Wednesday, July 31, 2013

Fahami Tugas dan Tanggungjawab Utusan

RENCANA KHAS                                                            

Sesuatu yang mengecewakan kalau anggota parti komponen Pakatan Rakyat terutamanya diperingkat pemimpin sendiri tidak memahami peranan dan tanggungjawab Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar lain yang sejiwaraga dan sebusuk dengannya.

Utusan adalah lidah Umno di mana status atau wasilahnya dengan Umno samalah seperti Harakah dengan Pas atau Suara Keadilan dengan PKR dan Roket dengan DAP. Sebagai lidah Umno ia akan bersuara untuk kepentingan Umno, berkerja dan berikhitar juga atas kepentingan Umno. Utusan akan bermaharajalela demi Umno. Ia tidak ada sehama simpati dan keadilan pun kepada pihak dianggap lawannya. Itu sumpahnya.

Sesuai dengan Umno parti sekular, kegiatan media massa seperti Utusan juga tidak mengambil kira soal etika dalam profesyen, adat budaya dan juga syariat agama. Apa yang akhbar itu pentingkan ia tetap menjalankan tugas dan tanggungjawab agar tuannya, Umno terus hidup dan berkuasa. Bagi Utusan seolah-olah tidak ada hari penghisaban dan pembalasan.

Para penggerak Utusan kandati bertaraf profesional, tahu akan falsafah dan matlamat sesebuah akhabr sebagai media awam, tetapi mereka abaikan. Kenapa, kerana mereka juga mahu menumpang hidup bersama parti yang mereka sanjung. Nasib dan masa depan mereka terletak kepada parti berkenaan. Mereka tidak ubah dengan golongan jahil murakab yang yakin dengan mitos kurafah bahawa Umnolah satu-satunya parti yang membela dan membantu mereka.

Bertolak dari kefahaman itu maka mereka akan berusaha bermati-matinya, memeras kudrat dan akal mereka menjaga kepentingan Umno. Ia bukan baru tetapi sikap dan tindakan ini berwarisan. Sejak zaman Utusan diketuai Zainuddin Maidin membawa kepada Johan Jaaffar kemudian Khalid Abdullah hinggalah kini. Kalau pun ada sedikit pengenduran serangan Utusan ke atas pembangkang (Pas) khasnya pada era Johan Jaaffar.

Hakikat ini patut disedari oleh pihak parti lawan Umno terutamanya diperingkat pemimpin. Bahawa Utusan bukan lagi medium rakyat tetapi perkakas usang buat Umno. Utusan bukan lagi agen pembentuk fikiran rakyat agar waras, dinamik dan progresif, tetapi perkakas menyesat dan mengusutkan minda rakyat. Unsur-unsur rasis dan fitnah menjadi mainan kesukaan akhbar berkenaan.

Dalam hubungan ini pemimpin pembangkang terutamanya Pas yang dilihat mudah berlembut dan tinggi daya simpatinya, hendaklah menyedari peranan dan tugas Utusan itu yang menjanakan segala agenda Umno. Utusan akan memastikan apa yang Umno ingin akan tercapai sama ada secara baik atau sebaliknya. Salah satu agenda berterusan dan konsisten Umno, memastikan parti lawannya dalam keadaan kucar kacir, lemah dan meletakkan pengikut dalam keadaan konfius dan immoral. Cara inilah Utusan berkhidmat kepada tuannya, Umno.

Dengan kuasa dan pengaruh massa yang besar ada kepadanya, ia akan pergunakan kesempatan itu sebaik mungkin. Seperti dinyatakan tadi, mereka tidak peduli lagi kepada soal profesional, etika profesyen, akhlak dan adab maupun batasan agama. Usahlah laung dan cananglah akan kebobrokan mereka tidak akan peduli. Apa yang ada dihadapan mereka satu saja, musnah dan kucar-kacirkan pihak musuh. Begitu juga usaha untuk berbaik-baik dan melunakkan keadaan tidak memberi manfaat malahan merugikan. Utusan sebuah akhbar yang degil dan bebal.

Tugas tetap dan wajib Utusan ialah menggayangkan Pas, PKR dan DAP. Tugas ini mencuri lebih 40% muka surat di dalam akhbar berkenaan. Ia tidak ada masa rehat dari terus menyerang parti-parti itu. Kesungguhannya bukan saja membazirkan ruang dengan fitnah dan adu domba tetapi turut mengorbankan nilai edarannya apabila akhbar itu diberi secara percuma. Maruahnya tidak dipedulikan apabila kadar edarannya merudum dari masa ke semasa.

