Wednesday, October 22, 2014

Tindakan tatatertib ke atas Saari "cacat" pelembagaan?

KOSENTRASI                                                                                                    

Saari Sungib
Seorang daripada dua ahli Pas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, Saari Sungib (Hulu Kelang) yang digantung keahlinya kerana menyokong Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor akan mengemukakan rayuan berkaitan perkara itu pada Isnin depan.

Menurut laporan Saari, akan mengemukakan rayuan itu sendiri ke Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut. Tindakan Saari itu suatu yang terpuji dan membuktikan yang beliau tidak ada niat untuk merosakan parti seperti ditohmahkan sesetengah pihak termasuk sebagai tali barut Umno.

Sekiranya beliau ada nawaitu sudah tentu beliau tidak mengemukakan rayuan dan beliau boleh memilih parti komponen Pakatan lain seperti PKR atau DAP.


Pada 18 Oktober lalu Jawatankuasa Pas telah mengambil keputusan menggantung keahlian Saari dan Hasnul Baharuddin (Adun Morib) setahun. Penggantungan itu dibuat setelah Saari dan Hasnul dipanggil untuk memberi penjelasan berhubungan tindakannya yang dianggap mencemarkan parti apabila bertindak diluar arahan parti menyokong Dr Wan Azizah sebaliknya tidak menyokong Khalid seperti dikehendaki presiden parti.

Bagaimana pun mereka dibenarkan mengemukakan rayuan ke atas penggantungan itu.

Menurut laporan, Saari dan Hasnul diminta mengemukakan rayuan itu kepada Majlis Syura Ulamak (MSU) dalam tempoh 15 hari bermula daripada tarikh penggantungan.

Arahan diberikan seperti mana laporan itu agak mengelirukan kerana mengikut Perlembagaan PAS Fasal 83 (1) berbunyi: Ahli-ahli PAS yang dikenakan tindakan tatatertib di bawah Fasal 82 Perlembagaan ini yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib bolehlah mengemukakan rayuan bersurat kepada Setiausaha Agung PAS dalam tempoh 30 hari dari tempoh keputusan Jawatankuasa Tatatertib untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa PAS Pusat.

Ceraian (2) menyebut; Jawatankuasa kerja PAS Pusat mengikut Fasal 26(9)(e)  dan 82(8) Perlembagaan ini berkuatkuasa untuk mendengar semula rayuan tatatertib PAS.

Bagaimana pun arahan kepada Saari melompat ceraian (1) dan (2) ini dengan terus diminta mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulamak seperti mana disebut dalam Fasal 83 (4) dan (5).

Fasal 83 (4) menyebut; Ahli-ahli yang tidak berpuas hati dengan keputusan rayuan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat boleh membuat rayuan semula dengan mengemukakan rayuan secara bertulis kepada Setiausaha Majlis Syura Ulamak dalam tempoh 15 hari daripada keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk dipertimbangkan oleh Majlis Syura Ulamak.

Manakala ceraian (5) menyebut; Majlis Syura Ulamak adalah berkuasa untuk mendengar rayuan bagi ahli-ahli yang dikenakan tindakan mengikut Fasal 82(9) Perlembagaan ini dan rayuan semula mengikut Ceraian (4) Fasal ini. Keputusan dan tindakan Majlis Syura Ulamak adalah muktamad.

Persoalannya kenapa Saari dan Hasnul diarah terus membuat rayuan kepada MSU mengikut ceraian (4) dan (5) dan tidak terlebih dahulu diarah seperti mana disebut dalam ceraian (1) dan (2) yang memberi masa 30 hari kepada orang yang didapati bersalah untuk merayu?

Kenapa ceraian (2) yang memberi kuasa kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu dilompat dan apakah ini ada motif tertentu? Kemungkinan kalau ceraian (2) dikuatkuasakan kemungkinan Saari tidak perlu sampai keperingkat MSU dan beliau dilepaskan dari rayuan ataupun rayuan diterima termasuk kemungkinannya dilupuskan pada peringkat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat?

Apakah ada kemungkinan rayuan itu diserahkan kepada MSU dengan menggunakan ceraian (4) dan (5) itu bermaksud ingin mengena atau menyeksa Saari dan Hasnul?

Sedia maklumlah dalam organisasi PAS kini kedudukan MSU telah diberi penghormatan dan kuasa sangat tinggi ada kalahnya mengabaikan kuasa eksekutif Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sendiri. Ada usaha untuk menjadi MSU sebagai kuasa tertinggi dalam semua aspek termasuk soal politik dan strateginya. Sekiranya ada maksud itu eloklah Pas memansuhkan kuasa eksekutif, Jawatankuasa Kerja PAS dan hanya mengekalkan MSU sahaja.

Tindakan tatatertib ke atas Saari dan Hasnul bagaimana pun adalah baik sebagai pengajaran dan menjadikan Pas sebagai sebuah parti agama yang berintegriti, tetapi segala tindakan ke atasnya seharusnya melalui prosuder betul dan tidak menampakkan akan ketempangan dan kerakusan pengurus parti berkenaan.

Pas perlu memperbetulkan kecacatan ini agar ia tidak dilihat sebuah parti diuruskan seperti sebuah jemaah masjid kampungan. [wm.kl.7:23 pm 22/10/14]

No comments: