Tuesday, September 9, 2014

Jangan prejudis kepada PasMa

ULSAN PERISTIWA                                                                                         

Kehangatan dan sambutan membanggakan terhadap forum "Pas Campur Umno: Ke mana halatuju", anjuran Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) memberi gambaran satu gelombang atau kebangkitan baru dalam dunia politik negara ini akan berlaku. Walaupun jumlah kehadiran malam tadi sekitar 1,000 orang, tetapi ia sudah mencukupi untuk memberi isyarat penting kepada Pas terutamanya mereka yang cuba menjatuhkan Pas dari landasan yang sedang bergerak kini, Pakatan Rakyat.

Ahli panel, Mujahid, Aziz Bari dan Phahrolrazi terlindung.
Kalau forum itu tidak diriuhkan dengan pembatalan dan sabotaj pihak tertentu, saya yakin jumlah yang hadirnya lebih ramai. Begitu juga kalau lokasi forum itu diadakan ditempat lebih kondusif dan lebih luas, pasti jumlahnya melebhi 1,000 orang.

Satu gambaran yang tampak mereka yang hadir terdiri dari pelbagai kaum, peringkat usia dan juga latar belakang. Minat orang ramai itu juga memberi petanda kemunculan PasMa itu dinanti-nanti dan ditunggu-tunggu.
Bukan sahaja golongan profesional liberal (prolib), tetapi ada anak-anak muda berkopiah ala-ala ustaz Juzu Amma pun hadir. Apakah mereka merupakan spy mana-mana pihak untuk meninjau forum tersebut, atau pun apa? Beberapa orang anak muda yang datang bersalam dengan saya menjelaskan mereka hadir atas fungsi dan tanggungjawab mereka sebagai penerus kerjasama politik yang ada. Ertinya mereka bukan spy yang dihantar.

Sebahagian yang hadir.
PasMa sebagai penganjur perlu berpuas hati. Walaupun persatuan itu ditubuhkan tidak sampai sebulan tetapi sambutan dan bicara terhadapnya sudah meluas. Dimana-mana orang bertanya mengenai PasMa. Masing-masing bertanyakan untuk menyertainya dan ada yang menawarkan diri untuk menjadi aktivis PasMa. Pertanyaan paling poular ialah apakah ia menjadi alternatif kepada Pas yang akan terus berdakapan dengan Pakatan Rakyat.

Forum malam tadi menjelaskan kedudukan dan maksud penubuhan PasMa itu sendiri. Bekas Exco kanan Kerajaan Kedah Phahrolrazi Mohd Zawawi selaku presiden hadir memberi penjelasan mengenai PasMa mengenai tujuan dan matlamat penubuhannya. Jelas hasratnyta baik sekali. Menurutnya PasMa bukan pesaing kepada Pas, tetapi satu Ngo yang akan mempertahankan Pakatan Rakyat. Dalam erti kata lain PasMa menjadi benteng kepada kerjasama (tahalul syiasi) Pas dengan PKR dan DAP yang berjalan sekarang ini.

Tujuan mengatakan PasMa bakal menjadi sebuah badan siasah yang menentang Pas adalah tidak benar dan lahir dari ilusi daripada orang yang sedang dikejar bayang-bayangan kelemahan sendiri. Mereka yang tidak ada keupayaan memimpin serta tandus idea bagaimana hendak mengembangkan Pas akan diserang oleh rasa takut itu. Mereka berilusi begitu juga sebenar mereka yang sakit.

Penjelasan Phahrolrazi itu diperkuatkan lagi dengan ketegasan oleh Ahli jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mujahid Yusuf, yang mengatakan bahawa Pas sama sekali tidak mempunyai niat untuk bersama Umno. Pegangan Pas itu menurut Mujahid berdasarkan kepada keputusan dan persetujuan dibuat dalam mesyuarat Pas. Ini katanya termasuklah juga mengenai soal jawatan MB Selangor.

Tegas Mujahid kalau pun Adun Pas dipilih sebagai MB menggantikan Khalid Ibrahim, Pas akan tolak kerana itulah keputusan Jawatankuasa Pas. Jadi katanya tidak timbul untuk Pas bekerjasama dengan Umno dan kalau usaha ke arah itu diadakan ia akan ditentang. Penjelasan Mujahid itu sangat mujarab dan menjerat ke dalam hati hadirin.

Kemunculan PasMa secara mendadak itu adalah untuk memperkuatkan Pas di atas landasan sekarang ini atas keyakinan pencapaian terbaik Pas waktu ini adalah hasil kerajsama politik dengan PKR dan DAP. Hakikat ini jarang disedari mereka yang meragui dengan keberkesanan Pakatan Rakyat apa lagi yang mempunyai agenda lain.

Selain Phahrorazi dan Mujahid, forum malam tadi juga memampilkan Dr Abdul Aziz Bari. Aziz yang mulanya tidak disenaraikan sebagai panelis turun menggantikan Husam Musa yang beriya-iya untuk menjadi ahli panel tetapi tidak muncul-muncul tanpa sebab yang jelas tetapi mudah untuk ditebak akan sebab musababnya. Menjadi fiil Husam akan menngecualikan diri dalam keadaan-keadaan kritikal dan memerlukan penanggungjawab yang jelas.  Seorang lagi ahli panel dicadangkan Ahmad Awang juga tidak hadir. Mungkin beliau tidur awal malam tadi, maklumkan sudah berusia. Letih.

Aziz banyak memperkatakan mengenai pergolakan di Selangor termasuk berhubung kuasa sultan dalam menentukan MB Selangor. Walaupun forum berkenaan bukan maksud hendak membangkitkan apa yang berlaku di Selangor kini, tetapi hadirin tidak dapat mengelakkan daripada mengungkit dan menarik isu Selangor itu.

Di sini menjadikan forum semalam ditangan Aziz agar tersasul sedikit, seolah-olah ia forum untuk mencari jawaban apakah proses perlantikan MB Selangor yang tertangguh kini akibat ulah Pas itu. Namun apa-apa isu mengenai Selangor masih relevan dan menarik minat umum.

Berbalik kepada tujuan forum tadi dan kewujudan PasMa, ia tidak sepatutnya dicurigai dan disangsikan. Apa lagi diprejudiskan sebagai mengancam Pas. Mereka yang mendominasi PasMa adalah orang-orang suci Pas. Saya tidak fikir mereka bergerak untuk menghancurkan Pas, kerana Pas adalah anak atau ibubapa mereka yang sejati. Hanya orang gila sahaja bertindak demikian. Saya yakin pemain dalam PasMa bukan keturunan jahiliah.

Apa dijelaskan itu bahawa PasMa menjadi satu mekanisme untuk mengekalkan Pas dalam Pakatan Rakyat, tidak lebih daripada itu. Hasrat ini menyebabkan kebimbangan disuarakan Naib Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man tidak berbangkit. Tanggapan ia adalah sebahagian projek untuk "melanggar" Abdul Hadi Awang adalah tidak benar dan kalau itulah motifnya PasMa akan ditolak oleh segenap ahli Pas.

Justeru Tuan Ibrahim sendiri tidak perlu takut dengan PasMa atau pun cuba memberi gambaran yang PasMa itu berniat tidak baik kepada Pas. Sebaliknya dalam pengamatan saya mereka yang tidak suka kepada PasMa adalah mereka yang berhasrat untuk menyatukan Pas dengan Umno. Bagi mereka kewujudan PasMa dilihat menjadi penghalang kepada usaha busuk mereka. Dan begitu juga mereka yang memberi sokongan dan teruja dengan kewujudan PasMa kerana mendokong Pas agar terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

Bagi mereka yang menerima tahalul syiasi sudah pasti akan bersama PasMa untuk mempertahankan kekuatan yang ada kini. Selepas ini sesiapa dalam Pas mempersoal dan meragui PasMa adalah mereka yang jelas mahukan Pas keluar dari Pakatan Rakyat dan ironisnya lagi mahu "beroman" dengan Umno dalam temaram politik hari ini (pinjam istilah Aziz Bari).

Begitu juga dengan Abdul Hadi Awang tidak perlu menerima jaruman oleh mana-mana pihak dengan mengatakan PasMa akan menjadi sebuah parti baru untuk menggantikan Pas. Tidak ada keperluan untuk PasMa atau sesiapa buat begitu. Bukan soal parti serpihan biasanya akan mati, tetapi tidak ada sebab qati'e bagi PasMa bertindak demikian.

Saya juga yakin mereka yang mengagaskan PasMa atau pun mereka yang tidak setuju dengan tindak tanduk dan sikap tidak profesional sebagai presiden sedia untuk melawan Pas dengan menubuhkan satu fraksi baru. Seperti saya katakan sebelum ini mereka yang berada dalam Pas tidak perlu keluar Pas walaupun dihalau sekalipun. Sindiran atau ejekan bukan perlu dilayan sehinggakan merasa rendah diri kemudian angkat punggung meninggalkan Pas.

Pas adalah hak semua orang Pas tidak kira mereka dari negeri mana, bangsa apa ataupun apa latar belakang pendidikan mereka. Pas bukan hak golongan merasakan ndir mereka ustaz dan ahli syurga. Pas juga adalah hak orang biasa, pendengar ceramah dan golongan profesional. Sebagai hak bersama sesiapa pun layak menerima Pas sebagai pesaka atau wadah penerus perjuangan.

Sekiranya ada mana-mana golongan yang cuba hendak dinyahkan daripada Pas kerana apa-apa sebab, maka golongan itu tidak perlu kesal atau kecewa sehingga hendak keluar Pas dan menubuhkan wadah baru. Mereka harus cekap dan berani untuk mempertahankan diri mereka agar Pas menjadi milik mereka bersama juga. Sekiranya selepas perjuangan itu nanti takdir mengalahkan, maka tidak ada jalan lain melainkan kena membahagi duakan Pas.

