Tahniah Pak Samad Kerana Puisi Sudah Jadi Senjata
SAYA harap saya tidak akan dipanggil polis kemudian akan disoalsiasat di bawah Akta Hasutan 1948 kerana (hanya) mendewakan Pak Samad atas keberaniannya memperjuangkan kebenaran menerusi puisi. Kalau saya tidak kesuntukan masa saya akan mengiringi Pak Samad sore tadi untuk menjawab pertanyaan polis di balai polis Dang Wangi berhubung ucapan rengkas dan bacaan puisi pendek beliau pada malam perlancaran Bersih dua minggu hari lalu.
Apa dilalui Pak Samad merupakan pengalaman terbaik bagi seorang Sasterawan Negara sepertinya. Seingat saya Pak Samad akan menjadi sasterawan ke dua yang berani menyatakan kebenaran dalam golakan dan kerakusan kuasawan - memimjam istilahnya. Sebelum ini Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad telah menaburkan novelnya berjudul Shit menceritakan akan kebusukkan seorang bekas Perdana Menteri daripada dari dalam perutnya hinggalah ke tempat tidurnya. Betapa negara siasah sebelah sana bagaikan di landa geruda untuk menjawab segala kebusukan yang dibongkar dalam novel Shit itu. Kalut ribut jadinya.
Hasil lontaran shit oleh Shahnon novel itu bergema di Parlimen. Ia menjadi isu dan dibahas oleh ahli Parlimen yang buta dan jahil tentang novel. Rasanya itulah sebuah novel mendapat perhatian ahli Parlimen negara ini.
Siapa mengatakan sasterawan dan seniman kita tidak hidup, mati jiwanya dan pengecut? Sekurang-kurang apa yang ditunjukkan Pak Samad hari ini digiring polis ke balai kerana menegur dan memberi pandangan agar keburukan ditukar dengan kebaikan, adalah buktinya. Pak Samad bahawa seniman masih berperanan dan ada nilainya.
Saya yakin selepas ini akan ada sasterawan akan bangkit membela kebenaran. Para seniman yang halus jiwanya dan benar hatinya akan bangkit membela menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku. Mereka akan memberontak dalam prosa dan syiar atas apa yang berlaku. Kecualilah seniman dan sasterawan yang sedia menerima upahan... yang membeli dan menjual puisi dan karya mereka.
Saterawan yang hari ini mendokong dan mengepung kerajaan yang ada, tokoh yang memberi mereka serunai dan ringgit akan turun ke gelanggang mempertahankan kerajaan hari ini selepas mereka tidak lagi bertakhta di atas singgahsana kekuasaan. Tunggulah kita lihat. Kalau mereka tidak membela maka munafiklah seniman berkenaan. Waktu itu nanti mereka akan menjelma menjadi Shahnon dan Samad seperti hari ini.
Bengeng saya memikirkan bagaimana polis boleh memanggil Pak Samad untuk disiasat di bawah akta hasutan. Mungkin mata polis lebih tajam dari mata dan pengamatan kita terhadap puisi Pak Sama berjudul "Unggun Bersih" itu. Bijak dan kreatif sungguh pemikiran polis dalam menterjemah dan mencari makna terselindung di sebalik puisi itu. Apakah tindakan itu bukan berdasarkan profesional polis sebalik kerana disuruh?
Baguslah Pak Samad kalau puisi kini tidak lagi sekadar hiburan atau bacaan orang iseng di tepi kolong atau longkang busuk. Sudah lama para sasterawan, penyair yang ada jiwa, untuk memertabatkan puisi menjadi senjata dalam hidup. Puisi bukan saja ungkapan indah untuk memuji kekasih ataupun menyatakan kesedihan atas malapetaka yang menimpa diri, tetapi puisi juga peluru perang. Bahasa-bahasa melaikat untuk menyedarkan syiatan.
Iya bagi mereka yang ada perasaan, jiwanya hidup akan mudah dilebuhkan dengan bahasa puitis. Tetapi kalau mereka yang berhati kayu, perasaan besi, tojahlah dengan batu sebesar bukit pun ia tidak memberi kesan...
Mulai hari ini puisi sudah sama mahal dan sama hebat dengan dengan pidato Mat Sabu atau Shamsul Iskadar Md Akin hatta dengan pidato Anwar Ibrahim maupun Mahfuz Omar. Tahniah dan syabas. Semoga selepas ini Pak Samad akan terus menulis dan melahirkan puisi yang bersifat senjata untuk menojah ke kepala batu mereka yang tamak haloba, rakus dan mabuk darah dengan kuasa.
Iya Pak Samad bangun dan cairkan jiwa mereka dengan puisi-puisi, karanglah seberapa banyak. Dakwat untuk melakar puisimu masih sebanyak air laut. Kalau kau tidak kecukupan kertas tulis maka catatlah di kedua belah telapak tangan dan telapak kakimu.
Dan sesekali jangan Pak Samad merasa gerun dan takut. Kalau takdir sudah menyuratkan Pak Samad meringkuk dalam penjara, maka itulah peluang terbaik untuk Pak Samad menjadi punjangga bangsa dan bukannya pujangga angsa yang berleher panjang dan mejerit uakkkkk...uakkkkk....apabila perutnya kosong dan akan berhenti bila perutnya buncit. Salam dan horas - dalam perjalanan. [**** 9:10 pm 27/06/11]
1 comment:
kesiannn Pak Samad..jiwa kebenaran seorang tua yg masih utuh dgn kesedaran sejati dan mampu melihat antara yg hak dgn yg bathil diperlakukan demikian..kalau ikutkan negara India lebih teruk kerajaan mereka dikritik melalui filem dan sebagainya.Pasukan polis mereka jelas dipersenda dlm filem terutama melibatkan rasuah, filem mereka jalan jer...herab betul la sebuah negara yg mengaku demokrasi dan sebuah negara Islam menyekat kebebasan bersuara rakyatnya sendiri.d
Post a Comment