Tuesday, August 21, 2018

Membaca buku Endri persis membaca kisah sendiri


CATATAN PERJALANAN

SEPANJANG penerbangan dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA), ke Kota Kinabalu, Sabah yang memakan masa dua jam setengah kelmarin, (18 Ogos), saya menghabis masa dengan membaca sebuah buku sungguh bermakna dan sangat "menyenjah" jiwa saya. Begitu juga saya rasakan kepada pembaca lain tatkala menatapnya kelak.

Endri Kurniawati, Foto FB.
Kulit depan buku
KKMPK terbitan ITBM.
Buku itu tentu istimewa jika tidak masakan saya boleh menghabiskan sekali memegangnya sahaja. Tebalnya boleh tahan juga, 320 muka surat. Selalunya kalau buku setebal itu saya akan mengambil masa dua atau tiga hari untuk mengkhataminya dengan menatapnya secara serius.

Buku yang dimaksud itu berjudul: "Kehiduapn Kedua - Memoir Penghidap Kanser" tulisan Endri Kurniawati seorang wartawan Tempo Indonesia yang kini sebagai ketua biro di Surabaya. Buku ini adalah kenangan mengerikan dihadapi Endri asal Madura, Surabaya itu yang menghidap kanser payu dara tahap II.

Buku ini diterbitkan di Indonesia dua tahun lepas, tetapi versi yang saya tetapi adalah versi dalam Bahasa Malaysia yang diadaptasikan oleh sdr Nawawee Mohammad dan Dr Djusmalina, terbitan Institut Terjemahan & Buku Negara (ITBM), 2018.

Sebenarnya tentang buku ini sudah lama diberi tahu oleh sdr Nawawee sewaktu beliau ke rumah saya awal 2016, tetapi gagal untuk mendapatkannya di Indonesia. Setiap kali saya ke Jakarta atau Medan saya cuba mencarinya tetapi gagal. Sehinggalah minggu lepas semasa berjumpa dengan Ketua Pengarah Eksekutif ITBM sdr Mohd Khir Ngadiron baharu saya perolehi buku berkenaan.

Buku teman perjalanan.
Menjadi amalan saya jika dalam perjalanan akan membawa apa-apa buku untuk dijadikan teman perjalanan. Bila bermusafir sendirian bukulah teman akrab yang boleh diajak bercakap, menghambat kesunyian. Membaca buku tidak merugikan kerana ia memberi berbagai input dan maklumat baharu.

Seperti saya katakan, buku KKMPK ini benar-benar menarik perhatian saya. Buku ini sangat signifikan dengan saya. Mungkin anda sudah dapat menduganya kenapa? Apabila kita membaca buku yang isinya seiras dengan apa yang kita lalui, atau turut menyentuh naluri diri  hidup kita ia memberangsangkan. Nah, begitu juga dengan buku Endri ini - saya membacanya seperti saya membaca perjalanan hidup saya sendiri dari titik awal ke titik akhirnya. Kan saya juga penghidap kanser.

Endri menulis kisah dan kenangan bagaimana dia menghadapi kanser payudara yang dihidapnya tahun 2012. Beliau memberi gambaran akan kekalutan jiwanya tatkala mengetahui kanser singgah ke atas dirinya. Keresahan, kegusaran, ketakutan, suspen, kepasrahan diluahkan dalam buku itu secara kronologi yang menarik sekali. Membacanya seperti kita berada di belakang Endri disepanjang dia melalui ujian getir kehidupan itu. Kita menjejaki dengan rasa dan imiginasi yang jelas.

Dalam ketakutan dan suspen itu, akhir menemukan kita dengan rasa bahagia dan syukur apabila Endri berjaya melawan kanser dengan kesudahan beliau melalui proses perawatan paling ditakuti yakni kemoterapi. Kemoterapi adalah proses paling ditakuti oleh penghidap kanser dan jalan itu tidak pilihan lain. Risiko dan bahaya melalui proses ini yang saya anggap sebagai bertarik tali dengan maut, boleh dihayati apabila membaca buku tersebut.

Bukan itu sahaja ada banyak titik-titik persamaan saya dengan Endri dalam melayani kanser dan kerenahnya. Endri juga di awal buku ini menceritakan latar belakang keluarganya serta garis mula penglibatan beliau dalam dunia penulis dan kewartawanan.

Sebelum menginjak kaki ke penerbitan agung Tempo Co, beliau terlebih dahulu bekerja di beberapa penerbitan kecil dan akhbar. Ternyata Endri seorang yang rajin, gigih dan komited dengan kerjayanya, hasilnya membawa dirinya ke gerbang penerbitan Tempo yang tidak perlu diceritakan kehebatannya. Selain menjadi wartawan Endri juga menjalani perniagaan batik secara sambilan kemudian bermain saham serta memelihara, menggemukkan lembu. (Feedlot).

Latar belakang dan perjalanan beliau menggapai kejayaan dan cita-cita itu hampir sama dengan apa saya lalui. Sebab itu saya merasakan sebahagian dalam buku itu adalah mengenai saya juga. Saya berada dalam buku Endri dan ini menjadikan saya terlarut dengannya.

Cuma kalau pun beza dari dua sudut sahaja. Endri dalam "melumayakan" hidupnya beliau berniaga dan bermain saham serta menternak lembu. Satu lagi Endri tidak punyai keluarga, suami dan anak-anak. Beliau tidak pernah berkahwin. Itu sahaja beza saya dengan beliau. Perbezaan lain adalah dari jenis kanser, yang kami hidapi. Saya Limpoma (DLBCL) tahap IIb, manakala beliau kanser payudara tahap IIa.

Ternyata buku ini memberi semangat kepada saya. Begitulah penghidap kanser saling sandar menyandar berkongsi maklumat di antara satu sama lain. Penghidap kanser tidak salah kalau dikatakan mereka berkongsi nyawa. Dan bagi saya semangat tambahan lain diperolehi daripada buku ialah untuk menyudahkan penulisan memoir saya tentang hal yang sama. Sebenarnya saya sudah mula menulis buku untuk mengenang dan mengisahkan diri saya dengan kanser sejak tahun 2016. Sudah 10 bab yang ditulis dan sebahagiannya disiarkan dalam blog.

Dan setelah menemui dan membaca buku Endri menjadikan perasaan (fokus) saya yang lebih dominan dalam penulisan buku politik menjadi kacau sedikit. Buku Endri memanggil-manggil saya untuk menyiapkan buku saya yang sudah saya berikan judul: Pintu Ajal Belum Terbuka - Biografi Kesakitan itu. Saya sedikit dilema kini. Buku yang saya terdesak untuk disiapkan kini ialah buku ulasan dan analisa iraum ke 14. Judulnya sudah ada, penulisannya juga sudah bermula.

Jiwa dan keinginan kini bertembung, apakah ingin disiapkan buku biografi kesakitan dengan mengabaikan buku "100 Hari Kerajaan Harapan: Cabaran dan Dugaan?" Inilah masalah penulis proses petukangannya sukar untuk disudahi dan sukar untuk ditelah, apabila kita menulis tanpa bergerak dari agenda khusus. Apa-apa pun selamat menanti kemunculan buku saya. [wm.kl.9:04 am 21/08/18]

Glosori:
menyenjah = menarik, meragut.

1 comment:

azamrahman said...

as salam Tuan.
Moga berjaya hasilkan kedua-dua buku yang dimaksudkan.
Saya menanti kemunculan kedua-dua buku tersebut.

Terima kasih.