Monday, May 9, 2011

Orang Umno Masuk Pas

Ya Marhaban Ya Salam Sheikh Sobree Shafii

HARI ini satu sejarah kecil berlaku di pejabat MB Kelantan bila mana sdr Sobree Shafii penglima hitam Umno tahun-tahun 80-an telah menyerahkan borang untuk menyertai Pas kepada Murysidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Peristiwa kecil yang besar maknanya itu berlaku jam 10:30 pagi ini. Ikut mengiringi Sobree menyerahkan borang penyertaan beliau dalam Pas, ialah senator Rosli Ibrahim dan beberapa orang kanan Sobree dari Ketereh. Ekoran kemasukan Sobree ke dalam Pas itu seorang orang kanan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Annuar Musa dan bersama pengikutnya juga akan mengambil keputusan yang sama.

Dengan berlangsung peristiwa itu pada pagi ini maka tamatlah teka teki mengenai kedudukan Sobree yang sebelum ini kabur sama ada hendak bersama PKR atau Pas. Sobree meninggalkan Umno akhir tahun lepas selepas kecewa dengan sistem diamalkan parti berkenaan dan juga tindak tanduk pemimpin parti berkenaan.

Katanya semasa mengumumkan keluar dari Umno, beliau rela kecewa di luar Umno dari kecewa di dalam Umno.

Mulanya Sobree dikatakan berjinak-jinak dengan PKR. Tetapi sikap dingin yang ditunjukkan oleh pemimpin PKR menyebabkan beliau tawar hati dan akhirnya memilih Pas yang dilihat 'mudah basa' sebagai wadah baru jihadnya. Bagaimana pun pemilihan Pas bukan kerana lari selepas PKR yang tidak sudi menerimanya, tetapi setelah beliau merenung dan mengamati sejauh mungkin mengenai makrifat di dalam Pas.

Seperti mana katanya pada majlis ceramah beberapa hari lalu yang mendapat sambutan lebih 5,000 di Kadok, penyertaan beliau dalam Pas adalah jodoh atau sesuatu yang telah ditetapkan Tuhan. "Kalau Tuhan mahukan saya menyertai Pas, tidak ada usaha lain yang saya boleh lakukan melainkan akur saja sebab saya makhluk kerdil di mana sepanjang masa dalam kawalan takdir Allah," ujarnya tenang.

"Saya cuba merisik PKR tetapi akhirnya saya meminang dan berkahwin dengan Pas,"" kata berkonotasi mengenai nasibnya.

Mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Tokl Guru Nik Abdul Aziz hari ini, Sobree melahirkan rasa gembria yang amat sangat. "Saya tidak ada bahasa untuk melukiskan perasaan gembira saya kecuali hanya bersyukur kepada Allah dan terima kasih banyak kepada Tok Guru dan seluruh kepimpinan Pas Kelantan," ujarnya.

Beliau juga menyifatkan kemurahan hati Tok Guru untuk menerima borang kemasukannya menggambarkan sikap tawaduk, rendah diri dan jiwa besar Menteri Besar Kelantan itu sebagai seorang mursyid. "Beliau senang saja menerima kemasukan saya bila saya menyatakan hasrat, tanpa ada dolak dalih dan membayangkan berbagai kemungkinan dan implikasinya," ceritanya.

Sebelum ini beliau sudah berjumpa dengan Nik Aziz dan setiap kali berjumpa MB itu selalu bertanya beliau bila nak serah borang dan berceramah bila mana beliau mula memberi gambaran berminat dengan Pas.

Malam esok Sobree akan muncul di pentas ceramah di Ketereh buat pertama sekali sebagai bakal ahli Pas bersama Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan Husam Musa. Katanya dalam ceramah itu dia akan mendedahkan kepincangan kepimpinan Umno Ketereh khasnya mengenai Alwi Che Amat. [ttdi.kl.1:00 t/hari 09/05/11]
Post a Comment