SEHINGGA jam 4:00 petang ini saya masih belum dengar atau terbaca dalam mana-mana blog mengenai komen atau kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas,Sallehudin Ayub (foto) berhubung konsert yang akan menampilkan Ella dan Mas Idayu (goyang politik), yang akan diadakan pada 6 Julai hadapan sempena sambutan 100 hari kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor khabarnya telah menghantar memorandum membantah konsert yang akan menampilkan dua penghibur itu atas alasan ia boleh mengundang keruntuhan moral. Sehubungan itu Dewan Pemuda Pas meminta agar kerajaan Selangor mengkaji balik akan kesesuaian konsert berkenaan.
Ternyata bantahan Dewan Pemuda Pas itu menimbulkan berbagai reaksi dan bingkasan tidak senang dari berbagai pihak. Ia juga dengan mudah telah dieksploitasikan oleh pihak tertentu untuk melagakan Pas dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dan sekaligus melagakan Pas dengan pihak istana.
Mereka yang tidak senang dengan kerajaan Pakatan Rakyat akan mencari helah dan alasan bagi memburukkan keadaan. Konsert itu telah dijadikan umpan yang cukup baik bagi menimbulkan suasana keruh yang akhirnya meretakan paduan Pakatan Rakyat. Sebuah akhbar yang terang-terang tidak mesra Islam (Pas) telah memainkan isu ini seluasnya bagi meretakkan hubungan Pas dengan rakan dalam Pakatan Rakyat.
Anihnya dalam hal ini akhbar Utusan Malaysia yang dibaikot secara rasmi oleh kerajaan Pakatan Rakyat nampaknya rasional dan tidak cuba mengambil kesempatan memburukkan keadaan dengan isu ini. Tidak ada laporan-laporan yang melampau akhbar berkenaan dalam hal ini.
Yang nampak melampau ialah akhbar The Star, yang sudah diketahui perangai dan agenda tersembunyi mereka. Akhbar ini nampaknya sengaja menimbulkan hal-hal yang kelihatan tersembunyi untuk menarik perhatian umum dengan niat busuk dan jahat yang jelas. The Star nampak sinis kepada Pas!
Berbalik kepada bantahan Dewan Pemuda Pas Selangor tadi, ia mendapat sokongan Dewan Muslimat Pas Selangor. Ketuanya Wan Hasrina Wan Hassan telah memberi komen dan turut sama membantah konsert berkenaan. Wan Hasrina berpendapat dan menuntut perkara sama seperti Dewan Pemuda Pas Selangor agar konsert itu dinilai semula dan penampilan Ella dan Mas Idayu itu ditarik balik.
Apa yang mereka protes kerana konsert itu bertentangan dengan semangat dan nilai-nilai perjuangan Pas. Kerana itu mereka menentangnya. Ada logiknya kalau mereka membantah konsert berkenaan. Masakan Pas sebagai sebuah parti Islam bersedia untuk berkompromi dengan hal-hal demikian. Dan Pas sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat seharusnya mereka juga dihormati.
Cuba bayangkan bagaimana pemimpin Pas yang setengahnya berserban dan berjubah hendak hadir ke konsert berkenaan. Bagi pemimpin Pas yang memakai kupiah mengikut musim tidak menjadi masalah. Mereka boleh hadir dan menonton konsert itu tanpa ada masalah. Kalau perlu kena kilas kupiah pun mereka bersedia! Tetapi bagaimana bagi mereka yang istiqamah dengan budaya itu?
Sudah pasti kerana majlis itu sempena sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat maka pemimpin Pas akan dijemput sama. Misalnya bagaimana gayanya kalau Nik Abdul Aziz Nik Mat, Harun Taib atau Dr Haron Din berhajat untuk menghadiri konsert berkenaan. Hendak tidak hendak mereka kena tengok dan tonton juga. Takkan semasa atas pentas mereka hendak tutup muka daripada melihat goyangan politik Mas Idayu!
Iya mereka boleh memilih untuk tidak hadir. Dan saya yakin kalau diupah sekalipun mereka tidak akan hadir. Dalam hal ini tujuan mentiadakan Ella dan Mas Idayu bukan saja untuk membolehkan Nik Aziz dan Harun Taib hadir, tetapi lebih penting mengelakkan berlakunya masalah gejala sosial dan keruntuhan moral yang bakal terbit dari konsert itu seperti mana yang dicerminkan oleh Dewan Pemuda dan Muslimat itu!
Jadi apabila Ketua Pemuda Pas Pusat Sallehuddin Ayub masih membisu mengenai isu ini ia menghairankan. Sallehudin belum mengeluarkan sebarang komennya! Mulutnya seakan terkunci. Yang bersuara ialah timbalanya, Nasrudin Hassan. Apakah Sallehudin tidak peka mengenai hal ini dan bersetuju dengan langkah kerajaan Pakatan Rakat Selangor itu?
Ataupun kerana beliau ahli Parlimen yang 'lantang' di Parlimen maka beliau kena mendiamkan diri dan menunjukkan sikap liberal? Saya percaya kalau bantahan itu ke atas konsert anjuran Kerajaan Barisan Nasional, tentu Sallahdudin akan ke hadapan dan menjadi tidak cukup mulut untuk mengomennya.
Dalam hal ini Sallehuddin jangan bersikap double standard. Jangan kerana maksiat itu dilakukan rakan sendiri maka ia perlu didiamkan sebaliknya kalau maksiat itu dilakukan musuh maka ia perlu diheboh dan ditentang dengan suara mengegar alam.
Saya bimbang kalau Sallehudin memilih isu untuk bercakap, ia boleh memberi musibah kepada kerjaya politiknya. Sallehudin ingat Pemuda Pas tidak akan mudah terpesona dengan jawatannya sebagai ahli Parlimen, sebaliknya mereka lebih perhatikan komitmen, sikap dan iltizam Sallehudin dalam memperjuangkan Islam.
Saya bimbang kalau Sallehudin cuba bermain play save dalam politik beliau akan menghadapi masalah suatu hari nanti. [wm.kl 4:15 pm 18/06/08]
4 comments:
ASWT
Saya setuju dengan pendapat anda:
"jangan bersikap double standard. Jangan kerana maksiat itu dilakukan rakan sendiri maka ia perlu didiamkan sebaliknya kalau maksiat itu dilakukan musuh maka ia perlu diheboh dan ditentang dengan suara mengegar salam."
Saya tidak bersetuju dengan komen anda bahwa Star sengaja menggembar gembur isu untuk meretakkan hubungan PR. Bagi saya, star ini memang golongan yang nampak buruk apa saja perlaksanaan Islam, itulah mereka.
Salam saudara MSO.
Setahu saya, konsert yang akan berlangsung ni bukankah untuk kejohanan piala sultan selangor? nampaknya telah berlaku banyak kekeliruan tentang konsert ini. Boleh saudara MSO mendapatkan berita yang sebenarnya?
Mohd Akrom dari Sg buloh.
Apakah tidak nanti, strategi dan teknik yang digunapakai bagi menegur penganjur konsert itu menyebabkan kita mungkin "menang pada bertarung tetapi akhirnya kita kalah pada berperang".
Kita mungkin berjaya membuat konsert itu dibatalkan tetapi orang-orang yang kita ajak supaya bersikap lembut dan mahu menerima Islam menjadi takut pada tingkahlaku kita lalu menolak apa-apa yang dikaitkan dengan Islam.
Maka berlakulah fenomena "teknik bantahan kita memang tetapi Islam kalah".
kenyataan Ketua Dewan Pemuda adalah tepat. membezakan antara kehendak parti dan kerajaan.
walaubagaimanapun tindakan kita tidak perlu ekstrem ekoran selangor bukan seperti kelantan.
berubah secara evolusi-pendidikan bukan tergesa-gesa.
penubuhan negara Islam oleh Hibzullah hanya tertubuh jika 90 peratus rakyat Lubnan menyokong pertubuhan itu.
kerajaan pakatan baru 100 hari memerintah. utama proses mendidik
mamat.com
mahasiswamenggugat.blogspot
Post a Comment