Saturday, September 6, 2014

Kemelut MB Selangor ganggu PKR di Pengkalan Kubur

PENGKALAN KUBUR 4                                                                

Walaupun masih belum dimuktamadkan, tetapi Pas semacam sudah pasti akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubur. Kempunan Pas untuk mengambil alih kerusi Pengkalan Kubur daripada PKR nampaknya akan menjadi kenyataan kali ini. Pas berhajat untuk mengambil kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-13 lalu. Penyelia DUN Kuala Balah yang sebelum ini diberikan kepada PKR sudah pun disambar apabila ianya ditekan oleh Yang Dipertua Pas Jeli.

Kamaruddin Jaafar
Usaha untuk menafikan PKR di Pengkalan Kubur telah dilakukan, dan PKR menerusi calonnya Shahrun Ibrahim hampir-hampir tidak tercapai. Kegagalan untuk "mengehel" PKR itu menyebabkan Pas Tumpat kecewa. Gara-gara itu juga calon PKR yang sudah "miskin" dan kurang berpengaruh di Pengkalan Kubur disabotaj dan akhirnya kalah teruk.

Shahrun gagal mengekalkan majoriti diperolehi calon BN Noor Zahidi Omar dalam pilihan raya tahun 2008 yang hanya sebanyak 150, apabila Noor Zahidi menambah majoriti sebanyak 1,736 undi.


Berdasarkan keputusan itu Pas jadi semakin "gelenyer" untuk mengambil kerusi berkenaan. Kekosongan kerusi berkenaan ekoran kematian Noor Zahidi itu memberi peluang baik kepada Pas.

Dari segi berkawan tidak elok kalau Pas menafikan kawannya. Kalah atau menang sepatutnya kerusi itu diberikan kepada PKR. Sebagai sahabat dan ikrar permaufakatan, kekalahan dan kelemahan sahabat bukan wajar dijadikan alasan dan diambil peluang. Pas sepatutnya membantu PKR bukannya melanyak PKR.

Tetapi nilai persahabatan itu tidak berlaku dalam Pas dengan PKR di Kelantan. Pas lebih menunjukkan "anginnya" manakala PKR bersikap pasif dan senantiasa insafkan diri. PKR sendiri juga tidak cuba membina kekuatan dirinya selain terus menjadi melukut di tepi gantang.

Biarlah, PKR kena izinkan kepada Pas untuk bertanding di Pengkalan Kubur. Sama-sama tengok dan perhatikan apakah Pas boleh menang dan merampas kerusi yang sudah tiga penggal menjadi milik BN itu. Sejarah masa lampau boleh dijadikan kayu pengukur sejauh mana kemampuan Pas. Daripada 13 kali pilihan raya di kerusi itu, Pas hanya menang tiga atau empat kali sahaja, selebihnya dibaham oleh Perikatan/Umno.

Keperluan untuk PKR melepaskan kerusi Pengkalan Kubur itu juga sesuai menandangkan parti itu sendiri kini sedang berhadapan dengan masalah. Isu pengganti MB Selangor yang masih belum ada kesudahan menyebabkan kepala pucuk pimpinan PKR tidak tenang dan berserabut. Dalam keadaan begitu tidak mumgkin PKR dapat menyertai pilihan raya. Moral PKR sudah jatuh awal-awal lagi.

Lainlah kalau sebelum 10 September ini Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengangkat sumpah menjadi MB Selangor. Jawatan Azizah itu boleh dijadikan pengeras semangat untuk PKR meletak calon di Pengkalan Kubur. Sudah pasti kalau Dr Wan Azizah atau kemelut MB Selangor selesai dengan sesiapa sahaja mengangkat sumpah mengganti Khalid, moral PKR akan pulih kembali.

Hari ini dunia sedang memerharti apa yang akan jadi kepada PKR. Gara-gara ada yang keras kepala dan bernafsu untuk menguasi kerajaan Selangor dan parti itu menyebabkan kemelut itu berlarutan. Apakah kesusahan masih belum diketahui. Melihat kepada situasi hari ini seperti ianya tidak akan selesai, dan DUN Selangor akan berakhir dengan pembubaran.

Sehingga jam 3:00 semalam beberapa orang pucuk pimpinan PKR masih bekeras dan mempertahankan Azizah sebagai MB. Mereka berusaha juga untuk "menonyoh" Azizah sebagai pengganti Khalid. Jadi masalah yang membelenggu PKR itu menyebabkan parti itu tidak selesa dan pantas untuk meletak calon di Pengkalan Kubur.

Bukan itu sahaja, ketiadaan calon yang boleh mencabar Umno juga menjadi puncanya. Di Pengkalan Kubur tidak ada tokoh PKR yang masam kepala. Tumpat memang terkenal dengan kawasan PKR aktif, dan mempunyai ahli yang ramai. Tetapi Tumpat juga terkenal dengan cabang PKR yang berpecah kepada beberapa puak. Saya membuat anologi ahli PKR di Tumpat ada 12 orang tetapi perpecahannya sampai 16 puak.

