Friday, September 5, 2014

Mustafa dan Saifuddin elok berundur

SUSUPAN PAGI                                                                                    

Kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh Setiausaha Agung Pas Mustafa Ali dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berhubung kemelut dalam politik di Selangor sungguh tidak menggambarkan profesional mereka sebagai jurucakap parti. Kebusukan kemelut di Selangor menjadi bertambah hanyir dengan kenyataan-kenyataan mereka yang tidak konsisten, mengelirukan dan penuh dengan sifat "belut menjadi keli, keli menjadi belut" atas berkepentingan sendiri.

Mustafa Ali
Saifuddin Nasution Ismail
Saya tidak mahu merujuk kepada kenyataan atau sikap mereka sebelum ini yang saya rasa sudah dirasai oleh semua orang, tetapi mengambil dengan apa yang terbaru mereka lalukan. Kenyataan dan sikap mereka menjelaskan atau memberi gambaran siapa mereka sebenarnya.

Misalnya kenyataan Saifuddin Nasution Ismail mengenai surat daripada Istana Selangor sangat memalu dan mencurigakan.


Sebaik pihak PKR menerima surat dari istana itu Saifuddin membuat kenyataan (tafsiran) yang Sultan Selangor tidak menolak nama Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik menjadi MB Selangor. Mustahil beliau tidak menatap isu surat berkenaan dan memahami isi kandungan.

Sebagai seorang Setiausaha bukan sahaja harus nampak bijak tetapi perlu benar-benar bijaksana. Beliau juga perlu cekap dan mempunyai sedikit ketelusan berbanding dengan orang lain. Sebab Setiasauaha adalah nadi kepada organisasi. Kenyataan atau kata-kata yang keluar dari rahang Setiausaha Agung ia menggambarkan kata-kata rasmi dan arahan daripada parti.

Selepas beberapa minit kenyataanya disiarkan media massa, ia ditarik balik. Penarikan itu dilakukan oleh pihak lain dan bukan Saifuddin sendiri. Apakah makna dan erti semua itu? Ralat itu memalukan partinya dan menjelaskan bahawa Saifuddin seorang yang bukan telus dan boleh dianggap cuba memanipulasikan dengan murah surat daripada sultan itu. Beliau juga boleh dianggap sebagai bekerja sambil lewa.

Seperti dikatakan tadi beberapa tindakan politik Saifuddin sebelum ini juga lebih merosakkan parti daripada menjayakannya. Langkah merebut jawatan timbalan presiden dan persekongkolan dalam projek Kajang Move adalah antaranya. Kegagalan Saifuddin juga ialah untuk mencantumkan Anwar Ibrahim dengan Zahid Hamidi dalam apa dimanamakan Konsensus Nasional.

Demikian juga dengan telatah dan gelagat Mustafa Ali di pihak Pas. Kenyataan Mustafa macam keling jual kacang butir berbelit-belit dan berputar-putar macam pokok reribu. Bagi saya kalau bertembung dengan Mustafa dan ular senduk, Mustafa dahulu yang perlu dielak atau pun dipukul. Selicin-licin belut, Mustafa lebih licin dalam permainan politik adu dombanya.

Mulanya beliau membuat kenyataan dengan menegaskan yang Pas tidak sama sekali mencalonkan Adunnya sebagai MB sebab kerusi MB Selangor diperuntukan kepada PKR atas dasar konsensus.

Katanya Pas menghormati hak PKR untuk menjadi MB Selangor. Kenyataan itu memberi gambaran yang Pas ikhlas dan jujur. Walaupun ada desas desus dan pendedahan yang Pas turut menghantarkan nama Adunnnya, tetapi Mustafa tetap menafikannya. Orang ramai juga beranggap pendedahan itu bersifat liar dan bertujuan untuk membusukkan Mustafa.

