Monday, October 13, 2014

Harap Tamrin tidak tinggalkan Pas

HARAP HARAP                                                                                                

Sewaktu berkhalwat di Tanah Suci Makkah saya menerima SMS daripada sahabat saya Mohd Sobree Shafei yang memaklumkan yang sahabat bernama Tamrin Ghafar (foto) hendak keluar Pas. SMS Sabree itu juga menyatakan Tamrin "marah-marah" kepada saya kerana ke Makkah tanpa memberi tahunya. Memang saya mengaku, saya ke Makkah tanpa memberi tahu sesiapa secara rasmi kecuali meminta restui ibu di kampung.

Apa hendak saya tarik perhatian di sini bukan soal ke Makkah tidak memberi tahu kawan, tetapi desas desus mengatakan anak bekas Timbalan Perdana Menteri itu hendak keluar Pas. Kenapa dan apakah beliau serius? Atau pun sekadar acahan sahaja kerana kurang berpuas hati dengan sesuatu yang berlaku muasir ini dalam Pas.

Sebenarnya sebelum berangkat ke Makkah, Tamrin sudah meluahkan rasa kurang senang dia dengan Pas. Beberapa catatannya dalam whasaap dan SMS memberi gambaran dia sudah serabut dengan Pas. Dia terejut dan tidak sangka dengan yang berlaku bila dipadankan Pas sebagai parti Islam. (Sebenarnya parti agama).

Antara yang dikesalkan Tamrin ialah dengan sikap Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang tidak istiqamah dengan keputusan Pas Pusat dan bersikap tidak profesional khasnya dalam soal menentukan MB Selangor. Sikap dolak dalih Abdul Hadi menyebabkan keyakinan Tamrin kepada Pas dibawah pimpinan Abdul Hadi terganggu. "Presiden apa kalau macam ni, Sayuti?" Adunya kepada saya menerusi satu percakapan melalui telefon.

Gara-gara tidak setuju dengan tindak tanduk presiden, Tamrin juga tidak hadir ke muktamar Pas di Batu Pahar Johor. 

Kekecohan muktamar Pas dan ucapan presiden yang dilihat tidak menggambarkan sebagai ucapan seorang ketua kepada parti agama, juga turut menjadikan Tamrin tidak betah untuk bersama Pas. Bagaimana luahan peribadi itu, saya tidak merasakan dia akan bertindak sampai memaling punggung kepada Pas. Saya sangat berharap Pas adalah parti terakhir Tamrin selepas dia hilang kepercayaan dan kesukaan dengan Umno.

Bila balik dari Makkah, saya membaca ada laporan dalam portal mengenai hasrat Tamrin itu yang dikaitkan sama dengan beberapa orang lain yang ingin meninggalkan Pas. Apapun beritanya masih belum sah. Tidak ada pengesahan daripada Tamrin, melainkan ia hanya gossip semata-mata. Saya tidak fikir Tamrin yang baru menyertai Pas, baru sekali melalui pilihan raya umum bersama (sokong) Pas. akan membuat keputusan itu, berundur daripada Pas dan politik.

Tamrim harus mengambil kira yang ada orang-orang Pas masih sayang dan syokkan kepadanya. Beliau juga perlu faham bahawa kedut dalam Pas adalah sesuatu yang normal. Tidak ada parti yang sempurna seperti mana tidak ada gading yang tak retak. Kalau Pas kini bermasalah hanya oleh beberapa kerat sahaja, tetapi tidak semua sehingga beliau harus merasa cuak dengan Pas. Ibarat sebuah rumah yang rosak hanya dua tiga keping lantai, manakala strukturnya masih kukuh. Apa yang wajar dilakukan Tamrin ialah memperkemaskan dengan menggunakan pengalaman keukangan politik yang ada.

Siapa pun dan apa yang orang katakan kepada Tamrin, tetapi bagi saya beliau tetap masih ada nilai politik tersendiri. Suara dan pandangannya masih diperlu atau pun boleh diambil peduli untuk memasakkan dunia politik. Tamrin seorang tokoh politik lama yang banyak pengalaman. Dia sudah sudah lama dalam politik dan sangat masak dengan politik Umno. Kelebihan ini sepatutnya digunakan Pas untuk memperkuatkan parti tersebut. Banyak rahsia dan kerencaman Umno dalam pengetahuan Tamrin dan boleh dijadikan kayu ukur kepada Pas. 

Walau baru bersama Pas beliau sudah meranyai ke seluruh negara bersyarah membela Pas. Kemucak atau harga paling mahal yang dibayar Tamrin ialah sehingga dia meringkuk dalam penjara gara-gara bersyarah kemudian ditangkap di bawah akta hasutan. Khabarnya dia akan didakwa di Mahkamah di bawah akta berkenaan.

Kandati itu, pendakwaan dan lokap yang ditumpanginya hanya beberap jam sahaja, tetapi itulah harga yang terpaksa Tamrin kena bayar apabila dia menyertai Pas, atau pembangkang. Sekiranya dia tidak mengambil keputusan menentang Umno dan mengkritik kepimpinan Umno mungkin dia tidak merasai bau harum penjara dan terpaksa masuk ke kandang OKT di mahkamah. 

Ertinya Tamrin sudah ada budi dan jasa kepada Pas atau Pakatan Rakyat. Makanya budi dan jasa Tamrin itu perlu dihargai. Pas sendiri harus belajar untuk menilai budi orang dan tahu pula untuk mentarbiahkan seorang mualaf politik dalam konteks Pas seperti Tamrin dan tokoh-tokoh sewaktu dengannya. Jangan kerana melihat seseorang itu tidak dapat menyumbangkan harta benda dan kekayaan maka ia ditinggalkan persis budak-budak yang diminta untuk mendorong kereta mampus.

Dan kepada Tamrin sendiri, bila anda menyertai Pas, anda harus merasai yang Pas jauh beza dengan Umno. Pas adalah Pas yang tidak sama dengan Umno. Kekayaan dan keistimewaan (posisi) dalam Umno tidak akan diperolehi dalam Pas. Pas parti politik yang ada kalanya menjelma menjadi gerakan agama yang menuntut pengorbanan ahli tanpa dinilai.

Dan sekiranya Tamrin berhajat untuk menggayangkan Pas dengan tindakannya itu, ia tidak akan memberi apa-apa kesan. Pas akan tetap utuh dengan prinsip perjuangannya. Yang mungkin berubah hanya uslub dan ulah pucuk pimpinannya, tetapi Pas seagai sebuah organisasi yang diperlembagaan tidak akan berubah kecuali ianya dipinda.

Saya berharap Tamrin tidak tergesa-gesa untuk meninggalkan Pas, sebaliknya harus jimat menutur kata dan bertindak seperti mana dia mengambil masa terlalu lama untuk menyertai Pas dahulu. [wm.kl.2:41 pm 13/10/14]

No comments: