Tuesday, July 30, 2013

Noh Omar Perlu Kurangkan Sikit Bengkengnya

RENUNGAN ZOHOR                                                                             

Dulu kalau sebut harimau atau singa semua orang takut kerana binatang ini sangat bengkeng dan ganas. Kuku dan taringnya tajam berkilau. Tidak boleh salah sikit akan dibaham dan dikekahnya binatang lain. Tetapi hari ini, dunia sudah berubah... kebengkengan kedua binatang ini juga sudah berkurangan. Mereka tidak dapat boleh bengkeng sangat kerana habibat mereka sudah terusik. Mereka perlu banyak berkompromi dengan perubahan zaman.

Kalau mereka terus dengan perangai bengkeng, ibarat kata akan kelaparanlah mereka. Tidak ada siapa yang ingin berkongsi dan bersimpati dengan mereka. Banyak binatang yang menjadi mangsa mereka sudah pupus ataupun melarikan diri meninggal hutan belantara kerana sudah diroboh. Jadi makanan mereka sudah tidak banyak lagi.

Kalau harimau dan singa boleh cool down dan mengurangkan kebengisan dan kebengkengannya apalah tidak dengan bekas menteri, Noh Omar. Rasanya Noh juga boleh kurang bengkeng dan tidak bengis sangat. Walaupun kita baru dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, jawatan itu bukan lesen untuk menjadi bengkeng dan cengeng.

Saya merujuk ini kepada komen Noh terhadap apa yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Pristana berhubung dengan kejadian penyiaran gambar budak-budak India makan nasi di bilik persalinan dan bukan di kantin. Apa yang berlaku itu salah teknik saja dan ia tidak besar sangat. Ia bukan isu negara.

Gara-gara kemasukan gambar itu dalam facebook, Noh mendesak agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan kepada orang yang memuat turunkan gambar berkenaan dalam facebook. Katanya kalau perlu dakwa mereka di bawah Akta Hasutan. Aduh... sikit-sikit nak guna akta itu inilah yang menyebabkan orang makin marah dan murih dengan Umno.

Kalau pun benar ada ibubapa yang terlanjur dan bersalah tidak payah heret menggunakan tali besi bernama Akta Hasutan itu. Kejam sangat bunyinya. Panggil saja ibubapa atau sesiapa terlibat jelaskan dengan baik. Sebagai manusia ibubapa itu akan dengar dan menerima penjelasan. Noh perlu tahu sejarah penggubalan akta hasutan adalah untuk tangkap kominis dan subversif, bukannya untuk diguna mengheret ibubapa yang bermain dengan facebook.

Kalau pihak pembangkang kata kerajaan menyalahgunakan akta hasutan marah.

Biar cerdiklah sikit dan tunjukkan kita sebagai pemimpin yang terbuka, tenang dan pro. Jangan salah sikit nak didakwa dibawah akta itu. Sebagai seorang lawyer (walaupun tidak praktis), Noh mesti tahu akan semangat dan keperluan akta berkenaan.

Sebenarnya hari pertama lagi apabila melihat gambar murid India makan di 'tandas' itu saya tidak setuju. Kenapa harus dipostkan gambar seperti itu. Tetapi tindakan itu tidak boleh dimarahi kerana facebook atau media sosial kini adalah menjadi medan atau perantaran menyampai maklumat terbaik. Iya juga sangat berkenaan dan pantas diberi respons.

Keberkesanannya jelas apabila setelah gambar itu dipostkan, pihak kementerian pendidikan sendiri memberi perhatian. Muhyiddin Yassin sendiri mengarah pegawai kementerian menyiasatnya apa yang dilaporkan itu. Saya yakin kalau tidak kerana gambar itu, ia tidak akan dipedulikan. Nama sekolah itu pun tidak akan ada dalam kepala Muhyiddin.

Untungnya dengan penyiaran gambar itu kerajaan telah memberi peruntukan untuk membesar dan menyudahkan kantin sekolah itu. Ini hikmat dan rahmatnya.

Noh sendiri khabarnya bersetuju untuk memberi sumbangan RM20,000 untuk pembesaran kantin. (Jangan janji saja) Nah, itulah kesan daripada posting gambar berkenaan. Mungkin walaupun sekolah itu terletak dalam Selangor, Noh tidak akan mengetahui masalahnya kalau bukan kerana gambar-gambar budak India yang makan di tandas itu disiarkan. Selepas ini eloklah kalau ada apa-apa kejadian menyolok mata atau kejadian tidak menggambarkan keadaan persekolahan dipostkan dalam media sosial.

Kepada Noh bin Omar cukuplah jangan bengkeng sangat. Jangan melepaskan kemarahan dan kemurihan kerana Selangor tidak dapat dirampas kepada ibubapa murid sekolah berkenaan. Sebaiknya apa yang berlaku jadikan iktibar. Semua pihak harus menyelesaikan isu dengan baik. Malu kat orang weh... Apa kata kalau orang Amerika tengok, mereka akan ketawa cara kita bertindak.

Begitu juga ibubapa bukan saja di sekolah itu tetapi di tempat-tempat lain juga sebelum merakam sesuatu dan dimuatkan dalam facebook fikir dulu sebelum berbuat apakah implikasinya. Seeloknya sebelum terus membuat pengeposan hubungi dulu pihak sekolah atau bertanya kepada mana-mana pihak kedudukan sebenar sesuatu perkara itu. Apabila apa yang dibawa tidak diendahkan barulah dibuat posting. [wm.kl.2:35 pm 30/07/13]


Post a Comment