Jangan pula ada mana-mana pihak cuba mengarakkan api dengan apa yang berlaku malam tadi. Jangan jadikan kejayaan forum malam tadi sebagai pemulaan sedang bergerakkan sebagai usaha hendak menjadikan PasMa sebagai sebuah parti politik. Baik di pihak PasMa atau mereka yang mencurigai kewujudannya perlu berfikiran bersih. Kena positif kepada PasMa sebagai benteng menguatkan Pas dan Pakatan Rakyat.

Kalau di dalam Pas ada geng itu dan ini atas alasan mempertahankan identiti Pas sebagai sebuah parti agama, maka peranan PasMa juga begitu, sebagai benteng mempertahankan kuasa politik Pas. Seeloknya geng-geng yang ada dalam Pas itu bergabung dengan PasMa bagi menjadi kelestarian Pas dan menjadikan Pas sebagai sebuah wadah yang hebat, disegan dan menjadi alternatif kepada Umno.

Sesuatu itu akan menjadi baik kalau kita berfikir positif terhadapnya, sebaliknya ia akan menjadi buruk kalau kita melihatnya secara negatif dan penuh kecurigaan. [wm.kl.10:51 am 09/09/14]

7 comments:

Unknown said...

Saya suka PAS kekal menghayati iltizam saperti di era Arwah Ustaz Fadzil. UG semua ini adalah karut belaka.

pemerhati said...

salam...

kalu pasma didaftar sbagai parti politik, bertambah lemah la ore islam/melayu. ini bermakna ubn akan perintah mesia sapa kiamat. apabila (kalu) pasma jd parti politik, ore Pas akan berpecah. ada yg stay sbagai Pas, n ada yg masuk Pasma. Ubn akan trsyum lebar. ambo X lihat yg rama i ore Pas yg akan sertai Pasma..mgkn sktr 20-30% je. Pas akan jd lemah. Pasma lak jd parti kecik dale PR. Populariti Pkr terutama'y jatuh merundum ekoran krisis Mb. Dap rasa'y x terkesan sgt. org2 bwh skang duk citer Anwar rakus n gopoh dlm wt sesuatu prncgn. lebih gerpak jah!! ore bwhn dh ile keyakinan kt Anwar u perintah Mesia. ambo masih berhrp agar ikatan PR sedia ada x berpecah, bahkan b+ kuat. buangkan ego msg2 u Islam dan rakyat. selesai nga segera n baik dlm isu Mb.

Wan Naza said...

Nak tahu juga kenapa NGO tautan Rahmat (Pengerusi Ust Syed Abdul Q
Kadir Al Jofre) & NGO Geng Ustaz (presiden Ust Norazli Musa) tidak dijadikan isu. semua ahli PAS yg tubuhkan.

maae said...

..he..he..tulis lah apa pun... zahir nya nampak baik.

Tersurat dan tersirat hanya boleh di nilai oleh mereka-mereka yang waras. Generasi muda melayu pro-pembangkang di jadikan unggun api sahaja. Dari segi politik mereka semua di tarbiyah dengan cara yang salah, menjadi pembenci dan pemfitnah. Menjahanamkan masa depan sendiri...

Saya komen di atas platfom Melayu Islam. Kemana arah tujuan ? Ada kah berpecah menjadikan kita hebat ? Musuh Islam semakin bertambah kuat di atas sokongan PasMa ini yang nenentang MSU.

( Saya tahu komen ini tidak di siarkan. Tuan orang lama, juga saya, kita tahu Islam itu mengajar dan mendidik yang baik-baik. Paling hina bila berpecah belah... kesukaan musuh Allah SWT )

Unknown said...

Hadi Awang telah merasakan PAS itu milik dia dan boleh digunakan untuk keluarganya. Sedap cakap menyuruh orang lain yang tidak sebulu dengannya agar meninggalkan PAS kerana dianggap kumpulan ini mahu lari dari hala tuju perjuangan PAS. Pada hal Hadi Awanglah yang mahu membawa PAS ke arah yang disukainya nafsu egonya.
Jadi siapakah yang sepatutnya keluar dari PAS? Hadi Awanglah yang sepatutnya keluar dari PAS. Saya yakin PAS tanpa Hadi Awang akan lebih baik dan bergerak maju ke hadapan!

zali said...

Suka suka meluahkan pandangan. Kemungkinan untuk diperstujui dan dibangkang, tetap ada. Kalaulah tiada langkah kajang dan langkah ke putrajaya, pemainan politik anwar tidak hebat. Biasa biasa aje. Menangani dua langkah tersebut cukup perit buat bn. Malang sekali kedua langkah dipeteh oleh hj hadi yang saya lihat tidak berupaya membuka langkah seperti itu.
langkah ketiga pasti akan dibuat dan saya harap tidak akan dipeteh lagi dan regu regu lain sudah boleh memahami dan tahu apa yang perlu dilakukan. terima kasih.

Unknown said...

Sepatut nya ahli ahli PAS yg mahu kebenaran seharusnya mencabar keputusan Hadi di mahkamah.Dalam.mahkamah kita blh lihat segala keputusan dibuat mengikut nafsu atau perlembagaan parti.
Jgn takut kpd kebenaran.