Thursday, October 23, 2014

Tidak rugi kalau Mara atau Felda bantu pelajar persendirian di Mesir

PANDANGAN MALAM                                                                                   

Dua hari lepas saya bersarapan pagi dengan seorang wakil rakyat BN asal Kelantan. Walaupun antara kami sibuk dengan urusan masing-masing, tetapi sesekali ada juga kami bersua muka. Dan bila bersua muka banyaklah perkara diperkatakan, ada yang serius mengenai masalah negara dan politik serta soal-soal yang rengan termasuk juga hal ehwal keluarga. Kebetulan saya dengan wakil rakyat berkenaan ada bau-bau bacang.

Entah kenapa, topik yang turut terbual pagi itu ialah mengenai nasib pelajar persendirian dalam bidang perubatan (doktor) di Timur Tengah khususnya di Mesir. Wakil Rakyat itu menimbulkan soal nasib pelajar persendirian itu yang tidak mendapat bantuan atau pun perhatian daripada pihak kerajaan.

Beliau telah mengajukan masalah ini kepada Menteri Pendidikan untuk dipedulikan dan tidak diabaikan begitu sahaja memandangkan kesemua mereka yang melanutkan ilmu perubatan di Mesir terdiri daripada anak berbangsa Melayu. Menurutnya adalah wajar kalau kerajaan mempedulikan nasib mereka atas semangat nasionalisme.



Sekarang ini terdapat kira-kira 2,000 orang pelajar perubatan di Mesir yang pergi secara bersendirian. Mereka tidak mendapat bantuan mana-mana institusi kewangan sebaliknya seratus peratus perbiayaan mereka oleh keluarga sendiri. Mereka ke sana kerana tidak mendapat tempat di IPTA dalam negara. Pencapaian atau keputusan mereka tidak melepas pointer yang ditetapkan iaitu 3.9 atau 4 CGPA. Jadi kerana hasrat ibubapa bergitu tinggi untuk melihat anak menjadi doktor maka dihantar ke Mesir.

Itulah punca kenapa ramai menghantar anak ke Mesir walaupun terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi sampai ada yang bergadai bergolak, jual lembu kerbau atau pun tanah air.

Menurut wakil rakyat berkenaan, ibubapa dan pelajar berkenaan menyedari akan risiko dan masalah mereka. Perubatan memerlukan kewangan yang banyak. Pihak kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak akan menawarkan biasiswa kepada mereka, kerana mereka pergi atas tanggungjawab dan usaha sendiri. Begitu juga institusi kewangan lain tidak sedia untuk menaja mereka.

JPA atau institusi kewangan hanya akan melihat pelajar-pelajar yang cemerlang sahaja untuk menaja atau memberi biasiswa. Hakikat ini disedari oleh pelajar berkenaan dan keluarga mereka. Sebenarnya mereka tidak pun mengharap apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak. Tetapi apa yang dibangkitkan oleh wakil berkenaan, apakah kerajaan tidak ada cara lain untuk membantu mereka. Atau langsung akan membiarkan begitu sahaja.

Wakilo Rakyat itu sebagai orang politik melihat dari sudut politik. Baginya tidak patut kerajaan UBN tidak membantu mereka dan melepaskan begitu sahaja. Katanya, apapun terjadi, susah payah mencari wang sendiri, mereka yang ke Mesir itu akhirnya akan balik menjadi seorang doktor juga. Kalau mereka tidak ada peluang bekerja dengan kerajaan mereka akan bersama swasta ataupun membuka klinik sendiri.

Hujahnya, kalau mereka tidak dibantu mereka tidak akan merasai apa-apa budi kerajaan kepada mereka. Mereka tidak akan merasa berterima kasih kepada kerajaan. Kesan daripada itu menyebabkan mereka itu akhirnya akan menentang kerajaan dalam politik. Dan katanya kalau mereka menentang kerajaan atau tidak menyokong kerajaan jangan marahkan mereka, kerana mereka tidak pernah dibantu.

"Saya melihat dari aspek berkenaan, di samping mereka perlu dibantu kerana mereka adalah anak-anak Melayu," tegas wakil rakyat berkenaan yang sejiwa dengan saya. Memang kerajaan atau mana-mana institusi berkenaan kerajaan seperti GLC seharus memberi bantuan mereka.

Mungkin mereka tidak layak untuk mendapat biasiswa kerana kerajaan ada pelajar yang ditaja. Tetapi apa salah kalau kerajaan membantunya untuk membayar fee yuran tahunan atau semesta mereka untuk beberapa semesta sahaja. Janji adalah budi ditabutkan kepada mereka?

Menurut wakil rakyat itu peranan ini boleh dimainkan oleh institusi kerajaan seperti Felda atau Mara. Kalau Felda boleh melaburkan untuk perniagaan lain kenapa tidak boleh curi sedikit peruntukan untuk dibaktikan kepada pelajar perubatan di Mesir itu?

Saya sangat bersetujuan dengan pandangan dan idea wakil rakyat berkenaan. Tetapi kalau Mara atau Felda menyediakan sedikit peruntukan bukan mengharap agar mereka menyokong kerajaan, tetapi apa yang utamanya mereka semua adalah anak-anak Melayu daripada golongan kurang berada. Apa salahnya kalau kita keluarkan sedikit wang untuk membantu mereka.

Dalam hal syarikat Petroleum Negara (Petronas) juga boleh membantu pelajar di Mesir itu. Kalau mereka boleh memperuntukkan hingga RM1 untuk seseorang pelajar tajaan dalam bidang petroleum, apalah sangat kalau disedekah sedikit kepada pelajar perubatan di Mesir itu. Tidak rugi pun.

Tidak rugi kalau membantu pelajar perubatan di Mesir. Kalaupun tahap atau kualiti mereka tidak sehebat pelajar perubatan di Eropah tetapi suasana di negara mereka belajar itu memungkin mereka pulang membawa dua kemahiran, perubatan dan pengetahuan agama Islam. Yang sudah pastinya mereka akan menguasai bahasa Arab kerana pengantar asasnya di sana adalah bahasa Arab.

Seorang kawan saya guru, berkata untung kita hantar belajar di Mesir selain daripada ilmu dunia (profesional) mereka juga akan membawa balik ilmu dunia, samping jadi doktor mereka juga menjadi imam. [wm.kl.9:14 pm 23/10/14]


No comments: