Friday, June 13, 2008

Dirgahayu PR 1

DAP Milik Pulau Pinang, Bangsa Umno Jadi Ayam Gila Sangkak

KERAJAAN-KERAJAAN Pakatan Rakyat (kecuali Kelantan), Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah kini sedang berada di ambang dirgahayu sempena 100 hari penubuhannya. Seratus hari adalah tempoh yang bermakna di mana ia menjadi hari-hari penting menguji keutuhan dan kewibawaan kerajaan rakyat itu.

Dalam konteks budaya Melayu tempoh ini dianggap sebagai tempoh berpantang larang. Bila sebut pantang banyak cegahan dan larangan yang boleh dan tidak boleh dibuat. Seharusnya mereka yang berada dalam kerajaan itu perlu berhati-hati dan bijaksana membawa diri jangan sampai dikejar musuh atau pun 'berselehen' (clash) sesama sendiri.

Kalau dalam tempoh ini mereka berjaya meletakkan diri untuk diyakini rakyat serta berjaya menunjukkan wibawa mereka insya-Allah usia kerajaan-kerajaan rakyat itu akan berpanjangan dan tidak mustahil ia akan melebarkan kekuasaan ke atas Malaysia seluruhnya.

Cuba kita jenguk secara ringkas satu demi satu ke negeri-negeri berkenaan. Marilah kita mulakan dengan Pulau Pinang. Walaupun Pulau Pinang juga dianggap negeri Pakatan Rakyat, tetapi saya lebih melihat negeri itu adalah negeri peribadi DAP, milik Lim Guan Eng (foto) bersama bapaknya Lim Kit Siang. Banyak sebab dan tanda-tanda untuk mengatakan demikian.

Jangan berkecil hati

Pulau Pinang begitu lama diidamkan oleh DAP, sejak berdekad lalu. Jadi apabila takdir negeri pulau itu jatuh ke dalam tangannya, biarlah negeri itu menjadi milik DAP secara peribadi. PKR atau Pas tidak berhak untuk merasakan negeri itu sebagai hak bersama! Jadi kalau soal-soal perlantikan penguasa kerajaan tempatan, pengisian jawatan dalam agensi-agensi penting kerajaan negeri tidak banyak diberi kepada Pas dan PKR janganlah berkecil hati.

Sebaik kerajaan Pulau Pinang ditubuhkan ia tidak banyak menimbul masalah. Perbalahan sesama sendiri juga tidak berlaku dan peralihan kuasa berlaku secara baik dan profesional. Mungkin kerana Pas dan PKR sedar kedudukan mereka yang seperti melukut di hujung gantang dalam cupak kekuasaan DAP di Pulau Pinang.

Lim Guan Eng boleh bergaya dan menjadi Ketua Menteri dengan dengan baik dan selamat.Penghormatan juga diberikan kepada Lim Guan Eng apabila tidak sampai 72 jam Guan Eng mengangkat sumpah menjadi Ketua Menteri beliau dikunjungi oleh para wakil rakyat Pas Kelantan yang diketuai oleh Exconya. (Untuk rekod sampai sekarang Guan Eng belum mengunjungi Tok Guru Nik Abdul Aziz).

Cuma Umno sahaja peringat awal menjadi sawan dengan mengadakan tunjuk perasaan di perkarangan KOMTAR – pusat pemerintahan negara Pulau Pinang. Lagak Umno itu tidak ubahlah seperti ayam gilakan sangkak (sarang), di mana selepas semua telornya pecah barulah si ayam ini beriya hendak menjaga sangkaknya. Masing-masing histeria menjerit seperti orang disampuk jembalang.

Buat apa lagi bangsa Umno Pulau Pinang nak bersatu, negeri telah terlepas ke tangan orang. Ayam tidak menang tangan berbau tahi! Sudah terlewat. Pantun yang menggunakan bayangan berikut; asal kapas menjadi benang, dari benang dibuat baju, hendaklah didendangkan oleh bangsa Umno Pulau Pinang.

Dari Kuala Lumpur Lim Guan Eng cuba ditembak dan diserang dengan menimbulkan isu Guan Eng konon menolak DEB. Tetapi serangan itu tidak menjadi. Bom jangka tidak meletup. Serangan itu ditepis dengan selamat dan tenang oleh Ketua Menteri itu. DEB hanya sensitif kepada bangsa Umno sahaja tetapi bangsa MCA dan Gerakan Pulau Pinang mendiamkan diri. Mereka seakan bersetuju dan menyokong tindakan awal Guan Eng.

Orang Melayu pula menjadi terkutil tidak terkata apa dan Melayu yang 'berhora hore' dalam Pakatan Rakyat syok sendiri apabila Lim Guan Eng bercerita fasal kekagumannya kepada Umar Ibnu Aziz dan mengambil Umar Ibnu Aziz sebagai model pemerintahannya. Apa mahu lagi, Lim Guang Eng lebih peka dan banyak membaca sejarah dan mencuri keindahan Islam sebagai modal politiknya. Pendekatan lahiriah Guan Eng menarik semua orang menjadikan DAP for Malaysian.

Terkena getah

Apa yang diperkenalkan Guan Eng itu menarik perhatian orang Melayu. Bangsa Pas menjadi diam seperti tikus terkena getah! Melayu yang berfikir dengan kulit kepala mudah merasakan apa yang DAP lakukan itu juga untuk kepentingan mereka.

Jenis dan adat orang Melayu kalau ada orang lain memakai kain mereka, mereka akan gembira dan merasa bangga kerana alat atau idola mereka digunapakai walaupun pemakaian itu setakat untuk orang itu hendak lindungkan “batu pelirnya” saja. (Maaf terkasar sikit). Walhal selepas masuk ke kawasannya kain itu akan dibuang bahkan mungkin dicampak saja. Begitulah orang Melayu.

Dan hari ini Guan Eng menjadi sebutan. Menjadi kesukaan dan menjadi sanjungan setengah Melayu. Sebagai menutup rencana ini saya ingin mengutip kata-kata Muhammad Sabu pemimpin Pas Pulau Pinang, mengenai Guan Eng. Kata Mat Sabu Guan Eng berkereta sendirian, putar Tanjung dan minum dengan rakyat di gerai mamak, naik kapal terbang duduk kelas ekonomi. Orang Pas pula asyik berlagak, naik kapal terbang duduk bisnes class dan asyik tambah bini! Hidup Mat Sabu! Esok kita ke Kedah pula. [wm.kl 9:00 am 13/06/08]

No comments: