Wednesday, May 4, 2011

Analisa Berita

Timbalan Presiden Pas

Nasharudin Umum Pertahan, Tuan Ibrahim Sedang Berfikir?

SELEPAS memerhati perkembangan perjalanan hampir lebih 150 kawasan Pas di seluruh negara yang telah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing, akhirnya Nasharudin Mat Isa membuat pengumuman akan mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya selama dua penggal sejak 2004 itu.

Laporan Bernama hari ini yang memetik laporan satu sumber parti itu menyebut Nasharudin akan mempertahankan jawatannya.

Kesediaan ahli Parlimen Bachok mempertahankan jawatan, laporan itu dipetik memandangkan pencalonan yang menggalakkan diterimanya. Menurutnya keputusan bertanding itu juga bagi meneruskan semangat bersama Presiden untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum yang diramal diadakan tahun depan.

Nasharudin tidak mengemukakan apa-apa agenda khsus atau istimewa melainkan akan cuba memperkuatkan Pas bersama presiden Abdul Hadi Awang.

Dengan pengumuman itu setakat ini dua calon sudah hampir pasti akan merebut jawatan timbalan presiden. Selain Nasharudin, bekas calon Timbalan Presiden dua tahun lepas Mohamad Sabu mengumumkan kesediaan merebut jawatan berkenaan. Mohamad Sabu membuat keputusan itu lebih awal, bagaimana pun tetap akan melihat kepada jumlah pencalonan.

Kata Mohamad Sabu dia akan membuat pengesahan selepas menerima pencalonan. Kedudukan hari ini Mohamad Sabu diberitakan mendapat pencalonan tertinggi, namun angka yang dipaparkan menimbulkan keraguan. Apa yang jelasnya tidak ada angka rasmi dikeluarkan oleh mana-mana sumber dalam Pas kerana pencalonan adalah sulit. Ertinya jumlah pencalonan yang diperolehi mana-mana calon belum sah, cuma agak-agakkan.

Selain dari Nasharudin dan Mohamad Sabu ada beberapa tokoh Pas lain dicalonkan untuk merebut jawatan berkenaan. Mereka ialah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya Pas Kedah, Azizah Abdul Razak. Nama Sallahuddin Ayub juga turut sama dicalonkan.

Begitu juga dengan Husam Musa yang kalah dalam perebutan tiga penjuru dua tahun lepas turut sama dicalon untuk sekali lagi merebut jawatan berkenaan.

Bagaimana pun setakat ini Husam tidak menunjukkan minat untuk mencuba nasib sekali lagi dan dikatakan lebih menumpukan kepada ahli jawatankuasa agung sahaja. Sokongan untuk Husam dikatan meluas kerana beliau diharap akan dilantik untuk mengetahui satu jabatan penting dalam Pas yang sesuai dengan kepakaran dan kebolehannya.

Walaupun ada desakan supaya beliau ikut sama bertanding tetapi masanya sudah terlewat kerana sudah banyak kawasan menyelesaikan mesyuarat mereka.

Walaupun Husam sudah cukup kouta untuk bertanding (dua kawasan) tetapi angka itu tidak begitu kondusif buat seseorang yang ingin merebut jawatan nombor dua parti. Timbul juga tanggapan apabila Husam enggan bertanding ini bermakna beliau menerima kemenangan Nasharudin sebagai timbalan presiden dua tahun lepas dan beliau menerima Nasharudin dapat melaksanakan tungas dan tanggungawab sebagai timbalan dengan baik.

Sekiranya Husam tidak berpuas hati sudah tentu beliau akan mendaftar diri untuk merebut jawatan itu sekali lagi. Adapun kenapa Kubang Kerian mencalonkan Mohamad Sabu ialah untuk memberi kepuasan kepada bekas Naib Presiden itu yang mencang awal-awal lagi akan merebut jawatan berkenaan atas alasan hendak membantu presiden.

Pada saya tidak nampak kerjasama rasional di antara Husam dengan Mohamad Sabu. Saya tidak fikir Husam lebih senang menerima Mohamad Sabu dari Nasharudin. Kedua mereka itu dalam pemerhatian saya ada masalah atau sesuatu yang kurang disenangi Husam. Tetapi jika dibalik kepada sejarah asal sewaktu Nasharudin dicagarkan bertanding timbalan peresiden bersama Allahyarham Hassan Shukeri, Husam adalah orang yang bersama Nasharudin.

Apabila Husam tidak ikut sama bertanding perhatian kini kepada Tuan Ibrahim. Seperti dikatakan Mohamad Sabu hanyalah calon untuk 'berseloka' sahaja dan bukan serius. Lainlah kalau Mohamad Sabu digunakan untuk menyapu Nasharudin yang dilihat mempunyai berapa kelemahan dari sudut pandangann mereka. Tetapi apakah keistimewaan Mohamad Sabu?

Persoalannya apakah Tuan Ibrahim akan ikut sama merebut jawatan itu. Sebelum ini beliau sudah menegaskan tidak akan melangkah ke jawatan itu. Ramai berpegang kepada kenyataan awal Tuan Ibrahim itu dilihat beliau akan akur kepada kenyataan itu. Tetapi sesuatu yang harus disedari dunia politik itu berkembang dan boleh berubah mengikut masa.

Keputusan semalam tidak pasti tetap hari ini. Begitu juga keputusan hari ini belum tentu akan tetap sampai ke besok.

Tuan Ibarhim boleh melupai kenyataan asalnya itu dengan memberi alasan biasa dalam politik. Ertinya tidak semestinya Tuan Ibrahim sudah muktamad dengan keputusannya itu. Saya yakin kalau ada desakan dan perkembangan-perkembangan terkini atau pun untuk dijadikan penawar mengelakkan pertembungan, Tuan Ibrahim boleh mengikut sebarang formula untuk itu kandati membabitkan dirinya.

Khabarnya banyak juga kawasan yang mencalonkan Tuan Ibrahim. Paling ketara ialah di Kelantan. Sebaik saja Muryidul Am Pas memberi signal menolak Mohamad Sabu, beberapa kawasan yang dikatakn bersedia untuk mengikut jejak langkah Kubang Kerian sudah berubah hati memberi pencalonan kepada Tuan Ibrahim. Dipercayai sekurang-kurang empat kawasan mencalonankan Tuan Ibrahim, tiga untuk Mohamad Sabu dan selebih untuk Nasharudin Mat Isa.

Selain Kelantan beberapa kawasan di Pahang, Perak, Johor dan Kedah juga turut mencalonkan Tuan Ibrahim. Perkembangan inilah mungkin merubahkan keadaan menyebabkan Tuan Ibrahim akan meralatkan kenyataan sebelum ini. Selain itu kemungkinan Tuan Ibrahim juga akan dilonjakkan untuk merebut jawatan itu sekiranya Mohamad Sabu dilihat mendahului Nasharudin.

Dari segi penguasaan mengikut negeri pula Nasharudin dikatakan mendapat pencalonan besar di dua buah negeriu, Selangor dan Terengganu. Beliau juga memperolehi pencalonan dari Kedah, Perlis, Johor dan Negeri Sembilan. Pencalonan Mohamad Sabu juga menyeluruh tetapi tidak ada dominasi di mana-mana negeri.

Kesimpulannya pertandingan merebut jawatan timbalan presiden ini yang hari ini kelihatan akan menemukan dua tokoh sahaja Nasharudin dan Mohamad Sabu tetapi ia boleh berubah menjadi tiga dengan kemasukan Tuan Ibrahim. Bagaimana sehingga kini belum ada kata putus dari Tuan Ibrhaim mengenai kedudukan ini.

Namun saya yakin kalau pencalonan diterima Tuan Ibrahim nanti mencecah 30 kawasan beliau mungkin akan membuat ralat kepada keputusannya sebelum ini kerana pencalonan itu adalah suara dari kawasan dan kehendak akar umbi. [wm.kl.3:40 pm 05/05/11]

No comments: