Monday, September 28, 2009

Merawat Malam

UBN Sudah Pasti Calonkan Isa, Pas Masih Menghitung

INSYALLAH petang esok akan diketahui siapa yang akan dicalonkan oleh Pas dan UBN untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang yang akan berlangsung awal bulan depan. UBN sudah hampir pasti akan mencalonkan bekas MB, Mohd Isa Samad. Walaupun pencalonan Isa menimbulkan kontroversi, namun UBN tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa akur dengan kehendak Umno Teluk Kemang yang inginkan Isa.

Suara akar umbi Umno Negeri Sembilan khasnya Teluk Kemang katanya gila-gila mahukan Isa yang juga ketua Umno bahagian itu. Kehendak itu bertentangan dengan naluri pemimpin Umno di Kuala Lumpur yang membenci Isa.

Awal-awal lagi pencalonan Isa itu diserang oleh Umno Kuala Lumpur. Tidak cukup Muhyiddin Yassin yang enggan memberi laluan kepada Isa atas maslahat yang beliau sendiri ketahui, Umno menggunakan bekas Presidennya, Dr Mahathir Mohamad untuk berkempen agar Isa tidak dicalonkan.

Alasan Mahathir ialah kerana Isa kurang bersih apabila bekas Naib Presiden itu digantung dan dilucutkan jawatan itu kerana terlibat dengan rasuah. Mahathir bimbang isu berkenaan akan digunakan dalam pilihan raya berkenaan dan menjejaskan Umno.

Lantaran itu Mahathir bermati-matian tidak mahukan Isa dicalonkan. Tetapi kehendak Mahathir itu nampak tidak dipedulikan. Umno Teluk Kemang tetap bersikeras mahukan Isa apabila hanya menghantar nama Isa sebagai calon tunggal UBN.

Kerana desakan akar umbi itu menyebabkan UBN tidak ada pilihan dan terpaksa menerima Isa. Manakala seorang lagi calon yang dikirimkan ke pejabat Umno di Kuala Lumpur, iaitu ketua Wanita Bahagian, Rohani. Malangnya Rohani sendiri menolak dan bersedia memberi laluan kepada Isa kerana merasakan Isa lebih berwibawa.

Perkembangan itu menjadikan UBN suka tidak suka terpaksa memilih Isa. Kalaulah benar Isa dicalonkan ini bermakna calon UBN kali ini bukan dari parti - pilihan UBN pusat tetapi dari kalangan anak beranak Isa di Bagan Pinang. Katanya Isa mempunyai keluarga yang besar di kawasan berkenaan.

Sebenarnya dari segi hakikat Umno sebagai sebuah parti, pencalonan Isa yang terlibat dengan rasuah dan tidak bersih tidak menjadi masalah. Ini kerana dalam Umno bukan Isa saja yang terlibat dengan rasuah, tetapi boleh dikatakan semua pemimpin Umno terlibat dengan rasuah. Yang bezanya nilai rasuah sahaja. Kebetulan nilai rasuah Isa besar maka beliau menjadi perhatian. Umno itu sendiri merupakan institusi rasuah!

Ketika UBN sudah hampir pasti menurunkan Isa, Pas masih lagi belum membuat keputusan siapa yang akan dicagarkan untuk berhadapan dengan Mohd Isa. Ada tiga nama yang disebut-sebut akan dipertimbangkan Pas. Mereka ialah bekas Ketua Dewan Ulama Negeri Sembilan, Ustaz Kasim Tahir, bekas calon Pas kerusi Bagan Pinang dalam pilihan raya lalu, Ramli Ismail dan seorang lagi, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar.

Bagaimana dari tiga nama itu, menurut sumber Pas, kini hanya tinggal dua saja nama untuk dipertimbangkan. Nama Ustaz Kassim sudah digugurkan atas alasan beliau sudah tua. Pertimbangan kini adalah antara Ramli dengan Zulkefli.

Kedua nama ini tidak banyak perbezaan. Begitu juga dari segi ketokohan. Ramli adalah Yang Dipertua Pas Teluk Kemang. Ini menyebabkan Pas sukar sedikit untuk memutuskan siapakah paling layak. Katanya penghalusan mengenai kedua calon ini terus dilakukan ke saat-saat akhir menjelang hari pengumuman petang esok.

Dalam pada itu ada pendapat mengatakan kemungkinan Ramli akan menjadi pilihan. Ramli dilihat ada sedikit kelebihan kerana beliau pernah bertanding di situ. Kapasitinya selaku Yang Dipertua Pas Kawasan Teluk Kemang juga memberi kelebihan kepadanya.

Dalam pilihan raya umum lalu beliau mendapat 4,097 undi berbanding dengan Allahyarham Azman Mohd Nor yang meraih 6,430 undi. Azman menang dengan kelebihan 2,333 undi majoriti.

Pengkaji politik dalaman Pas mengira sekiranya dalam pilihan raya kecil itu nanti calon Pas berjaya mengekalkan undi yang diperolehi Mac tahun lalu ia dikira satu pencapaian memberangsangkan. Pas menghadapi pilihan raya ini dengan harapan tidak mahu kalah, sebaliknya kejayaan mengekalkan jumlah undi lalu itu dikira satu kemenangan. [wm.kl. 10:00 pm 28/09/09]

1 comment:

BelokKiriKanan said...

Orang ramai lebih teruja untuk mengetahui siapa bakal menjadi calon BN daripada siapa bakal calon Pas. Calon Pas bakal turun sebagai underdog.

Integriti Umno dan Lembaga Disiplinnya akan menjunam sekiranya Isa dipilih sebagai calon. saya yakin Isa akan menang tetapi maruah Umno akan tercalar, Umno dilihat ketandusan pemimpin serta tidak mempunyai calon pelapis yang berkualiti.

Sebenarnya, pada pandangan saya,selain drp Isa, sesiapa saja calon Umno yang bersih akan menang di Bagan Pinang cuma majoritinya mungkin kurang sedikit.Orang melayu di Bagan Pinang majoritinya ahli dan penyokong Umno yang tegar, tetap akan menyokong sesiapa saja calon BN walaupun ia bukannya Isa. Walaupun orang bukan Melayu suka dengan sikap mesra Isa, undi mereka tak semestinya akan pergi kepada BN sekiranya Isa tercalon. Mereka sukakan Isa tetapi mereka lebih tidak sukakan lambang BN.