekor gajah? Islam juga adalah hak orang berkepala goleng. Penilaian Islam atau tidak Islam, seseorang bukan semata-mata kepada perhiasan dan pakaian.

Kalau ada golongan yang "direstui" Abdul Hadi agar meninggalkan parti itu kerana tidak sehaluan dari segi membawa hala tuju atau uslub Pas, rasanya tidak perlu mereka akur dengan titah Abdul Hadi itu. Mereka tidak perlu meninggalkan parti atau menubuhkan parti baru. Mereka jangan mudah merasa terhina dan geram dengan seruan itu. Kalau mereka mudah memaling punggung, itulah yang dikehendaki oleh Abdul Hadi atau mereka yang sewaktu dengannya. Mereka ingin memonopoli memiliki Pas.

Agenda untuk menjadikan Pas sebagai belakang unta kepada Umno akan terlaksana. Daripada jalur-jalur yang ada nampak Pas hendak dibawa ke arah itu. Abdul Hadi seperti sudah letih untuk terus menunjamkan Pas sebagai sebuah gerakan yang tegak berdepan dengan sekularisme Umno. Ini menghairankan.

Mereka yang dihalau keluar tidak perlu berbuat begitu. Mereka perlu kekal dalam Pas dan membaiki apa-apa kerosakan yang berlaku. Kenapa mereka harus keluar, bukankah Pas itu jika diibaratkan rumah ia juga rumah mereka. Rumah yang dibangun bersama. Pas menjadi indah, cantik berseri seperti hari ini adalah kombinasi tenaga dan fikiran mereka, golongan umlama dan profesional. Kalau bukan kerana politik profesional mungkin Pas masih kekal menjadi parti kampung dan tepian pantai sahaja.

Atas jasa dan budi itu mereka tidak perlu meninggalkan Pas. Kalau pun mereka bertelagah jalan keluar bukan menubuhkan parti baru. Mereka harus berjuang dan berdebat untuk pertahankan Pas. Golongan yang disuruh keluar itu harus merasakan atau memiliki kekuatan untuk menghalau orang yang menghalau mereka terlebih dahulu keluar Pas.

Pertahanan ke atas rumah Pas perlu sampai ke titisan darah terakhir. Semua keluarga perlu membuat keputusan bahawa rumah itu milik siapa. Kalau semua bahagian rumah tidak dimiliki, tetapi sebahagiannya harus dipunyai. Untuk meninggal begitu saja, kerana frustasi dan merajuk jangan sama sekali. Sebab Pas adalah hak bersama dan tanggungjawab bersama. Pas tidak dinamakan ke atas nama sesiapa pun. [wm.kl.2:07 pm 06/09/14]

15 comments:

Nazaruddin si Hamba Allah said...

Molek sungguh ulasan dan bedalan Tuan MSO hari ni. Alhamdulillah.

IbnAbdHalim said...

Maka atss sebab yg sama jugalah Terengganu lesap. Ini bukti ppuak UG x leh dipercayai.

Unknown said...

Saya telah memerhati hj. hadi sejak tahun 70an. Memang dia seorang yang bengis dan perengus. Sekarang baru nampak belang dia dan memang tida layak memimpin PAS!

bat8 said...

Tuan MSO

Cantik dan jelas sekali pandangan tuan. TGHH jangan buat perangai Kuli dan S46. Bila dah letih mengalas,serah kepada UMNO.Kedudukan TGHH tak sama dengan Kuli. S46 adalah Kuli dan Kuli adalah S46. Manakala TGHH adalah TGHH kebetulan dipilih( jawatan bukan hak peribadi) menjadi Presiden PAS.Manakala PAS adalah milek ahli-ahli PAS dan penyokong diluar yang menerima perjuangan PAS.

Jangan kita hilang punca t3ntang apa isu sebenar yang berlaku didalam PAS. Isunya ialah tindakan-tindakan TGHH secara unilateral bersendirian atau secara kumpulan yang bertentangan dengan perlembagaan PAS baik dari segi sumber rujukan perjuangan PAS dan tatacara berorganasasi didalam.PAS yang digariskan oleh Perlembagaan PAS.

