Friday, October 17, 2014

Cabaran Pesuruhjaya Pas Terengganu terhadap Phahrorazi tidak bijak

BINGKAS ULAS                                                                                               

Pesuruhjaya Pas Terengganu Satiful Bahri Mamat mencabar bekas Exco Kedah Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dianggap menjadi presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) agar menubuhkan parti baru dan keluar daripada Pas untuk menguji sejauh mana kewibawaanya.

Satiful Bahri Mamat
Phahrolrazi Mohd Zawawi
Satiful Bahri kurang senang dengan Phahrolrazi yang menggerakkan NGO berkenaan yang pada tanggapannya untuk menyaingi Pas. Katanya tindakan Phahrolrazi itu yang menumpang Pas sebagai pohon dedalu yang menumpang hidup di pokok lain.

Anih dan ajib juga kenapa Satiful Bahri begitu "murih" sekali kepada PasMa. Sebelum ini Pas Terengganu membuat kenyataan melarang ahlinya menyertai PasMa. Kenapa memaksa Phahrolrazi menubuh parti baru untuk berdepan dengan Pas. Apakah dia lupa sejarah Phahrolrazi dan juga tujuan PasMa itu ditububuhkan. Cuba fahami dan hayati untuk apa PasMa itu ditubuhkan?


Phahrolrazi semasa wacana di Kuala Lumpur tidak lama dahulu menjelaskan tujuan PasMa diwujudkan ialah untuk dijadikan benteng kepada Pas yang hendak dibawa keluar daripada Pakatan Rakyat oleh segelintir ahli berkepentingan dan bernafsu. PasMa bergerak mengukuhkan Pas atas semangat Pakatan Rakyat. Bukankah usaha itu sejajar dengan aspirasi Pakatan Rakyat? Dalam erti kata lain, PasMa wujud sebagai "simen konkrit" kepada Pakatan Rakyat.

Apakah hal ini sukar untuk difahami oleh Satiful Bahri dan mereka yang sangsi kepada PasMa? Sebenarnya falsafah dan tujuan PasMa amat mudah sekali. Bagi mereka yang suka menggunakan otak untuk menilai sesuatu akan bertanya, kenapa tiba-tiba sahaja PasMa wujud? Tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengada.

Sekiranya gerakan untuk membawa Pas keluar daripada Pakatan Rakyat tidak wujud, nescaya PasMa tidak wujud. Jika gerakan itu yang dikenali sebagai "UG" berhenti, maka PasMa dengan sendirinya terbubar dan terkubur. Kenapa harus ditarik dan ditarikan perkara-perkara lain yang boleh menyebabkan Pas dalam keadaan tidak tenteram dan menggambarkan tindakan yang tidak profesionalisme?

Satiful Bahri tidak perlu sombong dan merasakan dirinya kuat dalam memperjuangkan Pas. Pas bukan hak negeri Terengganu, tetapi Pas adalah hak semua. Apa-apa tindakan mempertahankan Pas haruslah dibuat secara kolektif (pinjaman istilah kegemaran presiden), bukan secara bersedirian. Pas Terengganu juga perlu begerak sejajar dengan Pas Malaysia sebab parti agama itu bersifat nasional bukan kedaerahan.

Kenapa Pas Terengganu masih tidak mampu untuk membentuk kerajaan, (dan bentuk sekejap hancur), ialah kerana semangat parochia Terengganu itu begitu tinggi. Kegagalan dan kelemahan ini sepatutnya difokus oleh Satiful Bahri. Terengganu merasakan Pas hak mereka kerana suatu masa pemimpin besar parti itu datangnya dari Terengganu. Daripada Presiden, Ketua Dewan Ulamak, Ketua Dewan Muslimat dan juga Setiausaha Agung. Tetapi apakah Pas Terengganu pernah membuat pengukuran sejauh mana kejayaan dicapainya dengan kapasiti yang hebat itu?

