Membaiki Akal
SESEKALI bagus juga kalau kita melabuhkan pemandangan ke tenagh lautan yang luas membiru yang beralun dan berombak. Sambil melihat kebesaran Allah kita mencari apakah rahsia di sebalik semua kejadian itu. Kita berhenti sekejap memikirkan soal daratan yang penuh dengan pelbagai aksi manusia yang tidak ada kesudahan. Kita memerhati lautan luas, untuk kita cari rahsianya dan padankan kepada perlarian kita hari ini.
Tinggalkan permainan yang jahat serta meletihkan - politik.
Kita cari sebuah laut untuk kita duduk beristirehat dan melalukan trapi minda. Memperbetulkan minda kita yang sudah banyak rosak dan telah renyuk hari ini. Saraf fikir kita sudah busuk dan ada yang mereput kerana kita banyak sangat fikir soal kuasa, soal kedudukan, soal pemonopolian alias politik. Kita banyak berpolitiking.
Siang malam kita membazirkan akal kita yang berharga itu dengan memikir sesuatu yang buruk. Kerja kita malam dan siang berkira-kira untuk melakukan kejahatan kepada seseorang yang kita anggap seteru walhal hakikatnya mereka adalah sahabat dan saudara kita. Kita duduk berjam-jam merancang hendak menjatuhkan lawan kita yang juga kawan kita bukan secara jantan dalam gelanggang tetapi secara sadis di luar gelanggang dan diluar tatabudaya kita.
Sebenarnya kita telah melanggar banyak pantang guru yang sama-sama kita angkat sebagai
maha guru yang mengajar kita bagaimana kaedah berlawan, menjaga diri, atau pun bagaimana menyerang musuh. Bukankah maha guru berpesan jangan menyerang musuh tanpa senjata dan kalau hendak berdepan biarlah mendada.
Sebenarnya tiap dari kita sudah melakukan kejahatan baik dalam sedar maupun di bawah sedar. Kita sudah lama terhasut oleh hantu dan syaitan yang kita anggap ianya malaikat. Kadang-kadang apa yang kita lakukan tidak terlawan oleh syaitan dan hantu yang ada disiplin dalam kerja-kerja mungkar dan jahat mereka. Syaitan pun menggeleng kepada dengan kejahatan yang kita lakukan. Inilah kita sebagai manusia yang terlebih bijak dari makluk lain kemudian terbawa kepada bodoh.
Kita sering pakai kasut longgar, dan banyak makan ajinomoto? Kenapa?
Alangkah baiknya kalau masa yang kita ambil itu kita gunakan berfikir untuk mencari kebaikan. Untuk menjadi baik. Untuk berpakat dan bersatu padu sesama kita. Merangka macam mana hendak mengukuhkan kedudukan kita. Menjaga dan mengawal kepentingan kita.
Lemparlah kebencian sesama sendiri, dan terima lah bidalah atau pun kesimpulan bahasa, sebusuk-busuk daging kalau dibasuh dan dicecah boleh dimakan juga. Atau kesimpulan kata-kata yang boleh dijadikan rukun dan kepercayaan di dalam kehidupan berbunyi, air walupun dicincang tidak akan putus, dan bulat air kerana pembentung. Berhentilah kita semua menjadi gunting dalam lipatan atau musang berbulu ayam. Sifat dan perangai Patih Karma Wijaya, si Kitol, Mandaliar atau Pak Kadok, Lebai Malang serta Pak Pandir hendaklah kita buang dari cerana kehidupan kita.
Kita ditinggalan seribu bidalan dan kata-kata falsafah untuk dihayati dan diikuti. Tinggal buku Machiavelli ataupun buku Sun Tzu , The Art of the War. Buku dan fahaman itulah menjadikan celaka dan merana kini. Tinggalkan! Selama ini kita dipersembahan dengan kitab-kitab munafik berkenaan. Kita lupa kepada falsafah bangsa, itulah kesilapan kita paling besar.
Dalam catata ini saya mahu mengajak kita semua merenung ke dalam laut dan melihat apa yang ada di bawahnya. Melihat segala kehidupan didasar lautan membiru yang indah damai dan mempesonakan. Lihat segala macam karangan di bawahnya. Kehidupan di bawah laut adalah kawah sebuah akauarium yang indah mempersona. Kita mengininkan kepada kehidupan demikian.
Betapa di permukaan lautan beriak bergelombang kerana ada angin darat yang ganas dan hitam, namun keindahan di dasarnya tidak terubah dan terusik. Kalau ada sedikit pergerakan ia mengindahkan keadaan, dan di situlah akan memperlihatkan gelombang keseniaan maha cantik yang memasung sebuah perasaan.
Kira sebenarnya masih bersatu dan merindu kepada sebuah kehidupan laksana dasar laut itu. Nah kalau begitu mulalah kita bergerak menuruni ke dasar laut. Kita tinggalkan permukaan daratan yang berkerutu, kejam, sadis dan makin membusuk ini. Kita gelajah kepada dasar kehidupan sebenar. Kita kembali ke dalam diri kita sendiri tanpa menhiraukan bisikan dan panorama luar diri yang sebenarnya menipu kita secara hidup-hidup.
Dan kalau pun kita tidak mahu mengingati pada kematiannya, tetapi carilah apa erti dan makna kehidupan ini! [wm.kl.9:30 am 14/05/11]
No comments:
Post a Comment