Penegasan Mustafa itu telah meredakan keadaan dan keraguan orang ramai terhadap Pas sebelum ini. Bagaimana pun semua kepalsuan dan ketidakjujuran kata-kata Mustafa itu akhirnya terdedah juga. Beliau mengakui yang nama Adun Pas ikut diserahkan kepada sultan bersama nama Adun PKR.

Katanya hanya seorang sahaja nama Adun PKR diserahkan sebaliknya dua lagi nama Adun Pas. Tetapi hakikatnya jelas bahawa Pas turut menghantar nama Adunnya juga. Pendedahan ini sangat memalukan dan moral Mustafa sebagai ahli politik dari kumpulan agama jatuh berlebak. Sikap adu domba dan munafik Mustafa itu sedikit sebanyak meruapkan bau busuk kepada Presiden parti dan Pas seleuruhnya.

Sejak Pas mula merombak balik keputusan daripada bersetuju untuk menghantar nama Dr Wan Azizah dan Mohamed Azmin saya sudah dapat menangkap apa yang ada dalam hati Mustafa Ali dan Pas. Saya sudah pun menulis dalam blog ini mengatakan Pas mencari peluang untuk mendapat kerusi MB Selangor. Pas terus berdolak dalih dan menelan PKR dalam senyum.

Ternyata telahan saya itu benar apabila hakikat itu terdedah bahawa Pas turut menghantarkan nama Adunnya. Tidak menjadi masalah kalau Pas hendak menghantarkan nama Adunnnya dan mengharap kerusi MB diperolehinya, tetapi yang dipersoalkan ialah sikap tidak jujur Pas dan Mustafa Ali.

Kalau hendak hantar juga nama Adun Pas, termasuk nama Dr Halimah Mohamad Ali pun boleh, cakap terus terang. Pas dan Mustafa tidak fikir bahawa dengan sikap munafik begitu menyebabkan kepercayaan orang ramai kepada Pas terjejas. Moral dan maruah Pas yang dibina kesekian lama sebelum ini sedikit demi sedikit terhakis gara-gara politiking Mustafa Ali.

Dalam dunia hari ini sesiapa pun tidak dapat menyembunyikan apa-apa rahsia sebab sempadan menutup rahsia sudah tidak ada lagi. Bukan sahaja dengan berleluasanya ruang media baru, tetapi dalam diri manusia itu sendiri sudah tidak ada sifat kerahsiaan dan nilai integritinya juga sudah semakin menipis. Segala sumpah, akur janji dan sebagai yang dilakukan semuanya palsu dan tipu semata-mata.

Melihat kepada kelemahan dan politik dangkal profesional kedua-dua Setiausaha Agung parti itu, Saifuddin dan Mustafa Ali eloklah mereka berundur secara terhornat. Dengan apa yang mereka lakukan (mereka lebih tahu nawaitunya), sudah melayakkan mereka berundur dari jawatan itu. Orang-orang seperti mereka, tidak jujur, berdendam dan gagal menunjukkan kebijaksanaan tidak menguntungkan parti sebaliknya boleh menghancurkan parti. Mereka kini menjadi ibu busuk kepada parti.

Misalnya Saifuddin sepatut diundurkan sebelum PKR mengambil tindakan mengundurkan Khalid Ibrahim lagi. Dunia silap mata sudah tidak laku lagi dalam dunia politik hari ini. Kehebatan pidato dan mengemukakan hujah tidak semestinya ia menjamin kejayaan.

Begitu juga dengan Mustafa Ali, beliau patut meninggalkan kerusi Setiausaha itu apabila klik videonya yang menayang sependul (seluar dalam) disebarkan dengan berleluasa di internet. Beliau tidak wajar mempertahankan kedudukannya itu kadanti pun klik video itu palsu kerana dari segi moralnya ia mencemar dan menajiskan Pas. Hampak dan tengik seluar dalam akan menganggu kewangian Pas sebagai parti agama. [wm.kl.8:32 05/09/14]
Post a Comment