Sunday, June 5, 2011

Ulasan Peristiwa

Kesilapan Yang Tidak Perlu Diulangi Dalam Muktamar

MURSYIDUL AM Pas Nik Abdul Aziz kata kemenangan Mat Sabu menerusi saluran yang sah? Ertinya kemenangan itu dikhtiraf dan menunjukkan Pas mengamalkan demokrasi terbuka dan tulen.

Bukan itu saja kemenangan itu atas kredibiliti yang ada kepada Mat Sabu. Ia bukan seperti kemenangan penjawat besar di dalam Umno yang diragui akan kesahihannya. Inilah kehebatan Pas.

Walaupun Nik Aziz tidak seronok dengan kemenangan Mat Sabu, kerana tidak memenuhi hasratnya, tetapi bila itulah keputusan terpaksa juga disambut. Redha dengan kehendak perwakilan. Inilah tanggungjawab dan amanah bersama. Nik Aziz mnghormati keputusan itu kerana itu dia memberi dokongan dengan menghuraikan beberapa kelebihan yang ada kepada Mat Sabu terutamanya mengenai kesetiaan Mat Sabu dengan Pas.

Sesiapa pun dalam Pas kena menerimanya. Haron Din yang perit untuk menerimanya tetapi beliau beranggapan gandingan baru itu adalah percubaan yang baik. Dengan percubaan itu mudah-mudahan ia akan memberi kebaikan kepada Pas, dan Pas akan berada dalam martabat yang lebih tertinggi dari sebelum ini, itu harapan timbalan Mursyidul Am Pas.

Tetapi memerhati kepada muktamar kali ini ada beberapa kesilapan kecil yang boleh menunjukkan Pas masih belum profesional dalam melaksanakan sidangnya. Ia terkesan sewaktu muktamar Pemuda lagi, apabila ketuanya terlupa untuk mengadreskan kehadiran perasmian muktamar, Nasharudin Mat Isa. Selepas itu ia diikuti dengan tayangan multimedia yang berunsur kempen kepada seseorang calon sangat menonjol dan tidak patut berlaku apabila seorang calon lain ada bersama.

Rupa-rupanya kesilapan di lakukan anak-anak muda Pas yang masih belum matang atau terlebih cerdik ini turut sama berlaku dalam muktamar Pas semalam. Apakah ini satu pembaharuan atau pun kerana begitu ghairah untuk melihat wajah kepimpinan baru Pas?

Katanya semalam sebaik saja pengumuman keputusan dibuat, pengerusi tetap terus memanggil pemenang baru naik mengambil tempat di pentas utama? Apakah peraturan muktamar sudah berubah? Atau pun kerana pengerusi begitu terliur untuk melihat Mat Sabu duduk di sebelah presiden parti maka kelaziman yang tertib itu terabadi?

Kalau ikut amalan biasa, pemenang jawatan lama termasuk yang kalah perlu berada di pentas sehinggalah muktamar berakhir. Apabila kerusi mereka sudah dirampas, menyebabkan mereka ketiadaan kerusi dan perlu keluar dari dewan muktamar.

Sebenarnya tanggungjawab mereka masih ada. Mereka, khasnya Nasharudin dan Tuan Ibrahim serta ahlijawatankuasa yang kalah perlu menjawab beberapa perkara berbangkit di sepanjang sessi pentadbiran mereka.

Apabila pemenang baru sudah naik ke pentas dan mengambil kerusi, macam mana mereka hendak menjawab persoalan yang bakal timbul. Manakala pemenang baru tidak boleh hendak menjawab apa-apa perkara berbangkit disebabkan mereka tidak mengetahui dan bertanggungjawab mengenainya.

Logiknya apabila mereka yang kalah sudah beredar mereka tidak lagi mempunyai kerusi di di bawah bersama perwakilan. Jadi jalan paling afdal ialah meninggalkan muktamar. Adalah tidak munasabah untuk mereka mencari mana-mana kerusi di celah perwakilan atau pun di ruang pemerhati atau ruang media massa?

Apa yang patutnya berlaku pengumuman keputusan itu dibuat pada hari ketiga (akhir) muktamar. Jadi selepas semua penjawat lama menjawab persoalan timbul baru keputusan diumumkan. Ketika ini para pemenang mengambil tempat dan ucapan penangguhan diadakan.

Mungkin juga kerana terlalu ghairah dengan kepimpinan baru yang dilihat dapat melanjokan semangat Pas dan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan Malaysia maka pengerusi terlupa dengan peraturan-peraturan yang harmoni itu. Atau mungkin kerana ralik sangat berseloka berpantun maka perkara lebih penting dan bermoral dilupakan. Kalau ya nak merampas Purtajaya pun kenalah hormat juga pemimpin lama yang kalah itu.

Harapnya dilain kali panetia muktamar memerhati perkara ini. Janganlah perkara yang boleh memalu, menyakit dan menyinggungkan hati mana-mana pihak dilakukan lagi. Kita marah kalau dikatakan tidak profesional, tetapi apa yang berlaku jelas di khalayak umum itu menunjukkan kita tidak ada kelas..

Mungkin kesilapan teknikal yang kecil tetapi boleh menggambarkan kelemahan Pas inilah satu kecacatan kepada muktamar ini selain daripada soal-soal teknikal lain yang memang boleh dipersoalkan. Hendaknya keghairahan menyambut barisan kepimpinan Masahusma ini tidak akan membawa padah, apa lagi mengecewakan sesama kita yang lain, sebalik ianya akan mensejahtrakan Pas. [wm.kl.1:05 pm 05/06/11]
Post a Comment