Kita tidak menolak ada pandangan dan tuduhan mengatakan PasMa diwujudkan untuk menjatuhkan Abdul Hadi Awang sebagai presiden Pas. Inilah yang menjadi phobia. Kalau ini benar dan agendanya, ia tidak boleh dipertahankan begitu sahaja tanpa merenung ke dalam dan melihat apa yang ada di persekitaran presiden itu sendiri.

Persoalannya kenapa sejak akhir-akhir ini Abdul Hadi hendak digulingkan. Sepatutnya seorang pemimpin agama makin tua makin dihormati dan disanjungi. Orang agama sifatnya macam kelapa (nyiur) makin tua makin lemak santannya. Apa yang berlaku kepada Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya. Walaupun beliau tua dan uzur, tetapi beliau terus dihormati. Kedudukanya sebagai Mursyidul Am tidak pernah cuba diganggu gugat oleh sesiapa. Beliau dianggap togkutu dan pakar rujuk. Seharusnya Abdul Hadi juga jadi persis itu.

Tetapi kenapa Abdul Hadi sampai ada orang hendak menggulingkannya dan sampai NGO diwujudkan untuk tujuan itu?  Kalau benar? Tentu sekali ada sebab musababnya.

Satu perkara yang perlu disebut di sini, perjuangan agama menerusi Pas sebagai organ siasah bukan digerakkan oleh mana-mana individu agama. Tetapi gerakan itu dibentuk oleh perlembagaan. Pas akan tetap menjadi parti agama selagi perlembagaannya tidak dipinda. Individu dalam Pas waima sesiapa pun tidak penting kerana ia adalah individu, manusia yang bukan maksum. Apa yang perlu dipertahankan perjuangan Pas itu bukannya batang tubuh sesiapa.

Sehebat Mohd Asri Muda menjadi presiden Pas akhirnya apabila beliau sudah bercanggah dengan semangat parti pada masa itu beliau juga ditentang. Walhal kalau hendak dikira dari segi jasa dan budi Allahyarham Asri dengan Abdul Hadi panggil tidak dengar bezanya antara bumi dengan langit. Mata sejarah dan mereka yang celit tidak menafikan ini. Tetapi Asri juga dikecam dan didesak agar turun.

Tindakan Satiful Bahri yang membuat cabaran itu sebagai cari jalan balah dan gaduh adalah tidak bijaksana dan tidak menggambarkan beliau seorang pemimpin sebuah gerakan politik berlandaskan agama. Dalam suasana hari ini apa yang penting ialah sepakat memperkuatkan Pas sebagai sebuah parti utama dalam Pakatan Rakyat. Cara balah anjuran Satiful Bahri itu tidak membawa kebaikan kepada Pas melainkan menanamkan bibit kesumat sesama sendiri.

Sebaik-baik jalan bagi Satiful Bahri dan mereka sewaktu dengannya yang tidak suka atau cemburu dengan PasMa, panggil untuk bermuzakarah, berbincang mencari jalan cara baik bagi mengetahui maksud sebenarnya. Saya rasa pihak PaMa juga bersetuju untuk berbincang kerana hasrat mereka adalah demi memperkuatkan Pas dan akhirnya meletakkan Pas sebagai parti berjaya. Apabila Pas memanggil Phahrolrazi dan pendokong PasMa lain, tetapi mereka enggan menyahutnya nah, saat itulah baru mereka boleh dikecam dan dimusuhi.

Tindak tanduk dilakukan Satiful Bahri itu juga menghairankan pemerhati politik dan orang atas pagar. Pas yang dianggap sebagai parti agama tetapi kelihatan liar dan bengkis sesama sendiri. Prejudis tampaknya bertimbun di dalam hati. Apakah akhlak sebegini yang diharap orang akan mendokong Pas? Tidak ada masalah tidak dapat diselesaikan dan Tuhan menyediakan jalan keluar kalau kita semua berusaha mencari jalan ke arah itu - beriman dan bertakwa. [wm.kl.8:37 am 17/10/14]

No comments: