Pegawai Kerajaan Jadi Haiwan Serkas
MINGGU lepas saya berbuka puasa dengan seorang kawan, pegawai kerajaan yang berkedudukan juga. Kami tidak ke hotel ataupun restoran mewah, tetapi cukup membeli dua tiga jenis jaudah dan lauk pauk di pasar Ramadhan di Taman Melawati dan berbuka di satu tempat. Sengaja kami memilih begitu untuk lebih rileks dan tidak membazir.
"Kita beli saja dan makan di mana-mana,"begitulah cadang kawan itu. Ternyata dengan cara itu kami hanya habis tidak sampai RM30.00 jimat dan berbaloi. Lagipun bila usia sudah sebegini apa sangat hendak dimakannya, tak berapa kemaruk lagi dan makan pun tidak banyak seperti dulu. Ya... saya sendiri kini lebih sedap dan terhibur melihat anak-anak makan yang lahap dan berselera. Kata orang lihat anak makan kenyangnya jatuh ke perut kita.
Sementara menunggu tiba masa berbuka kami mengisi masa dengan berborak. Biasalah kalau jumpa dengan penulis politik, isu politiklah yang diborakkan dulu. Dan saya pula suka mendengar kawan ini bercerita, kerana dapat maklumat politik dari versi pegawai kerajaan. Dapat mengetahui bagaimana penerimaan pegawai kerajaan dengan stail pentadbiran Najib Razak. Lepas satu babak ke satu babak dan akhirnya terbawa kepada bidang kerjanya.
Katanya kebanyakan pegawai kerajaan menyambut baik saranan dan iltizam Najib Razak yang diluahkan menerusi slogannya berbunyi; Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Bagi pegawai kerajaan sepertinya merasa polisi itu sangat baik. Sudah lama kepentingan rakyat terabai ataupun dilayan secara lewa saja.
Jadi sesuai dengan slogan itu katanya pegawai kerajaan jadi bersemangat untuk berbakti kepada negara. Ketuanya sendiri telah mengeluarkan satu pekeliling dalaman meminta supaya semua pegawai tegas dalam melaksanakan tugas masing-masing dan tidak melayan kerenah-kerenah mencacatkan tanggungjawab masing-masing. Para pegawai diminta bertindak tegas dalam menentukan projek kerajaan yang dikawal masing-masing agar berjalan lancar, tepat dan siap dengan sempurnanya demi rakyat.
Sehubungan itu katanya, arahan diberikan mana-mana kontraktor yang lambat menyiapkan projek yang diberikan hendaklah diambil tindakan. Tindakan itu termasuklah memberhentikan dan memberi kepada kontraktor lain. Tidak perlu ada lagi nasihat dan amaran! Tujuannya ialah untuk mengawal duit kerajaan dan memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan projek berkenaan sesegera yang boleh. Bayangkan berapa banyak duit kerajaan habis kalau projek tertangguh atau pun lewat.
Memang banyak projek yang gagak disiapkan. Paling ketara di sebuah negeri di pantai timur.
Jadi katanya apabila arahan itu dilaksnaakan maka banyaklah kontraktor yang dikenakan tindakan kerana gagal menyiapkan projek. Kontraktor berkenaan lalu diminta berhenti. Surat pemberhentian pun diedar kepada mereka memaklumkan tindakan itu.
Malang ceritanya, apabila mereka dikenakan tindakan mereka mengadu kepada orang politik, Menteri Besar. Mereka memberi berbagai alasan kepada MB termasuklah kalau projek mereka itu ditarik balik, sumbangan mereka kepada parti tidak ada. Maknya sumbangan kepada parti sebelum ini diberikan oleh para kontraktor. Apa lagi kerana merasakan ia menjejaskan kewangan parti MB terus bertindak membela mereka.
MB katanya terus membuat tindakan dan melaporkan hal itu kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri pula bila mendengar hal ini segera bertindak memanggil ketuanya supaya membatalkan balik arahan itu. Apabila ia melibatkan Perdana Menteri sendiri apalah yang pegawai kerajaan dapat lakukan! Jadi katanya arahan itu terpaksa dibatalkan serta merta dan para kontraktor 'malas dan lembab' itu pun diberikan semua projek itu.
Tindakan ini menurut kawan itu benar-benar mengecewakan pegawai kerajaan. Mereka merasakan kuasa yang ada kepada mereka tidak dihormati dan boleh diatasi oleh kuasa politik. Di masa akan datang kalau ada arahan-arahan baru sudah pasti mereka tawar hati untuk mematuhinya.
Kata kawan saya itu inilah yang berlaku dalam jabatan kerajaan dan masalah yang terpaksa ditanggung oleh pegawai kerajaan. Mereka jadi serba salah dalam melaksanakan tugas. Adakalanya mereka diasak supaya tegas dan bila tegas itulah jadinya. Jadi pegawai kerajaan ini katanya tak ubah macam bola ataupun haiwan serkas saja untuk dijadikan mainan mereka - orang politik.
Memahami cerita yang dikisahkan kawan saya itu menjelaskan betapa buruknya kerenah politik. Politik terus membelenggu para teknokrat untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Selagi pengaruh politik membayangi mereka ini bermakna buatlah apa-apa polisi pun ia tidak akan berjaya. Polisi atau dasar itu hanya menjadi slogan saja yang indah disebut dan sedap didengar tetapi hakikitnya hampa. Begitulah juga dengan slogan popular Najib itu ianya hanya retorika saja. [wm.kl. 3:00 pm 17/09/09]
2 comments:
mungkin selepas ni pegawai-pegawai kerajaan berkaitan pergi ke tepi-tepi jalan yang terdapat papan tanda rakyat didahulukan pencapaian diutamakan
ambil papan tanda itu kemudian usunglah beramai-ramai ke putrajaya, dengan kudrat yang ada kalungkan@menghempas papan tanda tersebut ke kepala Najib
sekadar idea seperti idea Suku Maran hendak mengkalungkan selipar pada gambar Mahathir
Salam Tuan Hj MSO,
Apakah kegagalan suatu projek di satu negeri pantai timur merujuk kegagalan menyiapkan kampus utama Politeknik Muadzam Shah, Pahang yang mengikut jadual? Amat menyedihkan kerana sebuah institusi pendidikan untuk keperluan rakyat tidak didahulukan, jadi dimanakah pencapaian yang diwar-warkan di beri keutamaan?
Amat menyedihkan lagi penuntut-penuntut sedia ada Politeknik tersebut terpaksa menumpang tempat Sek. Men. Teknik Muadzam Shah sejak sekian lama. Jadi ini amat merugikan kepada kebajikan rakyat khusus warga anak-anak muda.
Wasalam dan Salam Aidilfitri 1430H diucapkan.
Post a Comment