Wednesday, June 22, 2011

Susupan Petang

Buku Politik Hentam Najib?

DUA hari lepas kawan lama saya, seorang wartawan dan politician sdr Shahbuddin Hussein memberikan sebuah buku yang baru diterbitnya. Judul buku itu agak kritis juga; "Najib Perdana Menteri Terakhir..." sub titlenya pula berbunyi; Tak berubah, faktor Rosmah & pola Sarawak petanda BN The End."

Saya belum membaca keseluruhannya dan sempat membelek dan meneliti beberapa bab. Melihat kepada judulnya saya rasa buku ini bakal tidak disenangi oleh Najib dan Umno.

Ini kerana pada pandangan saya buku ini mengkritik Umno dengan menjadikan Najib Razak sebagai objeknya. Kalau dilihat kepada judulnya ia negatif. Tetapi saya tidak fikir isinya keras dan mengancam sampai Najib atau Umno akan melenting kerana Shahbuddin adalah ahli Umno. Kalaulah ahli sebuah parti menghentam kepada pucuk pimpinannya ini bermakna parti itu sudah berada di tahap yang teruk.

Saya rasa apa yang cuba didedahkan dalam buku ini adalah pemerhatian beliau terhadap nasib parti itu ke belakangan ini yang sedang menghadapi gelombang dan goncangan dari Pakatan Rakyat. Bagi Shahbuddin budaya yang mewajahi parti itu membimbangkan beliau. Budaya itu tentulah rasuah dan juga cantas mencantas dalam parti.

Saya rasa Shahbudin ikhlas dalam mengatakan apa yang beliau hendak kata dalam buku ini. Tentulah sebagai seorang ahli parti dia mahu parti itu dibaikpulihkan. Amaran yang hendak disampaikan kalau Umno tidak berubah, seperti mana kehendak Najib - melakukan tranfsormasi, mungkin Umno akan hanyut.

Ikhlas saya katakan orang Umno dan pemimpin atasannya sekali kena baca buku ini dengan berlapang dada. Pandangan dan kritikan yang dihemburkan untuk membaiki parti berkenaan. Sayang kalau Umno melihat dari sudut negatif maka buku ini tidak akan banyak memberi kebaikan kepada Umno.

Buku ini mempunyai 320 muka surat dengan membentangkan 25 tajuk yang bukan saja menyentuh soal Umno tetapi turut memperkatakan perkembangan atau pun perubahan di dalam parti-parti Pakatan Rakyat. Antara tajuk-tajuk yang menarik dan saya rasa menimbulkan kontroversi ialah; Umno mesti dikalah, Jangan bimbang jika Umno tumbang, Menteri-menteri yang gagal.

1Malaysia jadikan Melayu kelas kedua? Juara rakyat program syok sendiri, Rosmah punca rakyat tolak Umno, Pengkhianat jadi perimadoan dan lain-lain lagi.

Beberapa gambar menarik juga dikempilkan sama untuk menjadi halwa mata.

Menurut Shahbuddin minggu depan buku ini akan beredar di pasaran. Jangan lah pula ada yang berfikiran sempit menuduh Shahbuddin telah tidak setia dengan partinya apabila menulis buku dengan judul sebeginilah.

Taniah kepada Shahbuddin kerana menghasil sebuah buku politik semasa yang menyuluh mengenai masalah depan Umno dan merungkaikan beberapa masalahnya. Dan bila saya memegang buku ini pula timbul perasaan cemburu dan tercabar kerana saya sudah dua tahun tidak menghasil buku politik! Tidak mengapa buku kawan saya ini akan menjadi pendorong untuk saya melapangkan masa bagi menghasilkan buku untuk meneruskan perjuangan menerus pena. [wm.kl.7:08 pm 22/06/11]
Post a Comment