Tuesday, October 28, 2014

Menanti keputusan Istana Keadilan

CATATAN DI PUTRAJAYA                                                                            

Hari ini Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenakan hukuman penjara lima tahun ke atasnya bersabit dakwaan liwat II. Seperti biasa perbicaraan bersabit kes apa sahaja terhadap Anwar ia akan mendapat perhatian umum. Begitu juga dengan perbicaraan hari ini, mendapat perhatian bukan sahaja dari dalam negara tetapi di luar negara juga.
Istana Keadilan: Sejauh mana merealisasikan keadilan.

Ratusan wartawan telah mengerumuni Istana Keadilan di Putrajaya untuk mengikuti perbicaraan maha penting tersebut bagi menentukan kerjaya politik Anwar. Wakil media luar negara juga turut sama hadir untuk membuat liputan. Terjahan begitu ramai petugas media menunjukkan kes membabitkan Anwar itu penting dan bermutu tinggi.

Anwar, suka atau tidak menjadi subjek dan objek untuk menarik perhatian dunia ke negara ini. Anwar telah menjadi objek wisata penting bagi Malaysia.

Bagaimana pun disebabkan ruang mahkamah sempit, menyebabkan tidak semua wakil media dibenarkan masuk untuk mengikuti perbicaraan. Ramai wartawan terpaksa "bersebak" di luar mahkamah, sementara menunggu apa-apa perkembangan dari dalam mahkamah. Setiap kali ada mana-mana pimpinan Pakatan Rakyat keluar dari mahkamah mereka akan menyerbu dan mahukan maklumat.

Anak muda bawa spanduk menyokong Anwar.
Wartawan berkerumu untuk mendapat maklumat.
Perbicaraan itu juga menarik minat orang ramai terutamanya para pendokong tegar Anwar dan ahli PKR dan Pakatan Rakyat. Mereka datang daripada pelbagai pelusuk negara untuk memberi sokongan moral kepada pemimpin kesayangan mereka. Mereka yang selama ini berharap Anwar akan menjadi perdana menteri sanggup turun ke ibu kota semata-mata untuk memberi sokongan dan semangat kepada Anwar dan sanggup meninggalkan urusan kehidupan lain. Bagi saya mereka yang berada di perkarangan mahkamah adalah pejuang rakyat sejati yang dibakar tidak hangus diselam tidak lemas.

Banyak pemimpin tertinggi, para wakil rakyat PKR hadir memberi sokongan. Begitu juga rakan-rakan pimpinan dan wakil rakyat daripada Pas dan DAP. Antara pemimpin atau wakil rakyat Pakatan Rakyat yang terserempak dengan saya termasuk, Idris Jauzi, ahli parlimen Batu Pahat, Dr Mujahid Yusuf Rawa ahli parlimen Parit Buntar, Tian Chua ahli parlimen Batu, Abdul Khalid Samad ahli parlimen Shah Alam.

Dua pemimpin muda Pas turut hadir ke mahkamah.
Dua wakil rakyat Selangor daripada Pas yang digantung keahlian kerana menyokong Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk diangkat menjadi MB Selangor, Hasnul Badaruddin (Morib) dan Saari Sungip (Hulu Kelang) juga hadir. Begitu juga Phahrolrazi Mohd Zawawi Adun Pengkalan Kundur, Kedah yang menjadi presiden PasMa juga turut sama hadir memberi sokongan moral kepada Anwar.

Mereka ini yang merupakan wakil rakyat Pas yang kontroveri kerana tindakan dan prinsip mereka menjadi tumpuan orang ramai. Anak-anak muda khasnya yang menghormati pemimpin berprinsip, tegas dengan tindakan datang bersalaman dan berselfie bersama mereka.

Manakala MB Selangor Mohamed Azmin Ali dan Penasihat DAP Lim Kit Siang berada dalam mahkamah memberi semangat kepada Anwar.

Kehadiran kira-kira 1,000 penyokong Anwar dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat menjelaskan sokongan rakyat kepada Anwar masih ada. Kandati setengah pihak sudah cemuh dan muak mengikuti perbicaraan demi perbicaraan Anwar di mahkamah, namun tetap datang memberi sokongan kerana menyakini Anwar adalah tokoh perubahan di negara ini. Anwar menjadi tokoh yang didambakan untuk menjadi pemimpin perubahan Malaysia.

Sebahagian kaum ibu yang datang dari jauh.
Baner besar ini menjadi backdrop untuk bergambar.
Relatifnya jumlah yang berhimpun di perkarangan Istana Keadilan tidak seramai jumlah pada perbicaraan-perbicaraan sebelum ini yang mencecah ribuan, tetapi kehadiran itu cukup menunjukkan bahawa tungul-tunggul gerigis pendokong Anwar masih ada dan tidak mudah untuk memancungkan mereka. Anwar tidak keseorangan dalam menghadapi tribulasi dan mehnaj perjuangan.

Kalau pun Anwar dibawa ke penjara sekali lagi sekiranya rayuan itu gagal, tetapi mereka yang hadir tetap memberi sokongan itu akan terus menghidupkan perjuangan Anwar. Mereka itu adalah engen kepada agenda sebuah perubahan politik di negara ini yang dipandu dan dibangkit oleh Anwar. Paling meruja separuh daripada yang berhimpun di perkarangan Istana Keadilan sambil membawa pelbagai sepanduk menyatakan sokokngan kepada Anwar terdiri daripada anak-anak muda dan para mahsiswa.

Sudah jarang kelihatan muka-muka pendokong Anwar atau penggerak reformasi yang bermula diakhir tahun 1998 dahulu yang akan berhimpun untuk memberi sokongan dan semangat kepada Anwar setiap kali beliau dibawa ke komplek Mahkamah di Kuala Lumpur. Mungkin setengahnya sudah tiada dan mereka diganti dengan generasi baru terdiri anak-anak mereka yang menjadi penerus kepada penggerak perjuangan tokoh perubahan, Anwar Ibrahim.

Menanti keputusan

Persoalan dinantikan apakah keputusan yang bakal diterima Anwar dan pendokongnya? Keputusan itu berada dalam pertimbangan lima hakim yang mendengar rayuan itu. Mereka ialah Tun Ariffin Zakaria selaku ketua yang juga Ketua Hakim Negara dan empat Hakim lain, presiden Mahkamah Rayuan Md Raus Shariff, Hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Hamid Embong, Suryadi Halim Omar dan Ramly Ali.

Di sini menjadi kesalahan untuk kita mendahului keputusan hakim atau membuat prediction terhadap apa yang akan diputuskan kelak. Apakah Anwar akan digiring ke penjara sekali lagi bagi membolehkan rakyat membakar kembali sumbu reformasi yang kini terpadam seketika apabila Anwar berada di luar penjara? Api reformasi yang dinyalakan Anwar menjadi panas dan merebak apabila Anwar dibawah ke penjara 15 tahun lalu. Apakah keadaan 15 tahun dulu akan berulang?

Daripada semangat dan dokongan anak-anak muda kepada perjuang perubahan Anwar, yang melihat Anwar adalah sosok dapat memahami jiwa dan aspirasi mereka, saya menduga api refosmasi akan menyalah sekali lagi sekiranya Anwar dibawa berihat di penjara. Tindakan atau keputusan memenjarakan Anwar kalau ia dibuat atas niat untuk menghentikan gerakan rakyat adalah sia-sia sahaja. Adalah elok kalau nawaitu itu tidak diteruskan kerana ia perbuatan membazir dan boleh membakar diri.

Antara penyokong tegar Anwar mengenakan t shirt khas.
Adun Morid Hasnul Badaruddin menjadi tumpuan.
Menyeami dan membayangkan apa yang mungkin berlaku ke atas Anwar, saya ada beberapa alasan atau asas untuk membuat perkiraan bahawa Anwar akan menang dalam rayuan itu. Bagi saya dari konteks politik tidak ada alasan dan keperluan untuk pimpinan negara hari ini, termasuk Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri untuk mempengaruhi keputusan hakim agar memenjarakan Anwar atas maslahat untuk memperkukuh kedudukan dan kekuasaanya. Tindakan itu bukan satu tindakan yang fatanah.
Ahli yang digantung juga hadir memberi sokongan.

Kenapa saya berkata begitu? Apa yang berlaku dan dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini cukup mengajar dan memberi iktibar kepada Najib. Gara-gara kerakusan dan kesombongan Dr Mahathir kerana ingin mengekalkan kuasa secara baik atau jahat, menyebabkan bekas PM itu menerima bahananya. Mahathir bukan sahaja dikutuk oleh pendokong keadilan dan kebenaran, tetapi namanya dikutuk oleh sejarah bangsa. Nama Mahathir terpaksa ditulis separuh dengan tinta hitam dan separuh dengan tinta emas dalam buku sejarah negara. Satu pengakhiran hidup yang malang.

Justeru saya tidak mengira Najib mengulangi hal yang sama. Pada tahun 1999 Anwar telah dipenjarakan enam tahun atas kesalahan salah guna kuasa dan sembilan tahun atas tuduhan liwat di era Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Tetapi apabila Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pentadbiran negara, Anwar dibebaskan pada tahun 2004.

Pembebasan Anwar sebelum tamat tempoh hukuman penjara dikenakan ditafsirkan sebagai ehsan dan simpati mulia kemanusiaan Abdullah Ahmad Badawi yang sekaligus menolak kekejaman dan kesadisan politik Mahathir Mohamad. Dan salah satu punca kenapa Dr Mahathir menyerang siang dan malam Abdullah semasa menjadi PM ke-5 ialah kerana "membebaskan" Anwar.

Apakah Najib bersedia menghadapi cemuhan dan hinaan rakyat seperti apa dialami Mahathir. Beranikah Najib? Yang pasinya sekiranya Anwar dipenjara esok atau lusa, hal yang sama seperti dilalui Mahathir akan berulang. Malam-malam Najib sebelum berundur atau dijatuhkan akan menjadi hitam dan terganggu. Sejarah politik itu selalu berulang. Tidak mustahil katakan Anwar dikenakan hukuman lima atau tujuh tahun, tetapi beliau akan bebas sebelum tamat tempoh hukuman berkenaan. Kemanusiaan para "aparat" (baca juga keparat) negara ini tidak akan tergamak untuk mengeringkan Anwar dalam sel.

Saya berfirasat ada orang yang akan bertindak seperti Abdullah Badawi semasa menjadi PM, apabila Najib sudah tidak menjadi PM kelak. Pemenjaraan Anwar esok memberi tekanan psikolgis yang cukup hebat kepda Najib sebagai perdana menteri seperti dialami oleh Dr Mahathir Mohamad. Dalam firasat hamba dua individu yang bersedia untuk membebaskan Anwar atau melalui plot politik seperti Abdullah sebagai penebusan dosa, sekiranya Anwar dipenjara mereka ialah Muhyiddin Mohd Yassin atau Ahmad Zahid Hamidi. Tetapi bukan Hishamuddin Hussein.

Sama ada Muhyiddin atau Ahmad Zahid Hamidi menjadi PM mereka pasti meniru langkah diambil Abdullah Badawi. Mereka tidak akan menyambung dosa dilakukan Najib seperti mana Abdullah tidak menyambung dosa dilakukan Mahathir Mohamad untuk diusung dan diletakkan atas pundak ahli Umno.

Ertinya sejarah itu tidak mungkin diambil Najib untuk diulang ke dalam eranya. Selain itu keperluan untuk memenjara Anwar dari konteks politik sudah tidak ada lagi. Umum memahami kenapa Mahkamah Rayuan mempercepatkan proses mendengar rayuan pihak pendakwa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebas dan melepaskan Anwar dari tuduhan liwat. Proses itu ditetapkan pendengarannya pada April tetapi dipercepatkan pada Mac apabila projek Kajang Move hendak dilakukan. Tujuannya untuk menghalang Anwar daripada menjadi MB Selangor apabila projek Kajang Move dilaksanakan.

Impian dan harapan Anwar untuk menjadi MB Selangor kini sudah tidak ada lagi. Pihak perancang dan konspirator politik untuk memastikan Anwar tidak menjadi MB Selangor sudah pun tercapai hasrat mereka. Anwar tidak menjadi MB Selangor... bukan sahaja Anwar tidak kesampaian untuk menjadi MB, tetapi orang yang diletakkan menjadi wakilnya, yaitu isterinya juga gagal menjadi MB.

Faktor lain kenapa pemenjaraan ke atas Anwar tidak wajar dilakukan lagi, Najib perlu mengelak meletakkan dirinya sebagai PM bermasalah dan menghadapi banyak bencana dan tragidi. Apakah Najib mahu menghimpun satu demi satu tragedi yang mencemarkan reputasinya sebagai PM dengan memanjarakan Anwar. Bukankah tragedi malang kehilangan pesawat MH370 dan penembakan pesawat MH17 meninggalkan kesan dan sejarah hitam era kepimpinan Najib. Sekiranya Anwar dipenjara maka satu lagi tragedi dan sejarah hitam akan menghias buku sejarah Najib Razak.

Berdasarkan asas dan alasan berkenaan maka saya membayangkan pemenjaraan Anwar untuk kali kedua tidak akan berlaku kerana sebab-sebab dan alasan tadi. Bagaimana pun apa yang menghantui pemikiran umum pengambilan peguam kanan Muhamad Shafei Abdullah yang bukan dari barisan pendakwa raya untuk mengepalai pasukan pendakwaan dilihat sebagai satu usaha serius untuk mengirimkan Anwar ke penjara.

Bagaimana bagi saya tidak melihat begitu melainkan ia salah satu makenisme untuk mengembalikan semula kemurnian sistem keadilan di negara ini yang dikotori oleh Mahathir Mohamad. [wm.kl.9: 13 pm 28/10/14]
Post a Comment