Kita sudah cukup melihat tindakan-tindakan TGHH dan kumpulannya sepanjang krisis MB Selangor ini memang strateginya supaya PAS ditendang keluar dari PR . Dengan demikian beliau bol3h membawa PAS bekerjasama dengan UMNO. Sedangkan keputusan Muktamar Ipoh 2008 menolak kerjasama tersebut dan menjadi dasar PAS sehingga hari ini.

Nasihat Tuan MSO kepada golongan yang disuruh keluar dari PAS oleh TGHH jika tak bersetuju dengannya adalah satu nasihat yang rasional. Jangan cepat melatah dengan provokasi2 sebegini. Mereka juga memileki hak keatas PAS. Malah puak mereka adalah majoriti,manakala puak TGHH adalah minoriti ( Kat Ganu je). Alasannya jika mereka majoriti, usul Dewan Ulamak PAS untuk mengkaji tahaluf siyasi dengan PKR di muktamar lepas sudah berjaya.

Sebenarnya PAS adalah sebuah institusi tegoh dengan sendirinya. Perlembagaan PAS sudah lengkap untuk menangani isu dalaman PAS ini. Kembalilah kepada perlembagaan PAS.

Salah satu forum yang terbaik untuk menangani isu ini ialah melalui Muktamar ke 60 yang akan berlangsung di Batu Pahat dalam beberapa hari lagi. Inilah forum bagi ahli-ahli PAS yang tidak bersetuju dengan TGHH dan kumpulannya bersemuka dan menyatakan pendirian mereka. Mereka juga mempunyai hak untuk bersuara.

Ambil langkah ini dahulu. Tindakan susulan boleh ditentukan setelah melihat apa yang terjadi di johor nanti. Percayalah TGHH dan kumpulan tidak mudah membawa PAS bekerjasama dengan UMNO selagi keputusan Muktamar Ipoh 2008 masih berkuatkuasa.

Selamat Bermuktamar

Unknown said...

Salam tuan MSO...

Harap tuan boleh ulas isu yg dibangkitkan dan yg diulas oleh presiden PAS itu dari A-Z...sebab kita semua tahu video dirusila 2 telah dishare dialam maya...isu Pasma hanya sebahagian yg lain2 tu saya harap tuan ulas juga...

Wasalam

qoyum gila said...

Tuan President PAS telah mula menunjukkan sifat sombong dan bongkaknya. Mana mungkin president bolih melangkau kuasa ahli jawatan kuasa PAS yang yg di tubuh olih parti. Setiap keputusan penting hendaklah di putusakan bersama bukan olih President sahaja,

bat8 said...

Tuan

Mungkin Tuan Presideng terlupa dia juga anwerable kepada AJK PAS Pusat. Dia takde imuniti jika berbuat salah. Jika menyalahi prinsip besar dan utama, AJK PAS PUSAT boleh mengambil tindakan termasuk mengantung Tuan Presideng, menanti keputusan siasatan.

Yang kita dengar dari majlis p3nerangan Tuan Presideng di kubu kuatnya, Rusila, semua alasannya untuk menjustifikasi tindakannya membelakangkan Perlembagaan PAS s3mua kelaut. B3liau membangkitkan beliau ada kuasa veto. Alasan beliau berpandukan beberapa tindakan Almarhum Dato Fadhil Nor jauh tersasar. Beliau juga memberitahu beliau mempunyai hak di bawah perlembagaan PAS untuk m3nggunakan kuasa veto. Beliau tak beritahu fasal mana. Kita suspek beliau mungkin tersasar/buqng kelaut lagi. Kita minta TGHH nyatakan fasal mana didalam Perlembagaan PAS mengenai kuasa veto presiden ni.

Unknown said...

Tuan...
Kedengaran sekarang kepimpinan ulama memberikan semangat yang Islam pasti bangkit akhirnya setelah menempuhi cabaran hebat. Saya amat bersetuju dengan kenyataan tersebut.Namun terfikir juga apakah Islam itu PAS dan PAS itu Islam.Terfikir juga dalam PKR ada Islam... dalam UMNO ada Islam malah dalam DAP juga ada Islam. Kalau PAS itu Islam jelas sekarang Islam itu pincang,secara tak langsung memberi impak negatif kepada bukan Islam.
Sebagai muslim, rasanya cukup bahaya jika PAS dilihat sebagai agama . Cukup lah dengan merujuk PAS itu PAS.
TAKBIR!!!hanya untuk ISLAM
Sekian terima kasih tuan....

Unknown said...

Salam tuan MSO

PAS penuh dengan penyakit sekarang mcm manusia sekali sekala demam...nk tunggu baik mcm2 klinik,doktor dan ubat dicuba...ubat terbaik ialah muktamar...doktor terbaik ialah perwakilan yg mewakili akar umbi...

Kita akan lihat penyakit mana yg akan terhumban dan keluar dari PAS seperti sejarahnya yang panjang...insya Allah

wasalam

Jarak said...

Sebelum ini saya amat mengagumi TGHH tapi bila berlaku krisis MB Selangor sesiapa yg sayang pada PAS dan TGHH perlulah nasihat TGHH berehat dari menerajui PAS kerana banyak kerosakan yg semakin mencalar bahkan masyarakat awam sudah hilang hormat pada golongan yg mengaku Ustaz dsb. Semua ini bila tidak ada sifat amanah dalam perjanjian dan tidak bercakap benar di kalangan pimpinan PAS.

Unknown said...

Saya setuju PAS di bawah Hadi Awang semakin hari semakin teruk dan parah, bukannya semakin baik...

Ku ingat Taqwa said...

Setuju

Unknown said...

Salam tuan....

Zulhazmi at takanan peguam pas yg rekemen presiden dikenakan tindakan tata tertib 2 bukan ke yg kalah dalam pemilihan ketua pemuda pas?

Saya lihat dia agak aktif dlm pas tp syg ditolak oleh pemuda pas dari jadi ketua...

Saya khuatir mungkin generasi muda pas turut dikuasai geng UG dan ini adalah generasi yg akan memimpin masa depan...

Kita lihat pemuda pas juga tidak aktif dalam mengeluarkan kenyataan menentang presiden dan agak playsafe disitu...boleh dicurigai bahwa suhaizan kaiyat itu geng UG...

Harap mimpi ngeri geng UG menguasai pemuda tidak menjadi kenyataan...kalau tak habis lah pas...jem kreng kata org ganu...

Wasalam

bat8 said...

Tuan

Pemuda PAS Pusat juga menghadapi masalah puak ulamak UG dan profesional. Ini kita boleh lihat bagaimana kempen puak pemuda ulamak berkempen.

Masih ingatkah masaalah yang timbul yang dihadapi oleh ketua pemudaSuhaizan untuk melantik setiausaha, ketua penerangan dan ajk dilantik? Yang menjadi ketua yang mendatangkan masaalah diketuai oleh menantu TGHH, Zaharudin atau Din Ayam.Grup ini nak Din Ayam jadi SU. Kecoh jugalah. Last2 kompromi punya kompromi, Din Ayam di beri jawatan ketua penerangan DPP Pusat. Bayangkan kalau Din Ayam jadi SU. Din Ayam macam jadi ketua pemuda, suhaizan jadi ajk je.

Inilah puncanya suhaizan dok dendiam dlm isu MB Selangor ni. Juga sebab mengapa DPP Pusat nampak lgi lesu dari zaman tantawi. Din Ayam juga adalah ahli MSU. Bayangkan betapa solidnya kedudukan sang menantu, Din Ayam didalam PAS.

Najwan said...

Politik sekular, selagi mana menguntungkan pihaknya, di situlah semuanya betul belaka. Nama Islam mesti dibuang dari PAS sebab ia begitu memalukan. Memilih demokrasi tapi Presiden ada kuasa veto, lebih baik jangan buat pemilihan JPP lepas ni. Bila dinasihat, kita dibodohkan pulak. Diorang ni akhlaknya semakin punah bila suka cakap belakang, memfitnah dan memungkiri janji.