Thursday, May 24, 2018

JPP Kelantan juga perlu dimansuhkan

PENDAPAT 

PENGUMUMAN pemansuhan lima agensi dan jawatan kuasa kerajaan yang dikira tidak memerlukan, dan dapat menjimatkan perbelanjaan wang negara oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas mengadakan mesyuarat kabinet pertamanya semalam sangat dialu-alukan.

Ahmad cadang nak
jumpa Dr Mahathir.
Tindakan itu ia dianggap bijak sebagai langkah awal penjimatan wang negara serta bagi menyelamatkan keadaan kantung kewangan negara yang dalam keadaan"kasik" kini. (Kasik ialah sesak, miskin dan terdesak).

Agensi atau jawatankuasa tersebut ialah, Majlis Profesor Negara (MPN), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Jabatan  Hal Ehwal Khas (JASA), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan di JPM (Pemandu) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pembubaran itu menurut Perdana Menteri kerana ia tidak memberi kesan yang diharapkan kerajaan selain kewujudannya tidak diperlukan. Terdapat fungsi dalam agensi berkenaan bertindih dengan jabatan atau agensi sedia ada.

Menurut penganalisa ekoran pemansuhan agensi berkenaan membabitkan kira-kira 3,000 kakitangan, kerajaan dapat menjimatkan kira-kira RM500 juta termasuk perbelanjaan pengajian dan operasi.

Bertitik tolak daripada pemansuhan lima agensi dan jawatankuasa berkenaan mungkin wajar juga untuk Dr Mahathir dan kerajaan Harapan mengkaji semula keperluan kewujudan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan. Kajian itu juga sama dengan faktor dan nawaitu dibuat ke atas lima agensi tadi untuk menjimatkan kos perbelanjaan dan operasi.

JPP Kelantan diwujudkan sejak 1 Januari 1990 selepas setahun kerajaan Kelantan diperintah oleh Pas. Tujuannya adalah jadi jabatan menyelaras dan memantau perlaksanaan projek-perojek pembangunan Persekutuan di Kelantan. Jabatan itu juga bertanggungjawab langsung dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Kapasiti jabatan ini ia diketuai oleh seorang Pengarah yang dibantu oleh dua orang timbalan pengarah, Timbalan Pengarah Pembangunan dan Timbalan Pengarah Teknikal disamping seorang Pengarah Kanan.

Untuk menjalankan tugas dan operasi ia mempunyai tujuh (7) Bahagian dan 10 pejabat Pembangunan di peringkat Jajahan. Tujuh bagian itu ialah, Pengurusan, Kewangan, Khas, Pelaksana dan Pemantauan, Pembangunan Masyarakat dan Institusi, Teknologi Maklumat dan Teknikal.

Sementara itu bilangan kakitangan lantikan seramai 223 orang.

Sudah pasti sekiranya jabatan ini dimansuhkan kerajaan dapat mengurangkan kos perbelanjaan seperti mana dilakukan ke atas empat agensi tersebut di atas.Bukan itu sahaja pemansuhan jabatan itu juga nanti dapat menjernihkan persepsi politik yang berlaku di Kelantan.

Sejak mula lagi kewujudan JPP disangsikan khususnya oleh pihak kerajaan negeri ianya bermotifkan politik. Ini kerana jabatan berkenaan hanya wujud di negeri yang diperintah pembangkang (Pas), sementara di negeri-negeri dikuasai kerajaan (UBN) tidak ada jabatan berkenaan. Di Terengganu ia diwujudkan selepas Terengganu jatuh ke tangan Pas tahun 2004 kemudian jabatan itu ditiadakan apabila UBN dapat merampas semula Terengganu 2008.

Objektif penubuhannya cantik, tetapi pelaksanaan dan motifnya dicurigai. Mungkin peringkat awal penubuhannya kerana kurang percaya Kuala Lumpur kepada kemampuan dan kecekapan kerajaan Kelantan untuk melaksanakan segala projek di Kelantan?

Jika itulah tujuannya ia boleh diterima. Namun peranan dimainkan oleh jabatan berkenaan tidak menyerlah ke arah itu. Juga suatu perkara perlu difikirkan setelah hampir 30 tahun kerajaan Kelantan wujud, tidak berlaku apa-apa salah guna atau penyelewengan yang menyebabkan ada mana-mana pegawai kerajaan negeri Kelantan terbabit dengan tindakan undang-undang. Integriti yang ada kepada kakitangan kerajaan negeri ini sepatutnya dinilai dan dihormati. Kebimbangan terhadap ketidakcekapan dan kurang telus itu seharusnya terhapus.

Sewajarnya kalau peruntukan untuk Kelantan seperti mana dimaktubkan dalam perlembagaan disalurkan terus kepada kerajaan Kelantan. Biarlah kerajaan menggunakan peruntukan yang menjadi haknya sebebas-bebasnya seperti mana dilakukan negeri-negeri lain.

Sebaliknya sekiranya benar kewujudan JPP atas motif politik bagi membolehkan kerajaan BN menguasai Kelantan, ia juga perlu disemak semula bahkan wajar dimasuhkan kerana tindakan itu sia-sia apabila sudah enam kali pilihan raya selepas Pas menang tahun 1990 Kelantan tetap ditangan Pas. Terbaharu ialah pada Piraum ke 14 lalu, Kelantan masih juga dimenangi Pas.

Sekiranya Kuala Lumpur dibawah pimpinan baharu kerajaan Harapan untuk meneruskan pemanipulasian politik dengan jabatan itu dan bertindak sama dengan motif kewujudannya oleh BN, untuk rampas Kelantan, maka ia tidak wajar dan ini kontras dengan aspirasi kerajaan Harapan yang ingin berubah daripada kerajaan sebelum ini.

Dan sekiranya JPP Kelantan diumum dimansuhkan oleh Dr Mahathir ia akan dilihat satu perubahan besar dalam jiwa politik Dr Mahathir itu sendiri daripada semasa beliau memimpin kerajaan BN dengan memimpin kerajaan Harapan. Pemansuhan itu menampakkan akan keikhlasan dan perbezaan Dr Mahathir.

Pemansuhan jabatan itu nanti juga menunjukkan kerajaan Harapan berbeza dengan kerajan sebelum ini yang bertindak kejam, suka melakukan diskriminasi serta tidak demokratik.

Bukan itu sahaja pemansuhan itu juga bertepatan dengan kehendak Perlembagaan berdasarkan semangat Federalisme yang dituntut selama ini dimana hak negeri-negeri (Kelantan) perlu diserahkan kepadanya sepenuhnya. Sudah sampai masanya setelah 14 kali pilihan raya kita mematangkan siasah kita.

Dan jikalau ada keraguan mengenai kemampuan dan ketelusan kerajaan melakskaan segala peruntukan itu, ia tidak berbangkit kerana badan-badan penguatkuasa dan pemantau lain masih ada seperti Jabatan Audit dan SPRM sedia untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka. Di samping itu juga Kuala Lumpur boleh menubuhkan task force khas di Kelantan.

Sementara parti-parti komponen PH sendiri yang wujud di Kelantan boleh menjadi pengislah.  Dengan ada lapan Adun BN dalam DUN Kelantan ia boleh diharap menjadi penegur dan segala apa kekhilafan dan kelemahan dilakukan oleh kerajaan Kelantan nanti, serta mereka menjadi penyambung suara rakyat.

Kecualilah di Kelantan tidak ada seorang pun wakil pembangkang mungkin ada keperluan untuk Putrajaya menubuhkan unit pemantau pembangunan dan pelaksanaan projek khas di Kelantan.

Rancangan MB Kelantan Ahmad Yakob untuk berjumpa dengan Dr Mahathir pada masa sesuai seperti mana dinyatakan itu, elok pada pertemuan itu dikemukakan cadangan agar JPP dimansuhkan. [wm.kl.11:25 am 24/05/18]

4 comments:

bob said...

mungkin itu hikmah yg tersembunyi atas kekalahan PH di Kel n Trg....Allah nk uji Tun atau bg peluang Tun rawat luka yg dlu...moga Allah bg taufik n hidayah pd Tun (bkn pengemar tun tp buka hati n minda...mulai hormati tun)

key hesh said...

Saya check jpp ni setiap negeri ada. Contoh jpp negeri pahang. Adakah jpp ni yg menjadikan pengikat antara persekutuan dan negeri. Ambo rasa abe ti kena buat reseach sikit lg . Tq

mohd sayuti omar said...

> Key Hesh...
JPP Kelantan dengan JPP di negeri lain berbeza. Semua agensi jabatan kerajaan persekutuan ada disetiap negeri. Beberza dengan JPP Kelantan yang bertindak sebuah organisasi pelaksana pembangunan. Kalau JPP ini wujud disemua negeri tidak berlaku perwujudan JPP di Terengganu selepas Pas mengambil alih negeri itu 2004 di mana jabatan itu menguruskan wang royalti minyak untuk pembangunan negeri itu. Kerajaan Pas protes kerana wang itu tidak dimasukkan ke dalam perbendahraan negeri.
Demikian juga di Kelantan wang ehsan minyak diagihkan kepada JPP dan Majlis Agama Islam Kelantan, tidak menerusi akaun kerajaan negeri.
Jika ada maklum mengenai kewujudan JPP ini boleh dikongsikan di sini. Terima kasih.

Stradam said...

Saya amat setuju dengan pandangan sdr MSO. Berurusan terus dengan kerajaan Kelantan tanpa melalui broker (JPP) adalah amat strategik untuk masa depan PH dan meletakkan PH di tempat tersendiri dalam sejarah - dalam kelas yg berbeza drp BN. Small move, big impact. Tk.