BINGKAI MALAM
Selamat berjumpa, saya tidak memberi sorotan khas terhadap muktamar Pas ke-60 yang berlangsung buat pertama kali di negeri yang dianggap kubu Umno, Johor dua tiga hari lepas. Liputan dalam ruang lain dan juga celehan atau singgungan saya dalam Facebook, sedikit sebanyak memberi gambaran akan bagaimana mood saya kepada muktamar berkenaan.
Jarang saya mis untuk hadir memerhati muktamar Pas. Tetapi kali ini saya kurang minat untuk ikut sama memerhati. Entah macam mana jadi tidak ada angin pula. Perkembangan muasir dalam Pas, terutamanya pertelagahan mengenai hala tuju Pas, tentang hubungan Pakatan Rakyat menjadi saya tidak ada angin. Jadi putus nafsu.
Kehangatan dalam muktamar sudah diagakkan sejak awal. Cuma ia tidak sangka jadi seperti apa yang sudah terjadi. Ada beberapa kejadian dalam muktamar itu agak luar biasa, dan apakah ini menandakan Pas sudah semakin hebat, dinamaik atau sebaliknya. Atau pun parti agama itu membuang tabiat?
Misalnya kejadian di pra muktamar Pemuda agak mengejutkan apabila ada sebilangan budak-budak Pas yang baru tumbuh janggut dan pandai pakai kopiah bertindak meninggal dewan sebagai protes Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu yang berucap merasmikan muktamar dewan berkenaan.
Mungkin tindakan ini sesuatu yang pogresif bagai Pas, sebagai sebuah parti harapan di masa hadapan. Selain tindakan itu ada juga perwakilan yang membaca doa menghentam pemimpin Pas. Mohamad Sabu berseloroh untuk masa akan datang akan ada pula bacaan talkin dalam muktamar Pas. Atau di masa depan lagi akan ada yang menggali kubur dan siapkan liang lahad.
Tidak cukup dengan itu berlaku juga sorakan dan "booo" dalam muktamar. Kejadian ini sesuatu yang memalukan dan ia tidak pantas berlaku kepada Pas. Sekali lagi kejadian seperti ini meletakkan Pas sebuah parti yang akhlak ahlinya boleh diperrtikaikan. Ada yang memperlikan slogan suci Pas, "Allahuakbar" telah diganti dengan "booo". Tidak terlupa kejadian merampas pembesar suara juga turut berlaku kali ini. Hebat.
Manakala kemuncak kepada "keajaiban" atau kemelampauan dalam muktamar kali ini apabila presiden Abdul Hadi Awang sendiri tidak dapat mengawal emosi dan dilanda angin kus-kus dengan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak "berbangsa" agama dan melambangkan pemimpin yang berakhlak mulia, seperti menegluarkan perkataan "barua" dan juga menuduh ada orang mencuri atau membeli Adun Pas?
Ledakan amarah Abdul Hadi itu luar biasa dan kontradik dengan upacan pembukaannya yang memberi jaminan bahawa Pas akan terus bertahaluf syiasi dengan Pakatan Rakyat. Apakah Abdul Hadi kini sudah diserang kealpaan, alias nyanyuk sehinggakan tidak dapat mempastikan apa yang diucapkan sebelum ini?
Perkataan dan keluhan kesat itu boleh dimaaf kalau ia berlaku di peringkat budak-budak dalam Pas yang masih mentah dan penuh "getah" perjuangan, tetapi tidak manis kalau ia berlaku kepada presiden yang kini sudah berada di hujung. Budak-budak dalam Pas yang pertama kali masuk ke dalam muktamar Pas tak ubah seperti anak lembu dogol yang baru dikenakan jerat. Mereka akan melompat dan "bergelenyer geladi" untuk membebaskan diri.
Abdul Hadi pula kini sudah macam pohon buluh yang tinggi dan pucuknya sudah meloyah ke bumi. Beliau harus menjadi penegur dan pembimbing dan bukan cuba menjengukkan pucuk ke langit lagi. Betapa dia berusaha untuk menjenguk ke langit, batangnya yang panjang dan makin lembut dan "pohu" itu tidak dapat menegakkan diri lagi. Angin semakin kuat merebas dan menggoyangkan kesasaannya selama ini.
Abdul Hadi kini bukan Abdul Hadi "dolu-dolu" lagi. Kehebatan Abdul Hadi sebagai pembaca sirah pada tahun 80-an sudah tinggal kenangan.
Biarlah kita tinggal balada muktamar Pas yang meninggalkan seribu kesan dan peristiwa itu. Mari kita alih pandangan untuk hari eskok, melihat dan menanti apakah akan berlaku pada politik Selangor. Esok katanya pihak istana akan mengumumkan nama bakal MB baru Selangor, untuk melaksanakan majlis angkat sumpah yang dijadualkan pada lusa, 23 September jam 10:00 pagi.
Siapa bakal diangkat menjadi penggati Khalid Ibrahim masih menjadi tanda tanya. Nampaknya individu dan puak yang berkepentingan dalam PKR masih terus berusaha keras agar calon atau orang yang mereka kehendaki terpilih sebagai MB. Masa tersisa yang ada digunakan oleh mereka mendoakan agar calon mereka dipilih dan melakukan lobi dan provokasi menjahamkan suasana.
Media ada mendedahkan tiga orang Adun Selangor telah dipanggil oleh sultan untuk ditemuduga. Mereka ialah dua daripada Pas dan seorang daripada PKR. Daripada Pas Iskandar Abdul Samad dan Dr Yunus Hairi. Manakala daripada PKR Mohamed Azmin Ali. Salah seorang daripada mereka mengakau kepada saya yang dia dipanggil menghadapi sultan dua hari lepas.
Tidak pula disebut Dr Wan Azizan Wan Ismail turut dipanggil ataupun dua lagi Exco Pas, Selehin Muhyi dan Dr Halimah Mohamad Ali. Apakah ketiga nama ini, Dr Wan Azizah, Halimah dan Selehin sudah boleh dipecat, dan senarai pendek kini hanya tiga nama; Iskandar, Dr Yunus dan Azmin? Atau pun nama Iskandar dan Yunus juga sudah tertanggal apabila presiden mereka mengatakan tidak pelahap (lapar) jawatan MB?
PKR seperti sudah yakin yang Azmin akan dilantik menjadi MB. Kalau tidak, masakan ada yang terus berusaha agar Azizah dilantik menjadi MB walaupun istana sudah menzahirkan ketidaksetujuannya.
Dengan memperjuangkan supaya Dr Wan Azizah menjadi MB bererti puak ini tidak mahu Azmin dilantik menjadi MB. Apakah usaha ini walaupun sia-sia, sebab sultan memberi isyarat menolak Wan Azizah, tetapi ia sengaja juga dilakukan untuk menimbulkan suasana sehingga Azmin tidak dilantik?
Cara puak dalam PKR sendiri menimbulkan suasana ini seakan mahu menganggui kepala sultan kemudian tidak melantik Azmin? Begitu barangkali?
Kalau niat kacau ganggu itu untuk memastikan Azmin tidak dilantik menjadi MB, ini bermakna mereka yang mendokong Dr Wan Azizah itu lebih rela kalau Adun Pas dilantik menjadi MB berbanding dengan Adunnya sendiri. Permainan politik biar "sama-sama saja", nampaknya dipraktikan dalam PKR. Golongan yang diketuai Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail ini semacam sedang mencipta susana ke arah itu?
Kepada golongan yang cuba mengagalkan Azmin jadi MB, apakah mereka lebih rela kalau DUN Selangor dibubarkan? Peluang untuk DUN Selangor dibubarkan terbuka luas sekiranya Adun Pas yang dilantik menjadi MB. DAP tidak mungkin akan memberi sokongan kepada Adun Pas itu. Dan PKR sendiri adalah tolol kalau mereka merestui Adun Pas jadi MB, tetapi sanggup mengkhianati Adun sendiri. Kalau ini berlaku bererti setengah orang dalam PKR sedang mempraktikkan "politik babuk".
Saya tidak mahu meramalkan apa-apa akan berlaku esok. Cuma apa yang hendak saya katakan di sini, sekiranya Selangor huruhara, yang akan menerima nasib malang dan boleh mengakhiri hayat politiknya, tentulah pemain utamanya Anwar Ibrahim dan pemain utama keduanya Abdul Hadi Awang. Bagaimana ketragisan bakal menimpa mereka berdua bergantung kepada keputusan sultan esok.
Dan saya tetap berkata kalau pihak tertentu menyakini jika pilihan raya Selangor diadakan semula dan ia memberi ruang dan peluang baik kepada Umno, DUN Selangor tetap akan dibubarkan juga sebelum menjelang tiba pilihan raya umum ke-14 yang bakal menjelma 2018. Kalau DUN Selangor dibubarkan rakyat berpeluang untuk menghukum pengkhianat politik dalam Pakatan Rakyat. [wm.kl.6:59 pm 21/09/14]
1 comment:
Siapa pun yang diperkenankan Sultan jadi MB esok, nampaknya suasana politik Selangor tak akan tenang dik kerenah ahli politik yang rakus dengan kelicikan akalnya.
Anwar, Abdul Hadi dan lain-lain bukan manusia kudus yang diutus tuhan. Mereka memiliki kekuatan tertentu, malah turut dihurungi kelemahan.
Faktor kekuatan individu bagi sesebuah parti lebih cenderung kepada Anwar. Tanpa Anwar, PKR akan berkubur sedikit masa lagi. PAS mempunyai tokoh selain Abdul Hadi sekiranya perlu.
Oleh yang demikian, saya rasa keputusan Sultan esok, adalah keputusan yang mengorek kubur untuk Anwar dan PKR.
Post a Comment