Penggal Terakhir Abdul Hadi Sebagai Presiden
HARI ini jawatankuasa pemilih Pas telah mengumumkan nama-nama mereka yang layak untuk bertanding untuk semua jawatan dari presiden kepada pengerusi tetap dalam muktamar Pas ke 57 bulan depan. Abdul Hadi Awang telah diumumkan sebagai 'pemenang' untuk memegang jawatan presiden selama sepenggal lagi apabila tidak ada pencalonan untuk orang lain bagi merebut jawatan berkenaan.
Tentulah Husam Musa yang dicalonkan oleh Pas kawasan Bukit Bintang hanya mendapat satu pencalonan saja kerana beliau tidak dinyatakan sebagai layak untuk merebut jawatan itu. Apakah sekiranya Husam tidak menarik break, beliau akan mendapat pencalonan lebih dan melayakkan untuk beliau mencuba jawatan nombor satu itu.
Kalau tokoh seperti Husam menarik diri awal-awal maka tidak adalah mereka yang berani berbuat demikian. Ada rasionalnya Pas Bukit Bintang mencalonkan Husam. Selain daripada Husam tidak ada tokoh yang layak dan boleh dicuba untuk menduduki jawatan berkenaan.
Walaupun Pas masih ada beberapa nama lain, jauh lebih senior dari Husam, seperti Azizan Razak, Mustapa Ali atau Harun Taib tetapi mereka ini tidak pun terliur oleh mana-mana Pas kawasan untuk mencalonkannya bagi merebut jawatan itu. Malahan mereka terutamanya Mustapa Ali menjadikan ketiak Abdul Hadi sebagai hayat politiknya.
Justeru saya kira kalau Husam tidak tarik break mungkin pencalonan untuk beliau lebih dari dua. Saya kira berpandukan kepada pengaruh beliau sewaktu bertanding merebut jawatan nombor dua, dua tahun lepas, mungkin pencalonan untuknya merebut jawatan presiden tidak kurang 30.
Kalau beliau mendapat 30 pencalonan sudah memadai untuk beliau mengambil jalan kiri dan diluar tabii orang Pas untuk melawan Abdul Hadi Awang. Sebenarnya populariti Abdul Hadi kini sudah tidak seperti dulu lagi. Jauh merosot berbanding dengan zaman kehebatannya di tahun 80-an dulu. Barang kali orang Pas yang terulik dengan kepimpinan ulamak terlupa bahawa presiden Pas sebelum ini pernah ditentang dan dilawan.
Ada beberapa faktor mengapa kemerosotan ini berlaku. Bukan kerana tua, kerana Nik Aziz jauh lebih tua namun popularitinya masih belum berkurangan. Dalam hal ini apa yang saya nampak ialah kerana keserlahan beliau sebagai presiden tidak begitu menonjol. Abdul Hadi gagal menjadi seorang presiden yang dekat dengan rakyat dan disenangi oleh umum. Beliau lebih berjaya menjadi pembantu kepada presiden di zaman Almarhum Fadzil Noor dulu. Pembaharuan yang cuba dibawa juga gagal iaitu untuk mewujudkan kerajaan perpaduan. Kegagalan ini menunjukkan kelemahan dirinya sebagai pemimpin nombor satu.
Perwatakannya dan body language menyumbang ke arah itu. Bagaimana pun sifatnya, berperwatakan seorang ulamak yang zuhud dan tidak menghiraukan soal-soal pentadbiran, soal gaya serta kemampuan mengeluarkan idea dan wawasan bernas menjadikan beliau hanya dihormati sebagai presiden tetapi bukan menjadi idola penggerak parti dan perjuangan.
Abdul Hadi bukan tidak berjalan dan mengembara ke luar Malaysia. Beliau kerap menghadiri persidangan, forum dan seminar di luar negara, tetapi sayangnya tidak ada apa yang beliau bawa balik dari seminar berkenaan untuk dipraktik ataupun diapplykan ke dalam Pas. Bila ini berlaku maka jadilah pemergian beliau ke luar negeri, yang dalam hitungan saya lebih lima kali sekadar makan angin saja.
Bagaimana pun syabas kepada Abdul Hadi kerana tidak ditentang. Bagaimana pun jangan beliau merasa kedudukannya sebagai presiden cemerlang, atau beliau merasakan apa yang dibuat dengan jawatan itu sudah memadai. Sebenarnya jauh lagi. Kenapa beliau tidak ditentang bukan sangat kerana orang lain tidak berkemampuan, namun rasa hormat tinggi kepada institusi ulamak itu menjadi penghalangnya.
Dalam erti kata lain Abdul Hadi diselamatkan oleh institusi ulamak. Kalau beliau tidak berdiri atas jambatan itu mungkin sudah lama beliau terjatuh. Bercakap soal institusi ulamak ini apakah Pas sudah membuat perkiraan yang tepat mengenainya. Dalam menghadapi pilihan raya, apakah institusi ulamak dan dengan corak pemimpin seperti ulamak zaman dahulu, - ulamak menghafal kitab dan bukan mengkaji kitab serta disesuaikan dengan keadaan kontemporari untuk memberi kemenangan kepada Pas?
Perkara ini elok dikaji dan diteliti. Tidak ada guna bagi Pas yang bercita-cita untuk dapatkan kuasa kalau pemimpinnya boleh digelar ulamak tetapi keilmuan ulamak itu tidak dapat membawa kemajuan kepada parti. Ada juga benarnya golongan pro-lib untuk membebaskan Pas dari kongkongan minda ulamak menghafal ini, untuk melihat berlaku anjakan paradigma dalam Pas. Cuma sayang sedikit cara golongan ini begitu excite hingga menjadi lebih lajak dari laju.
Sekali lagi saya ulang bila sebut ulamak pada saya bukan soal berpakaian tetapi yang penting, fikrah, pemikiran dan pembawaan. Sudah tentulah mereka penuh dengan ilmu agama dan segala tindak tanduk menepati syariat dan menjauhi Machiavellisme.
Kemenangan Abdul Hadi ini adalah penggal ke empat, sudah kira-kira sembilan tahun beliau menjadi presiden Pas. Satu segi tempoh itu masih muda buatnya tetapi dari segi lain ia sudah terlalu lama. Abdul Hadi boleh menjadi presiden Pas kalau Pas tidak mahu menguakkan diri ke depan, menjadi pemimpin kepada Pakatan Rakyat. Tetapi kalau Pas ingin menjadi peneraju perubahan politik, Abdul Hadi dikira tidak mampu. Tempoh sembilan tahun menjadi presiden beliau seharusnya sudah meninggalkan legasi-legasi yang indah dan menarik untuk dikenangkan.
Apakah legasi beliau? Saya sangat berharap dalam muktamar depan perwakilan akan membahas hal ini. Rekod perkhidmatan beliau harus dibuka seluas-luasnya dan berikan pandangan, kritikan dan nasihat yang adil dan jujur. Mudah-mudahan presiden itu akan membuat pembaharuan mindanya. Pas bukan milik sesiapa, tetapi milik mereka yang mencintai Islam. Mengekalkan pemimpin Islam, tetapi kalau tidak dapat membawa perubahan yang tidak ada apa-apa maknanya.
Penggal ini saya kira penggal terakhir buatnya. Abdul Hadi masih ada peluang untuk menebus kelemahan yang dihadapi selama ini. Disaat Anwar Ibrahim kini diambang pintu penjara, elok kalau Abdul Hadi membuka sila untuk bangkit mengambil tempat Anwar. Dengan ilmu yang ada saya yakin beliau boleh membuatnya dengan syarat perlu ada blood transfer ke dalam dirinya. Maksudnya pemimpin muda harus mendokongnya. Besar harapan dan menggunung doa agar peluang terakhir ini dipergunakan oleh Abdul Hadi Awang. [wm.kl.11:00 pm 17/05/11]
No comments:
Post a Comment