Dua suasana yang selalu digunakan Utusan untuk mengayangkan Pas dan ia sangat dominasi, pertama pada saat berlakunya pilihan raya, sama ada umum atau pilihan raya kecil. Ketika inilah Utusan akan menjadi sebuah akhbar yang tidak lagi siuman. Kedua, pada saat terjadi pemilihan di dalam parti. Masa ini Utusan akan cuba mencampuri pemilihan dan mempengaruhi ahli parti agar mengikut telunjuk mereka. Utusan akan bertindak menjadi tukang tilik untuk memilih pemimpin.

Utusan akan cuba menampakkan dia lebih adil, praktikal berbanding dengan ahli parti dalam membuat pemilihan pemimpin. Mana-mana calon yang dikehendaki akan ditonjolkan berimej baik dan berwibwa. Manakala calon yang tidak disukai, dikira menyusahkannya akan digambarkan sebagai buruk dan kotor dan perlu ditolak.

Dalam hal ini Utusan akan memilih calon-calon yang dilihat sedarhana, lemah prinsip dan tiada jati diri sebagai ahli politik. Kenapa kerana ia mudah dipengaruhi serta dicocok hidung. Ia berlaku di dalam Pas tetapi tidak di dalam DAP kerana Utusan tahu orang Cina mempunyai jati diri yang kuat dan semangat berorganisasi yang teguh. Orang Cina sudah tidak mempercayai sebaris ayat politik pun disiarkan Utusan. Apa yang boleh dilakukan ialah dengan menimbulkan isu-isu agar umum nampak pemilihan atau kongres parti itu tidak adil dan penuh dengan kronisme.

Sekarang ini Pas akan berhadapan dengan muktamar yang melibatkan pemilihan pemimpin. Utusan sudah mulai serta bersiap sedia mencampuri urusan pemilihan Pas. Ini kerja rutin Utusan setiap tiga tahun sekali sejajar dengan tempoh muktamar Pas. Cara Utusan ialah mencatur muktamar agar menurut kehendak mereka. Mereka sudah kenal pasti mana-mana calon yang mudah ditarik hidung untuk ditonjolkan sebagai pemimpin.

Hari ini apa yang dapat disuluh ia sudah pun bermula. Utusan sudah mula capture mana-mana orang Pas atau pemimpin untuk diangkat sebagai pemimpin. Ia sudah melebelkan pemimpin tertentu dengan berbagai 'paranoid'. Salah satu isu dimainkan hari ini ialah isu Syiah. Utusan cuba melesetkan pemimpin tertentu dengan pengaruh Syiah.

Utusan tidak berani menuduh secara langsung. Tetapi ia menyebut secara tidak langsung dengan memetik sumber kabur dari Pas guna memberi isyarat kepada orang-orang Pas kononnya si anu menganuti faham Syiah dan sebagainya. Kerja busuk dan Yahudi Utusan ini tidak anih. Kerana ia kerja rutin. Dalam pemilihan tiga tahun lalu Utusan dan media sejiwa-raga dan sebusuk dengannya membangkitkan isu pertembungan dua puak di dalam Pas; Erdogan dan Ulamak.

Bagi Utusan kumpulan Erdogan adalah kumpulan yang enggan menjalin kerjasama dengan Umno tetapi bersekongkol dengan Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai seorang liberal dan mengamalkan kepelbagaian kepercayaan agama, (pluralisme). Bagaimana pun isu Erdogan tidak membawa banyak kejayaan kepada Utusan apabila calon yang menjadi anak emasnya tewas dalam pertandingan jawatan tertinggi.

Pun begitu kerana halakan (hasutan) Utusan calon berkenaan akhirnya mengambil sikap berjauhan dengan Pas dan terus memperjuangkan idealisme yang dituang dan diludahkan Utusan ke dalam kepalanya apabila gagal dalam pertewasan. Al hasilnya Pas sedikit sebanyak terjejas dengan campur tangan akhbar berkenaan. Setidak-tidaknya hilang seorang ahli yang dianggap ustaz.

Hendaknya semua ahli Pas terutamanya mereka yang akan menjadi perwakilan dimandatkan ahli peringkat kawasan memahami peranan dan jarum halus dimainkan Utusan ini. Percaya dan yakinlah ia tidak membawa kebaikan kepada Pas melainkan keburukan dan keadaan yang tidak tenteram di dalam Pas. Utusan tidak lebih dari sebuah media atau seekor syaitan dikenali dalam konteks politik Pas. [wm.kl.10:21 pm 30/07/13]

2 comments:

PokAmid said...

"Dalam hal ini Utusan akan memilih calon-calon yang dilihat sedarhana, lemah prinsip dan tiada jati diri sebagai ahli politik." Ambo setuju sangat2 hal ini. Yang ambo nampak, puak berpendidikan agama dalam PAS suka sangat bila diminta pendapat berkenaan satu-satu hal yang kemudian di spin oleh utusan. Pesan ambo, sudah-sudah la berkawan dgn utusan tu!

Unknown said...

Hanya orang-orang PAS yang otaknya cacat sahaja yang membaca Utusex.