Khairy Yang Jadi Orang-Orangan.
Pujian perlu diberikan kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kerana mempunyai pandangan yang sihat dan mendekati kehendak Islam apabila beliau tidak setuju dengan penyebaran video lucah. Inilah sikap yang diperlukan dari seorang anak muda seperti Khairy. walaupun Khairy masih berdarah Umno tetapi nampaknya dia lebih matang dan faham mengenai hukum hakam agama.
Perangai fasik dan munafik yang menjadi pakaian sesetengah pemimpin Umno tampaknya tidak berjangkit kepada anak muda ini.
Sepatutnya pandangan dan sikap Khairy itu kalaupun tidak perlu diikuti tetapi harus dimalui oleh pemimpin Umno lain. Khairy bukan saja tegas dalam soal ini serta menyerlahkan ilmu dan fahaman agamanya tetapi dia juga berani menyuarakannya apa yang dia arif dan yakini mengenainya.
Selain Khairy masih bertimbun pemimpin Umno lain yang tidak seronok dengan penyebaran video lucah membabitkan Anwar Ibrahim itu. Tetapi mereka tidak berani untuk menyuarakannya takut dianggap sebagai pembela Anwar. Perasaan inilah yang memomokkan diri pemimpin Umno bila hendak menyuarakan kebenaran yang bersangkutan dengan orang diluar Umno.
Kenapa saya mengata demikian kerana ada seorang menteri turut menadah tangan mengaminkan doa seorang tokoh ulama dunia yang memohon Allah s.we.t. selamatkan Anwar. Perbuatan ini apa hendak dinamakan kalau bukan munafik?
Sikap dan perangai seperti ini (Khairy) sepatutnya ditohok jauh dari diri masing-masing kerana ia tidak membawa kebaikan. Umno tidak akan untung dan tidak memberi guna kalau memiliki pemimpin yang bacul untuk bersuara menegakkan kebenaran.
Bagaimana pun sayang intan yang ada di bawah lumpur Umno ini tidak dikenali oleh Umno. Umno tidak menghargai Khairy sebagai anak muda yang 'berpacar damai' dan bersikap terbuka dan telus. Malahan kehadiran Khairy ini langsung tidak dipedulikan semuanya gara-gara seorang Wak Long dalam Umno tidak menyukai Khairy. Itu saja.
Manakala presiden Umno pula dalam soal ini begitu naif sekali untuk membuka mulut dan mengguna pakai pandangan dan akalnya sendiri. Justeru itu permata sebutir ini terus berkarat di dalam Umno dan bakal memudaratkan parti itu kerana ia dibiarkan terendam begitu saja tanpa rawatan dan penjagaan. Khairy hanya boleh mendengungkan suara dari jauh sahaja, sedangkan dari dalam suaranya langsung tidak diedahkan.
Selama mana Khairy boleh duduk tercokol menjadi seperti orang-orangan di tengah sawah yang digunakan untuk menghalau unggas? Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Sebagai anak muda yang 'berpacar damai' beliau tentu ada sempadan masa yang ditandainya dan sempadan itu akan tiba juga.
Apa yang saya ingin saksikan di hujung waktu nanti apakah Khairy akan menimbangkan apa yang pernah saya suarakan kepadanya dua tahun lepas di hadapan Dr Haron Din? Manakala saya tetap yakin bahawa Khairy akhirnya akan menemui dirinya yang sebenar yang kini masih digelapi kecintaan yang tidak berbalas kepada Umno. [wm.kl.7:15 am 01/06/11]
No comments:
Post a Comment