Monday, June 13, 2011

Tikaman Petang

Wajarkah Dr Johari Terima Perlantikan Senator?

DEWAN Undangan Kelantan (DUN) yang akan bersidang minggu depan dijangka akan membuat perlantikan seorang senator apabila khidmat Rosli Ibrahim tidak disambungkan lagi. Katanya nama untuk diangkat menjadi senator telah pun ada. Orang itulah Dr Johari Mat seorang tokoh pendidikan dan dakwah yang tidak asing lagi di Kelantan khususnya. Pada masa ini Johari adalah pengarah di sebuah institusi pengajian tinggi berorentasikan agam di Kelantan.

Beliau adalah bekas seorang pensyarah, kalau tidak silap di UKM.

Mulanya beliau diletakkan harapan tinggi oleh Pas sebagai salah seorang tokoh akademik dikira dapat membantu kerajaan Kelantan. Apabila perkhidmatannya dengan universiti berkenaan beliau katanya diundang oleh pihak Pas Kelantan untuk dimanfaatkan ilmu dan pengalaman luasnya.

Tok Guru Nik Abdul Aziz dalam satu perbualan dengan saya di pejabatnya pernah membayangkan Dr Johari hendak dibawa tanding di Dun bagi dilantik sebagai Exco pendidikan. MB itu menaruh harapan begitu memandangkan pengalaman dan penglibatan beliau dalam bidang pendidikan sangat luas.

Pada pilihan raya 2004 beliau sepatutnya sudah bertanding untuk merealisasikan harapan itu. Bukan saja Nik Aziz, orang lain juga yang melihat ketrampilan, watak dan syaksiyah Dr Johari ianya adalah sesuai untuk dilantik menjadi salah seorang Exco kerajaan Kelantan. Wataknya yang lemah lembut, sopan santun dan mahir dalam metode dakwah sangat layak sekali untuk menerajui porfolio pendidikan atau dakwah.

Dalam satu penerbangan ke Aceh untuk menghadiri majlis angkat sumpah Gebenur Aceh, Irwandi empat atau lima tahun lepas saya ada bertanya dan mencadangkan kepada beliau hal itu. “Dr kena tanding dalam pilihan raya dan jadi Exco pendidikan?” Begitulah usik dan usul saya.

Dia tersenyum dan ketawa. Selepas menjelaskan dia tidak mahu terlibat dalam politik. Katanya dia lebih suka atau seronok berada dalam bidang pendidikan. Kalau pun hendak bantu Tok Guru (negeri Kelantan) ujarnya biarlah dari luar.

“Saya lebih suka begini, banyak perkara yang saya boleh lakukan dengan cara ini. Saya sudah buat surau di kampung isteri saya, sesekali saya boleh memberi kuliah dan tazkirah di situ, didik orang kampung dalam bidang agama,” begitulah kira-kira jawaban Dr Johari kepada saya. Dia nampak begitu keberatan sekali untuk menerjunkan diri secara langsung dalam politik.

Saya difahamkan surau baru yang dibina itu ialah di Kedai Menanti, Pasir Puteh. Waktu itu kerusi yang dicadangkan kepadanya ialah Dun Selising. Walaupun dia asal Tanah Merah bersepupu dengan Ahli Exco Fatah Mahmod tetapi banyak tinggal di Selising.

Ketika itu beliau begitu tegas dengan keputusannya. Dan semasa beliau hadir di majlis kenduri di rumah Almarhum bapa mertua saya di Rantau Panjang, saya ada mengusulkan sekali lagi kepadanya perkara sama. Dr Johari tetap memberi jawaban yang sama yang beliau tidak mahu terlibat dalam politik secara langsung apa lagi menjadi wakil rakyat. Saya cukup faham kenapa beliau mengelak untuk dijadikan wakil rakyat.

Hakikat ini disahkan lagi oleh beberapa kawan yang memberi tahu apabila menjelang pilihan raya lalu beliau telah menutup telefonnnya kerana tidak mahu bercakap denagn sesiapa yang mempelawanya bertanding dalam pilihan raya. Sikap dan tindakan ini menjelaskan bahawa beliau serius tidak mahu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Kini namanya telah diangkat untuk menjadi senator. Apakah Dr Johari akan menerima pemberian jawatan ini? bukan bermakna saya tidak suka kepada beliau tetapi ada sesuatu yang ingin saya perkatakan di sini. Kalaulah Dr Johari menerima jawatan ini apakah beliau sudah berubah fikiran yang menjadi pegangannya sebelum ini? Atau apakah dia merasakan senator itu bukan membebankan dan bukan satu jawatan politik?

Sekiranya beliau istiqamah dengan pegangannya sebelum ini yang bersikeras untuk tidak menjadi Adun dengan alasan yang beliau sendiri ketahui, apakah pula alasan yang akan beliau berikan kalau beliau menerima jawatan senator ini? Pada saya kalau Dr Johari menerima jawatan ini kerana ingin lepas dari masalah yang dihadapi di institusi yang dipegang sekarang ini, yang khabarnya bermasalah, ia jelas satu pendirian yang tidak berapa betul.

Saya percaya dan yakin nama beliau dicadangkan oleh mereka yang rapat dan bertalian saudara dengan beliau. Dalam bahasa politik cablenya kuat. Itulah maklumat yang saya ketahui. Kalau begini cara pencalonan itu maka wajar Dr Johari yang terkenal sebagai seorang yang amat menitik berat soal-soal syariah Islam menimbang semula terhadap pencalonan beliau itu. Beliau juga sedar bahawa jawatan senator lebih merupakan jawatan sebagai membalas jasa kepada mereka yang berjasa dalam Pas.

Beliau perlu kena ingat selain beliau masih ramai lagi tokoh atau pun pejuang Pas yang banyak berjasa dan sudah kesekian lama bergelumbang dalam Pas. Malangnya kerana mereka tidak mempunyai cable yang kuat maka mereka tersisih. Bagaimana pun Tok Guru Nik Aziz sebagai pesuruhjaya Pas Kelantan seharusnya meneliti setiap calon yang dikemukakan untuk apa juga jawatan, bagi mengelakkan tidak berlaku penganiyaan. Tok Guru sangat mementingkan soal keadilan dan mengelak dari berlaku penganiayaan.

Sebenarnya kalau Dr Johari tidak dilantik menjadi senator masih ada lagi ruang untuk beliau berkhidmat dalam Pas bukannya menerusi kerusi senator yang dilihat kerusi politik.

Pun begitu kalau Dr Johari merasakan beliau banyak berjasa tidak ada masalah, terima saja jawatan itu sebagai satu kewajiban yang semestinya dipikul dengan penuh tanggungjawab dan beramanah. Tetapi kalau menerima atas alasan dipaksa apa lagi kerana motif politik melalui cable tertentu lebih baik beliau tolak dengan hormat agar nama baik dan intergriti yang ada kepada beliau tidak tercemar.

Saya bimbang jika beliau tidak dapat menjalanakan tanggungjawab dengan baik menerusi jawatan itu akhirnya wibawa beliau selama ini akan tercemar. [ttdi.kl.5:49 pm 13/06/11]
Post a Comment