Maka eloklah alau Pengkalan Kubur diberikan kepada Pas. PKR kalau pun diberi laluan akan kalah sekali lagi. Bagi mengelakkan malu berterusan sebanyak tiga kali eloklah, kerusi diserahkan kepada Pas. Cuma apa yang perlu dipastikan pertukaran secara paksa itu hendaklah dibalas dengan sesuatu imbuhan berbaloi untuk PKR. PKR perlu tegas. Sebab selepas ini PKR jangan berharap kerusi itu akan kembali kepadanya lagi. Dan Pas sebagai rakan yang tidak tamak harus mengasihini PKR.

Apa lagi kalau calon Pas menang di kerusi itu nanti menyebabkan bukan kerusi itu kembali semula kepada PKR, tetapi bayang-bayang pun akan hilang terus.

Dan apabila PKR telah bersetuju memberi laluan kepada Pas, parti itu hendaklah menunjukkan semangat ssetiakawannya. PKR harus gentlemen. Jangan sesekali cuba mengkhianti pilihan raya berkenaan atas alasan melepas geram. PKR harus bekerja sebagai biasa penuh tanggungjawab. Kemenangan Pas nanti akan memberi saham juga kepada PKR. Setidak-tidaknya PKR boleh berbangga kerana mereka bersatulah maka Pas akan menang.

Mengenai siapa calon yang akan diturunkan oleh Pas masih samar. Walaupun ada beberapa nama, tetapi masih dalam pertimbangan. Salah seorang yang disebut akan menjadi calon ialah ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaffar. Bagi saya tidak logik langsung untuk Pas meletakkan Kamaruddin. Katanya analisa peringkat bawah peluang Pas untuk menang cerah kalau Kamaruddin diturunkan Pas. Ini berdasarkan jumlah undi dikutip Kamaruddin di Pengkalan Kubur dalam pilihan raya lalu lebih banyak daripada dikutip oleh Shahrun.

Berdasar itu mereka yang mahukan Kamaruddin membuat kesimpulan bekas Setiausaha Agung Pas itu akan menang kalau diletak menjadi calon. Bagi saya apakah keperluan untuk Kamaruddin diletakkan di situ. Kalau hanya semata-mata untuk menang ia tidak memberi apa-apa pengertian buat Pas. Kedudukan Pas sekarang ini bukan kritikal, (tidak cukup kerusi) atau pun hilang 2/3 di DUN Kelantan. Kalau pun Pas menang ia tidak memberi natijah penting, kecualilah moral kepada kepimpinan Pas hari ini, yakni Ahmad Yaakub sebagai MB dan Pesuruhjaya Pas Kelantan.

Sebaliknya keperluan untuk Pas menurunkan Kamaruddin ada "kulihanya" kalau ada cadangan untuk melantik Kamaruddin menjadi MB Kelantan? Apakah ada ura-ura untuk menggantikan Kamaruddin dengan Ahmad Yaakub? Tetapi apakah cadangan itu dipersetujui oleh Mohd Amar Nik Abdullah yang sedang mengira sekiranya Ahmad Yaakub berundur dia akan mengambli alih jawatan itu secara tradisi?

Tidak. Jadi nama Kamaruddin tidak perlu diseneraikan sebagai calon di Pengkalan Kubur atas sebab-sebab yang disebutkan tadi. Dan beliau sendiri rasanya tidak berminat menandangkan suasana yang berlaku dalam Pas kini. Orang seperti Kamaruddin tidak kemarut untuk menjadi MB, sebaliknya dia lebih mengutamakan untuk melihat Pas muncul sebagai sebuahg parti dinamik.

Jadi siapakah calon Pas. Tunggulah 11 September nanti kerana tarikh itu akan diumumkan seperti mana kata Mohamad Sabu. Yang pastinya Umno akan berhadapan dengan calon Pas bukan PKR pada 25 September nanti. [wm.kl.11:48 am 06/09/14]

3 comments:

azmar said...

