Friday, May 20, 2011

Ulasan Perebutan Jawatan Naib Presiden

Jawatan Naib Presiden Pas Juga Jadi Tumpuan

SELAIN daripada jawatan Timbalan Presiden, kerusi Naib Presiden juga menjadi tumpuan. Sembilan orang yang dicalonkan dan layak untuk bertanding. Mereka ialah ketiga-tiga penyandang sekarang, Tuan Ibrahim Tuan Man, Sallahuddin Ayub dan Mahfuz Omar. Yang lain turut dicalonkan Mohd Amar Nik Abdullah, Mujahid Yusuf, kedua mereka merupakan calon yang tewas pada tahun 2009 lalu.

Mereka yang lain ada muka baru, Mazlan Aliman, Dr Mohd Hatta Ramli, Nik Zawawi Nik Salleh dan Nizar Jamaluddin.

Sudah pasti ketiga penyandang akan mempertahankan jawatannya. Kecuali Tuan Ibrahim yang dikira masih berfikir dan membuat perhitungan terakhir sama ada akan melompat ke jawatan nombor dua atau tidak. Sementara Sallahuddin yang juga turut dicalonkan untuk merebut jawatan timbalan presiden rasanya akan kekal mempertahankan jawatan begitu juga dengan Mahfuz Omar.

Perkiraan muda dibuat kalau ketiga Naib Presiden lama itu kekal mempertahankan jawatan, kemungkinan mereka akan dapat mengekalkan kedudukan. Berdasarkan kepada pencalonan, mereka adalah ketiga yang berada di paling atas. Sallahddin mendapat 119 pencalonan, Tuan Ibrahim 90 dan Mahfuz 80. Pencalonan Tuan Ibrahim mungkin rendah apabila ada kawasan yang mencalonkan beliau untuk merebut jawatan timbalan presiden.

Mungkin muka baru akan masuk untuk mengisi salah satu dari tiga kerusi naib presiden ini sekiranya, Tuan Ibrahim jadi bertanding kerusi timbalan. Yang menarik di sini siapakah di antara lima nama yang dicalonkan itu akan masuk? Kalau dilihat kepada jumlah pencalonan mereka mempunyai peluang sama rata kerana masing-masing mendapat kurang 20.

Katanya Mujahid sudah pun awal-awal surrender tidak mahu bertanding. Ini bermakna ada lima nama yang mungkin menerusikan cabaran. Besar kemungkinan akan mencuba ialah Idris Ahmad, Nizar Jamaluddin, Dr Hatta Ramli dan Mohd Amar Nik Abdullah. Mazlan Aliman dan Nik Zawawi rasanya tidak akan ikut bertanding sebab tidak ada keperluan untuk mereka berbuat demikian.

Bagi Mazlan cukup kalau dia bertanding jawatan ahli jawatankuasa saja. Beliau masih muda, sementara Nik Zawawi pula agak asing dalam perebutan jawatan ini. Kalau benar Tuan Ibrahim akan meninggalkan kerusi Naib Presiden ini bererti perebutan di antara Dr Mohd Hatta Ramli, Mohd Amar dan Idris Ahmad. Kedudukan Sallahuddin dan Mahfuz bolehlah dikira selamat.

Walaupun ada kemungkinan Mahfuz akan diberi tentangan sengit, namun ahli Parlimen Pokok Sena ini dikira masih relevan. Kejayaan beliau dalam kempen saman ekor (Kase) meletakkan beliau popular. Kejayaan kempen itu masih di hati bukan saja ahli Pas tetapi rakyat. Walaupun ada kalanya kenyataan-kenyataan Mahfuz boleh dipertikai dari segi inteleknya tetapi orang Pas suka dengan gaya beliau berpolitik dan cara beliau bekerja menggerakkan aktiviti parti. Mahfuz seorang yang serius dalam kerjanya.

Justeru tumpuan kini kepada Idris, Hatta Ramli dan Mohd Amar. Kalau ikut kepada amalan Pas salah satu mereka mungkin akan dipilih sebagai mewakili kouta ulamak. Tetapi kalau format ini sudah tidak diterima pakai lagi ini bermakna tidak akan ada ulamak dalam barisan Naib Presiden. Sallahuddin dan Mahfduz bukan ulamak!

Dalam pada itu ada juga ada angin menghembuskan kononnya untuk mengukuhkan institusi ulamak dalam Pas Naib Presiden akan dianggotai oleh dua tokoh agama. Ini bermakna salah seorang sama ada Mohd Amar atau Idris Ahmad berpeluang untuk menduduki jawatan itu atau kedua-duanya sekali. Jika arus ulamak terus melanda Pas kedudukan Mahfuz sedikit merbahaya. Ada kemungkinan kalau Mahfuz tercabar tempat itu akan diisi oleh Dr Mohd Hatta Ramli.

Walaupun Nizar Jamaluddin popular tetapi kegagalannya untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan di Perak mungkin dijadikan ukuran sejauh mana kemampuan beliau, dan dalam hal ini mengenai kebijaksanaan beliau dalam memamastikan bahteran kerajaan Pakatan itu selamat! Apabila kerajaan Pakatan berjaya dilanuni UBN sedikit sebanyak ia sebab musababnya kerana kelemahan dan ketidakcerdikan Nizar.

Tetapi dalam suasana Pas yang sudah berkembang dan banyak dianggotai ahli profesional dan golongan muda saya tidak kira individu ulamak akan memboloti keseluruhan jawatan tertinggi dalam Pas. Tetapi kalau tertakdir demikian ini bermakna hanya Sallahuddin saja yang akan menjadi wakil tokoh yang tidak bertitle ulamak. Sebaliknya kalau arus liberalisme dalam Pas sudah meluas tidak mustahil kekosongan ditinggalkan Tuan Ibrahim itu akan dipenuhi oleh Mohd Hatta Ramli. [wm.kl. 7:00 pm 20/05/11]

Post a Comment