Warkah Biru Yang Membangga Dan Mengharukan Jiwa
HARI ini sempena genapnya usia Umno 65 tahun (parti pembela nusa dan bangsa) saya menerima sepucuk surat melalui email dari seorang penjenguk blog saya yang saya kira cukup prihatin terhadap isu-isu semasa. Tatkala membaca warkah itu yang kemas tersusun dan tidak ada pula kesalahan ejaan (seperti saya) ia membanggakan saya. Dalam pada itu jauh di sudut hati timbul rasa sebak dan terharu.
Bangga kerana dia seorang cacat penglihatan tetapi mempunyai cita-cita dan keazaman yang tinggi. Paling merujakan saya ialah kerana beliau juga memerhati akan pergolakan politik negara ini dan nasib masa depan bangsanya, Melayu hampir setiap hari.
Kalau hendak dikira orang seperti beliau yang sering disifatkan daif tidak patut memikirkan soal nasib bangsa, tetapi apa yang penting beliau melihat akan nasib dirinya dulu.
Dengan keadaanya, dia harus memikirkan soal survivalnya dulu. Namun bukan begitu, seorang warga bertanggungjawab tidak kira siapa dia, ia perlu mempedulikan negara. Kecacatan tidak menghalang dia untuk sama-sama mengetahui dan menangani masalah bangsanya. Inilah hamba yang kita mahukan tidak menjadikan kecacatan dan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak mengibarkan panji-panji bangsa. Syabas.
Sikap beliau inilah saya kagumi!
Selain itu saya rasa sebak dan terharu atas masalah yang dihadapinya. Beliau kini dalam rangka menyiapkan tesis Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang politik di Universiti Malaya. Menurutnya masalah yang membelenggu beliau kini ialah mengenai perbelanjaan untuk menyiapkan tesis berkenaan.
Perbelanjaan itu ditanggung oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Tetapi disebabkan tempoh pembiayaan itu tamat Disember tahun lalu menyebabkan beliau menghadapi masalah kewangan bagi menyiapkan tesis pengajian itu.
“Dalam menjalankan kajian saya, saya telah dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Walau bagaimanapun, ia masih belum mencukupi lebih-lebih lagi apabila jangka waktu pembiayaan tersebut tamat pada disember tahun lepas.” Begitulah tulis beliau.
Ceritanya juga wang simpanan beliau selama ini sudah habis digunakan untuk tujuan itu. Manakala ketika ini beliau bekerja sebagai pensyarah sementara di sebuah universiti tempatan.
Melihat masalah ini saya merasa bersalah dan serba salah pula apabila beliau menjelaskan; “Saya memilih blog tuan sebagai saluran luahan perasaan saya atas dua sebab. Pertama, hubungan tuan dengan orang kurang upaya seperti saya. Kedua, keprihatinan tuan tentang orang Melayu selaras dengan kajian saya terhadap golongan ini.”
Apabila beliau menulis begitu saya merasakan tercabar dengan masalahnya. Kebetulan pula kajian beliau mengenai masalah perpecahan Melayu. Dalam kajian itu beliau akan cuma mengemukakan permasalahan dan juga cara-cara mengatasinya.
Besar harapannya tesis Phd beliau itu akan dijadikan panduan atau jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut orang Melayu dewasa ini yang bercakaran sesama sendiri. Sekali lagi nawaitu ini dilihat betapa besarnya jiwa insan ini untuk menjaga bangsanya.
Disebabkan beliau menghadapi masalah pembiayaan menyiapkan kajian itu beliau meminta agar ada pihak yang dapat membantunya. Sudah tentu tanpa bantuan usaha beliau akan terjejas. Dan saya yakin sekali beliau tidak akan melontarkan luahan ini kalau kesemua keperluannya mencukupi. Beliau seorang yang berkeyakinan dan mempunyai keazaman yang tinggi.
Bersama suratnya yang berwarna biru itu ada dilampirkan perincian perbelanjaan untuk menyiapkan tesis berkenaan di mana belanja keseluruhannya mencecah RM50,000. Kos ini termasuk perbelanjaan menemubual sumber, kajian di arkib dan perpustakaan serta juga kos-kos lain.
Walaupun beliau mengharap agar saya boleh perpanjangkan surat - masalah beliau ini. Saya rasa bersalah untuk menukilkan dan menyiarkan semua sekali isi kandungan warkah sayunya itu. Sebenarnya saya tidak mahu blog saya ini dianggap sebagai blog menagih simpati untuk sesiapa hatta kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
Terus terang saya katakan, saya merasa malu dan bersalah kerana sebelum ini ada kalangan penjenguk blog saya yang bersimpati dengan sesuatu kisah atau balada manusia yang saya paparkan telah mendapat simpati penjenguk dengan menghulurkan bantuan. Sesungguhnya saya berterima kasih atas apa yang dilakukan dan menganggap satu kebajikan yang tidak akan terbalas baik oleh saya maupun di pihak yang menerima huluran bantuan dan derma ikhlas itu.
Berhubung dengan saudara kita ini saya serahkan kepada penjenguk sekalian untuk membantunya. Sama-sama kita bantu kalaulah pun bukan dalam bentuk wang ringgit, tetapi cukuplah dengan memberi semangat dan doa kepadanya agar beliau akhirnya berjaya menyiapkan tesis Phd itu. Saya tetap yakin sesuatu nawaitu dan amalan yang baik akan dibantu Allah. Terima kasih. (dk.kl.7.09 pm 11/05/11)
No comments:
Post a Comment