Jadi, jalan untuk menutup tembelang kelemahan PKR buat sementara waktu ini, disarankan tidak payahlah menawarkan diri dan berebut kerusi untuk menjadi calon di DUN Pengkalan Kubur pada 25 September, 2014 ini. Dengan rela hati dan penuh keinsafan hulurkanlah salam perpaduan kerusi tersebut kepada calon PAS sahaja. Dengan kata lain, semua penyokong PKR di DUN berkenaan dengan hati jujur mengundi calon PAS.
Pas pula dalam memilih calon, walau pun Ybhr Dato Haji Kamaruddin Jaafar, ahli parlimen Tumpat, bekas setiausaha agung PAS pusat dan bekas setiausaha agung ABIM itu nampak ada potensi dan berkaliber dari aspek fizikal, akademik dan pengalaman, tidak seringkas itu dalam membuat keputusan. Benar sekali seperti apa yang dicetuskan oleh mso, kalau tidak untuk diberi kerusi MB Kelantan jika menang dalam pilihanraya kecil itu sebenarnya tiada guna.Orang seperti YBhr Dato Haji Kamaruddin Jaafar ini, dilihat dari susuk luar tubuhnya, pengalaman dan akademiknya, layak menjadi menteri pusat atau sekurang-kurangnya timbalan menteri pusat jika PR memerintah Malaysia. Jadi kalau sekadar untuk menang dan menjadi wakil rakyat kelas ekonomi biasa akan menyusahkan beliau sahaja. Sebab, kalau pun menang atau kalah tidak akan membawa apa-apa kesan buruk dan baik kepada dewan undangan negeri Kelantan yang ada sekarang. Itu pun kalau ditakdirkan menang. Kalaulah sebaliknya ditakdirkan kalah pula, tidakkah maruah, moral dan air muka YBhr Dato jatuh berdebak di hadapan tangganya sendiri.
Jadi, dalam hal ini, berbincanglah wahai para pemimpin PAS dan para pemimpin PKR yang handal-handal dengan penuh rasional, profesional dan istiqamah dalam memilih parti dan menetukan siapa kah calon yang paling layak daripada kalangan bakal calon-calon yang ada di kawasan itu untuk bersabung dalam gelanggang PRKN nanti.
Ingat! Musuh ketat puak-puak demo di situ ialah UMNO/BN yang telah lama bertapak, berkarat dan berakar umbi. Karat dan akarnya nampak semacam merayau dan menjalar hampir-hampir menjamah tebing tanah seberang.

Unknown said...

Keyakinan politik anda semakin matang wahai sahabat.....

dari sahabatmu hamsa iksan

azmar said...

Kesinambungan analisis sdr mso berkaitan dengan kemelut MB Selangor menyebabkan terganggunya PKR dalam pilihanraya kecil di DUN Pengkalan Kubur, pada saya, ada logik dari segi akalnya. Orang yang sedang sakit biasanya tiada maya untuk melakukan apa sahaja aktiviti. Usahkan melakukan sebarang aktiviti, nak makan pun tak lalu, apa lagi kalau hendak disebutkan mengidam. Biasanya, kalau seseorang pemain badminton peringkat negara sudah tewas sebanyak tiga kali secara berturut di peringkat piala Thomas atau dunia, pemain itu tidak akan diambil bermain lagi. Dia akan direhatkan dan diminta menjadi penonton atau penyokong dari luar sahaja. Tidak bolehkah teori ini kita aplikasikan dalam gelanggang politik? Saya rasa semua teori ketewasan dalam apa bidang pun sesuai diterima guna, lebih-lebih lagi dalam gelanggang politik. Gelanggang politik sepatutnya kena melampaui sempadan teori.
Kalau dilihat kepada sejarah yang lepas, calon dari PKR yang bertanding di kawasan itu telah tiga kali tersungkur di tangan calon BN. Nasib baiklah tidak hilang wang pertaruhan sahaja. Termasuk pada PRU ke-13 yang lepas, juga tewas di tangan BN dengan majoriti kalah sebanyak seribu tujuh ratus lebih. Dengan sejarah kekalahan itu, apakah calon PKR akan menang pada pilihan kecil pada kali ini? Melihat kepada isu dan penyakit yang ditanggung oleh batang tubuh PKR yang begitu banyak. Di antara wabaknya ialah isu perlantikan MB Selangor yang sehingga ke hari ini tiada nampak satu tanda akan selesai. Kesan pertandingan jawatan timbalan presiden di peringkat pusat. Kesan pertandingan pemilihan pucuk pimpinan PKR di peringkat bahagian di Malaysia. Isu pengunduran TSKI secara paksarela yang dikatakan berhantu dan ber puaka itu. Semua isu yang disebut di atas yang sedang membungkus PKR itu akan membawa bibit-bibit ke arah punah ranah dalam PKR. Jadi, atas dasar apa bahan kempen dan manifesto yang PKR hendak canangkan kepada rakyat di kawsan DUN Pengkalan Kubur dalam pilihanraya kecil ini. Hendak bawa isu kempen perpaduan rakyat Malaysia? Dengan rakyat bersatu akan dapat menumbangkan kerajaan pusat yang ada sekarang. Menggantikan kerajaan yang baru. Saya rasa amat sukar untuk diterima oleh rakyat tempatan, sebab masalah dalaman dalam tubuh PKR sendiri sekarang pun tak habis hendak dibomohkan. Isu-isu ini semua rakyat telah tahu dan maha mengetahui. Dari kedai kopi kayu api sampailah ke restoran berhawa dingin. Berbuih mulut rakyat berbicara di sana sini, termasuklah saya sendiri. Kalau dalam rumah tangga sendiri pun sudah gerusut, macam mana hendak mengajak orang ramai datang beramai-ramai mencotohi rumah tangga hamba yang misali.