Sunday, May 1, 2011

Catatan Peribadi

Bila Anak Dipinang Diri Rasa Semakin Tua

TANPA disedari rupa-rupanya diri semakin tua. Ketuaan ini tidak pun terasa dan disedari jika tidak melihat keadaan di luar diri. Selagi kita hanya memandang ke dalam diri tanpa melihat cermin selagi itulah kita merasakan diri tetap masih muda belia. Terasa dunia kanak-kanak yang jauh ditinggal di belakang masih mengamit rasa.

Sebab itu segala kehendak dan naluri muda masih ada, masih tumbuh dan mengimbau rasa. Terasa nak berhibur, nak mengorat masih membubui di jiwa. Sesekali bila terdengar kawan seronok bercerita perihal berchating dengan rakan Fb, terasa juga untuk menirunya.

Sebenarnya nafsu tidak pernah mengaku kalah. Nasfu senantiasa mengajak kita agar kembali kepada kemahuan yang tidak akan dapat dilaksanakan oleh fizikal. Jasmani selalu bergaduh dengan rohani, rohani meminta yang bukan-bukan tak terlaksana oleh jasmani. Saat inilah berlaku pemberontakan dalam diri.

Semalam satu lagi cermin telah berterpantul ke dalam diri saya; semalam anak perempuan saya telah dipinang oleh rakan sekolahnya semasa di Maktab Rendah Sais Mara Dungun, Terengganu. Peminangan itu menandakan lorong-lorong ketuaan makin terbuka. Ia menginsafkan bahawa kamu duhai Mohd Sayuti sudah tua! Peminangan itu juga menanda anak yang kita besarkan dengan kasih saya akan mula membina jalan untuk meninggalkan kita.

Saya selalu mentafsirkan hidup kita sebagai suami isteri ini sebagai burung. Kita akan membesarkan anak-anak seperti burung membesar anaknya. Si ibu mulanya membuat sayang bertelur kemudian setelah tetas diberi makan dan minum. Apabila anak sudah besar dan sayapnya sudah penuh dan gagah akhirnya ia akan meninggalkan sarang memburuk dan reput.

Begitulah kita sang ibu dan ayah tidak akan terelak dari menerima lumrah dan putaran hukum alam itu. Anak-anak akan membesar sendiri mengikut kuakkan angin dan keinginan mereka. Kita akan ditinggalkan. Apa yang termasuk dalam era ketuaan ini hanya mengiringi doa supaya penerbangan sang anak selamat dan mendapat keberkatan.

Saya sudah mengalami perasaan 'kehilangan' ini apabila akhir tahun lalu anak lelaki sulung saya, Mohd Elham sudah berumah tangga. Bagaimana pun ketiadaannya tidak begitu terasa sangat kerana kami masih berjumpa dan dia akan pulang untuk makanan dan minum bersama isteri. Dalam erti kata lain penerbangannya belum mengapai benua kehidupannya sendiri.

Alhamdulilah majlis pertunangan semalam berlangsung dengan selamat dan meriah. Cukuplah sekadar kemampuan kami. Jauh sekali untuk menunjuk tetapi sekadar memenuhi adat istiadat Melayu sebagai membuktikan kita orang Melayu. Apa yang penting dan wajib ialah memenuhi tuntutan agama, itu paling afdal.

Kehadiran tetamu hanya dikalangan sahabat dan adik beradik yang ada di Kuala Lumpur saja. Ibu dan adik beradik di Kelantan hanya sekadar diberi tahu. Untuk memaksa mereka datang rasanya menyusahkan mereka saja. Yang penting mereka meretusi dan mendoakan kebahagiaan kami sekeluarga.

Di kejauhan dan di rantauan ini peranan sahabat dan rakan karib sangat penting. Merekalah yang akan menjadi pengganti kepada rakan dan saudara sendiri. Semalam sahabat saya sdr Md Radzi Mustapa dan Mohd Zaki (abe Ki) menjadi jurucakap bagi pihak keluarga saya. Terima kasih atas kesudian mereka bersama meraikan majlis semalam.

Di sini dipost beberapa keping gambar kenangan yang sempat dirakam oleh dua anak perempuan saya, Erma Esmah dan Eza Elhanis sebagai kenangan dan tatapan penjenguk yang bersetuju dengan saya. [wm.kl. 2:00 pm 01/05/11]










No comments: