Friday, May 4, 2018

Setelah lima hari berkempen BN, Pas dan PH sama-sama ada peluang

ULASAN AWAL

Antara suasana perarakan untuk proses penamaan calon.
KEMPEN Piraum ke 14 sudah masuk ke separuh masa pertama. Pukul 12:00 tengah malam ini bermakna sudah 120 jam kempen berlalu. Ertinya ada separuh masa lagi, sebanyak lima hari atau 120 jam sebelum ia ditamatkan jam 11:59 tengah malam 8 Mei.

Setelah berkempen selama lima hari, sedikit sebanyak sudah dapat dilihat cula, kedudukan parti (komponen)  masing-masing. Untuk negeri Kelantan, di sini saya akan membuat penilaian dari beberapa aspek external sahaja, apa yang saya lihat dan juga dibuat oleh pemerhati lain. Rasanya tanggapan saya tidak jauh beza.


Saya tidak ada data-data yang boleh dikongsikan untuk menyokong pandangan saya di sini, kerana saya bergerak secara solo hanya berbekalkan pengalaman penglibatan saya dalam pilihan raya dan sebagai wartawan serta penulis dan perakam peristiwa politik selama lebih 30 tahun dan telah mengikuti pilihan raya sebanyak lima atau enam kali.

Pandangan diberikan ini akan tertumpu kepada perkara-perkara berikut:
1. Proses penamaan calon atau calon-calon yang ditampilkan oleh ketiga-tiga komponen.
2. Bahan kempen.
3. Isu-isu yang dimainkan dan juga manifesto yang dikemukakan kepada pengundi.
4. Krisis dalaman parti masing-masing dan masalah-masalah yang berlaku.

Mula-mula saya akan sorot mengenai proses penamaan calon, 28 April lalu. Proses penamaan calon menjadi saat kritikal kepada mana-mana parti politik. Pada hari penamaan calon inilah boleh dilihat kekuatan dan kestabilan sesebuah parti itu. Jika proses ini berjalan lancar ia memberi indikator sesebuah parti itu akan melalui pilihan raya dengan baik.

Tahap pertama sejauh mana kemampuan sesebuah parti itu akan dilihat selepas proses pencalonan ini.

Calon-calon yang ditampilkan akan dijadikan perbandingan oleh pengundi. Perbandingan itu mencakupi serba serbi mengenai calon itu daripada latar belakang pendidikan, keluarga, kelulusan, wibawanya sebagai pemimpin dan sebagainya. Dan jika mereka sudah berkhidmat sebagai wakil rakyat sebelum ini prestasi mereka sepanjang berkhidmat akan dinilai dan menjadi ukuran.

Dalam proses penamaan calon ini tidak banyak masalah dihadapi oleh parti yang bertanding. Baik BN, Pas dan PH tidak banyak terkacau-ganggu dengan proses ini maksudnya calon-calon ditampilkan tidak mengacau tumpuan mereka. Proses berjalan dengan baik kecuali di sebelah PH bilamana dua calon mereka dinafikan hak untuk bertanding apabila ditolak kertas pencalonan mereka oleh SPR kerana sebab-sebab teknikal yang seharusnya tidak terjadi. 

Dua calon itu ialah Dr Hafidz Rizal Amran untuk kerusi Dun Kuala Balah dan Azihan Che Seman untuk kerusi Tawang di Bachok. Kejadian itu sedikit menjejaskan maruah PH kerana ia ada kaitan dengan pengurusan parti berkenaan. Umum boleh melihat "ketidakcakduhan" PH dalam memilih dan meletak calon mereka sehingga boleh ditolak.

Manakala di pihak Pas dan BN tidak ada mana-mana calon mereka yang dibatalkan. Dalam kata lain mereka tidak berhadapan dengan teknikal yang boleh memalukan maruah mereka.

Gangguan calon bebas.

Kebiasaanya apa yang menjadi gangguan kepada parti-parti politik di sesuatu kawasan ialah calon bebas. Kemunculan calon bebas ini boleh dilihat pengacau daun kepada mana-mana calon daripada parti utama. Di Kelantan dalam Piraum kali ini hanya ada enam (6) calon bebas sahaja. Satu di kerusi parlimen Pasir Mas, lima (5) di kerusi Dun.

Calon bebas tunggal di kerusi parlimen ialah Ibrahim Ali, manakala calon-calon bebas lain ialah di Dun Tendong, Meranti, Chetok dalam parlimen Pasir Mas. Kerusi lain yang ada calon bebas ialah Guchil, Manek Urai dan Kota Lama.

Kemunculan calon bebas ini tidak sepakat atau mereka dari satu rahang kerana mereka bertanding menggunakan simbol berlainan kecuali tiga di Dun menggunakan lambang Cawan tiga lagi masing-masing lambang Kereta, Pokok dan Pen.

Ikut serta dalam pilihan raya kali ialah ialah seorang calon daripada parti PSM di kerusi Kota Lama. Walaupun ia mewakili parti tetapi bolehlah dianggap sebagai pengacau daun juga.

Pun begitu walaupun ada calon bebas, ia tidak memberi kesan langsung kepada ketiga-tiga komponen yang bertanding itu kerana mereka bukan menggambarkan perpecahan daripada mana-mana parti. Misalnya empat calon bebas di Pasir Mas yang bertanding atas lambang sama, Cawan tidak memberi bekas pun kepada BN, walaupun ada di antara mereka dipercayai ahli Umno.

Demikian juga dengan calon Bebas di Chetok dan Guchil, Manek Urai dan Kota Lama juga tidak memberi bekas.

Diramalkan lima daripada enam orang calon bebas itu akan hilang wang pertaruhan tersemban makan pasir. Wow.

Kesimpulannya dari aspek proses penamaan calon tidak memberi kesan dan menganggu tumpuan kepada ketiga-tiga komponen. Walaupun ada yang "menyentak" apabila tidak tercalon tetapi ia berlaku hanya sekejap sahaja. Merajuk budak-budak baik apabila diberi gula-gula yang dikerat dua.

Penyentakan berlaku dalam BN, PH dan juga Pas. Ada individu dalam PH tidak tercalon menurunkan banner dan menutup pos, begitu juga ada yang tokoh mereka direhatkan dalam Pas merabut turun poster, manakala demikian berlaku dalam BN apabila tokoh mereka yang uzur digugurkan memberontak buat beberapa jam.

Jadi bolehlah dianggap perlawanan di Kelantan adalah tiga penjuru di antara Pas, BN dan PH secara gentlemen.

Calon-calon yang ditampil.

Pada asasnya semua parti meletakkan calon di kesemua 45 kerusi Dun dan 14 kerusi parlimen. Jika diperhatikan satu persatu kepada batang tubuh setiap calon, PH dilihat mempunyai calon yang berkualiti dan fresh -- pertama kali bertanding. Hampir kesemua calon yang diletak di Dun terdiri daripada muka baru yang masih bersih dan putih.

Kelebihan atau keistimewaan calon-calon PH ialah terdiri daripada mereka profesional dalam berbagai bidang serta mempunyai pengalaman dalam urus tadbir sebagai pegawai kerajaan maupun perniagaan. Antara mereka, Dr Hafidzah Mustakim (Tanjung Mas), Sanusi Othman (Bunut Payung), Prof Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah (Dun Demit).

Husam Musa
Hisham Fauzi (Bukit Panau), Rashid Abdul Rahman (Kota Lama), Zarir Yaacob (Limbongan), Wan Fadzil Wan Omar (Dabong), Syamsuddin Ghazali (Apam Putera), Mohd Ridhuan Muhammad (Gual Periok), Dr Amiruddin Yakob (Air Lanas) Nik Omar Nik Abdul Aziz (Chempaka), dan Husam Musa sendiri (Salor).

Inilah yang menjadi tulang belakang kepada komponen PH yang bertanding di kerusi DUN. Mereka merupakan gabungan profesional dari semua bidang, perubatan, pentadbiran, peguam aktivis dan juga pendakwah.

Paling menarik ialah kemunculan calon Chempaka Nik Omar Nik Abdul Aziz, merupakan putera sulung Nik Aziz yang menjadi jelmaan Nik Aziz yang mengejutkan dan diperkatakan kini.

Alwi Che Ahmat
Manakala dipihak BN pula, walaupun ada calon profesional terdiri daripada peguam, tetapi mereka adalah muka lama yang dikekalkan, seperti Abdul Aziz Derasid (Kuala Balah), Adhan Kechik (Bukit Bunga), keduanya peguam serta Md Alwi Che Ahmad, (Kok Lanas) dan juga Mustapa Mohamed sendiri (Dun Air Lanas).

Manakala muka-muka baru yang dikemukakan oleh BN pula tidak dikenali bidang atau iktisad mereka, seperti Ahmad Anuar Husin (Meranti), Muhammad Afifi Muhammad Nur (Chetok), Bakri Yusuff (Pasir Tumbuh), Akhbar Salim (Apam Putera), Nurul Akhma Mohd Fauzi (Demit), Mohd Redhuan Hamat (Jelawat), Wan Rekimi Wan Zahari (Kemahang), Mohd Hanafiah Abdul Aziz (Limbongan) dan lain-lain.

Hanya muka baru yang ada nama dikenali, Mohd Radzuan Abdullah (Tawang), Syamsuddin Hashim (Galas), Amran Ariffin (Paloh), Zuber Hassan (Guchil), Yahya Mamat (Tendung), Ahmad Termizi Ismail (Pulai Chondong) dan lain-lain.

Calon-calon lain lebih merupakan calon kitar semula yang diambil kerana dikira dapat menyumbangkan kemenangan, atau kerana terpaksa diletakkan bagi mengelak berlaku "cah kenting", seperti Azmi Ishak (Melor), Ghazali Ismail (Gual Periok), Ilias Husin (Pantai Irama) dan lain-lain.

Jika dibanding dengan calon PH ternyata calon BN sangat lemah dari iktisad khususnya dalam bidang kedoktoran. Hampir tidak ada calon bertaraf doktor dalam BN?

Bagaimana pun calon BN dikira masih terbaik berbanding dengan calon-calon Pas yang masih mengekalkan calon-calon lama jika disifatkan ayam ianya boleh belaga setakat satu pusingan sahaja selepas itu akan kecapekan. Hampir semua anggota Exco dikekalkan oleh Pas ini menunjukkan parti itu ketiadaan pengganti bertaras profesional.

Seperti mana BN juga Pas turut sama mengekalkan calon lama atau mengambil bekas-bekas calon. Antara Hanifa Ahmad (Pengkalan Pasir), Hassan Mahmood (Tawang), Abdul Fattah Mahmod (Bukit Panau), Annuar Tan Abdullah (Kota Lama), Nasaruddin Daud (Meranti), Abdul Aziz Kadir (Jelawat), Wan Yusuf Wan Mustapa (Gual Ipoh), Ku Mohd Zaki Ku Hussein (Dabong), Muhammad Awang (Gual Periok) dan lain-lain.

Manakala muka baru yang diperkenalkan mereka bukan sahaja tidak profesional tetapi tidak dikenali, seperti Mohd Adnan Hassan (Kelaboran), Wan Roslan Wan Hamat (Pengkalan Kubur), Mohd Rusdi Abdullah (Wakaf Baru), Azhar Salleh (Pulai Chondong), Mohd Rodzi Jaafar (Gaal), Hilmi Abdullah (Guchil), Muhammad Mat Sulaiman (Mengkebang) dan lain-lain.

Kesimpulannya dari segi calon PH ke depan berbanding dengan calon BN dan Pas. Bagaimana pun dalam politik kualiti calon bukan menentukan kalah dan menang, tidak bermakna calon yang berwibawa dan berkualiti boleh membawa kemenangan kerana soal parti atau warna juga menjadi perkiraan pengundi. Bersambung. [wm.kl.8:25 pm 04/05/18]

1 comment:

Unknown said...

Salam tuan mso...tuan dmna sudah lama tidak ada post trbaru dr tuan