SESUDAH SUBUH                                                                                

Kenyataan Ketua Penerangan Pas Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa tidak ada kepimpinan tertinggi Pas yang terlibat dalam ajaran Syiah hendaklah diterima secara terbuka dan ikhlas semua orang sebagai satu penegasan oleh Pas bahawa tidak ada mana-mana pemimpinnya terlibat dengan fahaman Syiah.
Tuan Ibrahim Tuan Man

Kenyataan itu hendaklah diterima bukan saja oleh musuh Pas (baca Umno) yang sengaja mahu menggunakan isu Syiah sebagai 'kapak' membela dan mencaing-caingkan Pas yang bertujuan melemahkan perpaduan Pas, tetapi juga sesetengah pihak dan individu di dalam Pas sendiri.

Kalau Umno menggunakan isu Syiah seoptimumnya untuk melemahkan Pas tidaklah pelik kerana Umno kini dalam keadaan lemah. Sambutan dan kepercayaan generasi baru kepada Pas benar-benar membuat Umno sakit kepala. Justeru parti itu harus mencari helah atau pun modal baru bagaimana hendak melemahkan Pas. 

Isu Syiah ialah satu senjata yang ampuh buat masa ini. Perkembangan di Timur Tengah khasnya di Syaria yang dikaitkan dengan fahaman Syiah digunakan kesempatan sebaik mungkin. Pakar-pakar strategi dan tektik perang Umno cukup berketrampilan di dalam hal ini. Kebetulan pula perang secara psikologi ini gagal difahami dan dimengerti sesetengah orang Pas. Orang Pas yang memahami politik secara literal mudah menelan joran yang dicampak musuh. 

Akhir-akhir ini ada kecenderungan di kalangan Pas khasnya para "calo-calo" politik bagi golongan tertentu syok bermain dengan isu Syiah dengan menaik turunkan dalam you tube, catatan dalam blog atau facebook. Walaupun sasaran tidak jelas tetapi cara komen-komen dan ulasan mengenai bahaya Syiah seakan ditunding dan 'disenehkan' kepada orang tertentu di dalam Pas.

Sejujurnya kalau ada mana-mana pihak di dalam Pas ingin membuka lembaran baru di dalam Pas dengan menempatkan golongan mereka disemua tempat di dalam Pas - untuk menguasai Pas tetapi bertindaklah secara terhormat dan Islami tanpa menggunakan isu-isu agama dan akidah seperti Syiah. Di sini bukan bermakna fahaman Syiah tidak dibimbangi tetapi apabila Pas sendiri bermain dan 'lacak' dengan isu itu ia memudahkan pihak musuh Pas untuk mengiyakan mengenai perkara itu.

Musuh Pas hanya akan menangguh di air keruh mengenai perkara ini. Mereka akan menggunakan kenyataan dan kecaman dari mulut orang Pas untuk mengucar-kacirkan Pas. Saya tidak mahu mengatakan sikap demikian adalah talibarut Umno tetapi ke situlah yang boleh disuluh kelak. Umno akan mendapat laba dari perbuatan seperti itu tanpa memberi apa-apa upah. 

Masalah Syiah dan kaitan dengan Pas ini harus difahami sebaik mungkin. Kena belajar juga sejarah masa lalu Pas yang telah dilesetkan dengan berbagai unsur dan anasir menodai parti berkenaan. Sebelum ini Pas digambarkan sebagai parti Islam melampau dengan mengkafirkan Umno. Pas juga digelar sebagai pengganas malahan Pas pernah diucapkan ianya lebih bahaya dari komunis.

Pas juga dilebelkan sebagai ekstrmis dan pelampau agama. Ulama-ulama Pas ditohmohan sebagai pemecah ummah dan pembawa ajaran sesat. Malahan bermacam-macam lagi cercaan dari sudut agama dilemparkan kepada Pas. 

Perlebelan dan gelaran itu semua adalah untuk memusnahkan Pas. Begitu juga dengan isu Syiah ini adalah satu lagi elemen untuk memburukkan Pas. Sebenarnya pengkaitan Pas dengan Syiah ini bukan perkara baru, sebelum ini pun sudah timbul. Satu masa dulu gerakan dakwah diharamkan, Darul Arqam menjadi juara menghentam Pas kerana ada kaitan dengan isu Syiah. Pusat Islam ketika itu kini Jakim memberi ruang cukup besar kepada jemaah Arqam untuk menyerang Pas dengan isu Syiah. 

Harus dipelajari apakah yang diperolehi Arqam dari pertolongan itu, Pusat Islamlah juga yang kemudian mengodamnya. Begitulah kelak bakal diterima oleh mereka yang menjadi alat kepada mana-mana pihak untuk hentam kromo sesama sendiri.

Kenapa ia menjadi 'jeruh' (kerap dan acap) kini ialah kerana Pas bakal bermuktamar dan memilih barisan kepimpinan November nanti. Mereka yang tidak mempunyai kredibiliti dalam politik dan idealisme sebagai pemimpin akan menjadikan isu berkenaan untuk mempamirkan mereka kudus dan al ulama ahli sunnah wal jemaah yang waruk dan murni akidah, sedangkan setengahnya hanya ulama dari segi janggut dan jambang saja.

Benar seperti mana jelas Tuan Ibrahim, tindakan beberapa pemimpin Pas berhubung dengan negara berfahaman Syiah ia tidak membuktikan pemimpin Pas terlibat menganut sama ajaran berkenaan. Beliau membuat andaian kalaulah dengan cara begitu Pas hendak disangkutkan dengan fahaman Syiah, bagaimana pula dengan pemimpin kerajaan sendiri yang pernah mengunjungi ke negara-negara yang mengamalkan politik Yahudi dan komunisme. Apakah mereka boleh dianggap sebagai penganut agama Yahudi atau berfahaman komunisme? Tidak?

Sekali lagi ditegaskan isu Syiah dan Pas hendaklah dihentikan terutama dari kalangan individu Pas sendiri. Kalau pun ada penularan atau tanda-tanda Pas cuba menerima fahaman itu atasi dengan baik dan semangat kepartian yang berlandaskan al Quran dan Hadith. Quran dan hadith bukan hanya untuk dibaca semasa menyampaikan kuliyah agama selepas itu dibayar seratus dua, tetapi diamalkan. 

Pas ada perlembagaan dan Pas juga ada Dewan Syura Ulama. Soal-soal keagamaan dan fahaman Syiah ini biarlah anggota dewan berkenaan bersuara, bukan 'calo-calo' politik orang atau kumpulan tertentu yang merasakan mereka pewaris tab'in ahli sunnah wal jemaah. Sudah sampai masanya Pas mengambil disiplin kepada mana-mana ahlinya yang sengaja menimbulkan isu ini.

Lebih penting mengetahui akan niat dan tujuan Umno yang membesar-besarkan perkara ini menerusi media massa PB mereka untuk kelabaannya. [wm.kl.6:06 am 29/07/13]