Nasharudin Anak Yatim Yang Dipujuk Undur
MAAFLAH kerana baru sempat buka blog dan membuat sedikit catatan. Entah sehari dua ini terasa sibuk sedikit. Saya tahu ramai yang sedang menanti di skrin laptop atau komputer untuk menjenguk dan membaca apakah catatan terbaru saya. Isu dinanti-nantikan tentulah mengenai muktamar Pas ke-57 yang akan berlangsung tidak sampai 72 jam lagi.
Macam-macam tersebar berita mengenai muktamar ini. Kedudukan calon-calon yang bertanding baik untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden juga semakin cemas dan gelisah. Yang sedang duduk atas kerusi bimbang takut kerusi mereka dilari orang manakala yang sedang mencuba untuk merampas kerusi, tidak kurang juga resah dan gelisahnya takut hasrat hati tidak kesampaian.
Tampaknya hawa panas berruap untuk kerusi timbalan presiden. Sejak pagi tadi hingga ke malam ini ada-ada saja panggilan ke telefon saya. Ada yang bertanya kenapa tidak up date blog dan ada yang memberanikan diri direct bertanyakan kedudukan mutakhir mengenai peluang calon-calon bertanding.
Sebelum jam 8:00 malam tadi dua orang wartawan dari dua portal berita menghubungi saya bertanyakan keadaan dan status calon. Untuk jawatan timbalan presiden saya menjelaskan, bahawa Mohamad Sabu nampak masih agresif berkempen. Mat Sabu tidak tarik berak dalam usahanya memenang hati perwakilan. Malahan kenderaanya sudah dicabut berak.
Pagi tadi dia bersama kira-kira 18 orang rakyat Kelantan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri untuk mendesak Najib supaya memberi royalti minyak kepada Kelantan. Perarakan kecil itu disertai Pengerusi Royalti Minyak Kelantan, Apandi Mohamad. Manakala Exco yang bertanggungjawab mengenai tuntutan tidak pula kelihatan. Kenapa?
Dua lagi calon Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Man nampaknya seperti biasa mendiamkan diri. Yang paling diam nampak tawakus di dalam soal ini Nasharudin. Manakala Tuan Ibrahim kandati diam tetapi kerja kempennya dilakukan oleh pihak lain. Perhatilah blog dan juga ruang sosial Fb banyak yang cuba memuji dan memberi kredit percuma Tuan Ibrahim.
Nasharudin dalam soal ini seperti anak yatim piatu, tidak ada mana-mana pihak yang bertindak menjadi tukang kempennya. Megenang nasib Nasharudin ini saya teringat kepada semasa kempen pemilihan timbalan presiden dua tahun lepas di mana nasib Nasharudin tidak ubah seperti Abdul Wahud yang mempunyai abang Abdul Wahid dan Abdul Wahad yang menganiayakannya.
Saya menganologikan beliau sebagai Abdul Wahud yang dipersendakan oleh si abang iaitu dua calon lawannya, Mohamad Sabu dan Husam Musa. Kenapa saya mengatakan begitu kerana awalnya beliau mendapat restu dan dijadikan kambing hitam untuk melawan Hassan Shukeri dan selepas itu Harun Taib. Tetapi apabila beliau menang, tempatnya itu hendak dibalas dengan mempersenda-sendakan keupayaan Nasharudin.
Kini Nasharudin menjadi anak yatim piatu pula. Mohamad Sabu khabarnya ada jemaah yang membantu kempen untuk kemenangannya. Ada ahli Parlimen yang terkenal sebagai ahli gerakan Islam menyebut secara terang-terangan yang dia memilih Mohamad Sabu. Sokongan kepada Mat Sabu buka tertutup tetapi sudah terbuka.
Sementara untuk Tuan Ibrahim pula ada kalangan tertentu yang berusaha supaya Nasharudin menarik diri dan memberi peluang kepada Tuan Ibrahim. Tuan Ibrahim juga dikait-kaitkan dengan Tok Guru Nik Aziz kerana beliau adalah anak sudara Nik Aziz. Adik Tok Guru, Nik Aishah telah berkahwin dengan Tuan Man. Ertinya secara tidak langsung Tuan Ibrahim ada dahan dan pokok untuk bernaung.
Ada seorang ustaz tua katanya sampai menangis tersendu-sendu kerana kononnya sayangkan kepada Nasharudin dan meminta agar Nasharudin menarik diri dari bertanding dan memberi peluang kepada Tuan Ibrahim. Ertinya air mata sudah digunakan untuk memperdayakan Nasharudin supaya berundur dan memberi laluan kepada Tuan Ibrahim.
Saya sedikitpun tidak hairan dengan ustaz tua ini kerana beliau sendiri pernah menuduh dan memfitnah saya secara mentah. Jadi kalau beliau sanggup menjadi barua kepada pihak tertentu agar meminta Nasharudin berundur ianya tidak pelik. Inilah pada saya walaupun seseorang itu bergelar ustaz, banyak ilmu agama tetapi kalau hilang pertimbangan maka berlaku sesuatu yang tidak wajar dilakukan.
Khabarnya yang rayuan supaya Nasharudin tarik diri kian kencang dilakukan. Ia terlibat dengan tokoh-tokoh tertentu yang sepatutnya bersikap terbuka dan adil. Hairan kenapa mereka baru hendak berusaha agar Nasharudin tarik diri sekarang, tetapi tidak sebelum ini. Kalau mereka ikhlas dan punya intergriti, tindakan itu seharusnya dilakukan sebelum ini, sebelum Nasharudin menyerahkan borang penerimaan pencalonan. Apakah perkiraan mereka sebelum itu sudah salah?
Peliknya juga kenapa minta Nasharudin seorang yang menarik diri dan kenapa tidak dengan Mat Sabu. Apa mereka fikir Mat Sabu rapuh untuk di buat begitu? Saya percaya kalau pun Nasharudin menarik diri Mat Sabu tetap akan lawan, kerana perlawanan di benarkan dalam parti. Belum tentu lagi kalau Mat Sabu lawan satu sama satu dengan Tuan Ibrahim ustaz forum perdana itu boleh menang? Ingat Mat Sabu adalah ayam tambatan Pas.
Sebenarnya bagi bapa tiri atau mak tiri kepada Tuan Ibrahim tidak perlu merayu dan menggunakan tektik sampai menumpahkan air mata untuk memujuk Nasharudin menarik diri. Lawanlah. Kalau Tuan Ibrahim mempunyai kekuatan dan sokongan, lawan, tidak perlu gentar dan takut kepada sesiapa pun. Pejuang atau panglima yang berani dia tidak akan takut kepada sesiapa yang berdepan dengannya. Mereka juga tidak akan bermain dalam gelap atau menikam musuh dari belakang.
Ikhlas saya kata mulanya juga saya merasakan elok kalau Nasharudin menarik diri. Sudah tiga penggal beliau menjadi timbalan presiden, cukuplah. Elok kalau diserahkan kepada orang lain pula. Mungkin pencapaian Abdul Hadi Awang sebagai presiden lebih cemerlang kalau orang lain yang menjadi pembantunya?
Dan saya rasa beliau bersedia berbuat demikian kalau diaturkan usaha itu secara jujur, sopan dan ikhlas. Misalnya presiden dan musyidul am boleh panggil dan nasihat Nasharudin secara baik. Beliau yang menganggap kedua tokoh itu sebagai tok guru tentu akan mematuhi apa juga nasihat atas keyakinan nasihat itu benar dan berolehi keberkatan. Tetapi bila ada usaha secara gelap dan penuh tektikal rasanya elok kalau beliau tetap dengan keputusannya walaupun terpaksa hadapi kalah. Kata orang alang-alang berdakwat biar hitam, selup pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
Saya sangat berharap semoga rayuan dan pujukan supaya Nasharudin menarik diri dihentikan. Hadapilah perlawanan itu dengan gentleman. Dalam mendapat jawatan ini jangan cuba mencari jalan mudah kerana sifat jawatan itu sendiri tidak ada yang disedekah kepada mereka. Tenguk Anwar Ibrahim walaupun berasap dengan fitnah, serangan berapi dari Najib dan UBN, namun beliau tetap juga lawan tanpa mengenal kalah.
Jadi kalau Tuan Ibrahim atau sesiapa saja mahu menang percuma dengan mudah elok mereka yang berundur dan jangan teruskan perlawanan kerana pemimpin yang kecut perut di hujung gelanggang tidak layak untuk jadi pemimpin. Begitu juga pemimpin yang hanya menumpang keramat dan tuah orang lain bukan pemimpin yang sejati. Saya tetap yakin bahawa Nasharudin atau Mat Sabu tidak akan memberi laluan percuma kepada Tuan Ibrahim dan mereka akan lawan ke titisan darah terakhir. Jadi selamat berlawan! [wm.kl.10:33 pm 31/05/11]
No comments:
Post a Comment