Tuesday, August 13, 2013

Melawat Kebun Getah Ibu

CORETAN RAYA                                                                                    

Tahun ini saya beraya sakan sehingga tidak mengisi blog beberapa hari. Tidak pernah saya berada di kampung lebih dua hari atau dua malam. Paling lama berada di kampung dan tidur rumah ibu satu malam, lepas itu bergerak untuk pulang ke ibu kota. Tetapi kali ini lebih dua malam dan dua hari. Rekod. Mungkin kerana kebetulan raya tahun ini jatuh pada musim cuti sekolah.

Pohon getah kebun ibu hijau menjulang langit.
Bila lama duduk kat kampung dan kampung pula 'buta' internet banyaklah masa terbuang begitu saja. Dua tiga hari lalu saya lepaskan begitu saja kejadian dan peristiwa tanpa mengulasnya. Saya percaya penjengok blog saya dapat mengikut segala peristiwa dan berita raya dari laporan dan ulasan blog member lain.

Masa di kampung saya ambil peluang untuk round kampung dan menziarahi sanak saudara. Berjumpa dengan rakan-rakan sepermainan, bertanya khabar orang itu dan orang ini. Untuk melepas kebuntuan, saya round dan pusing di bendang padi, melihat sungai atau tasik tempat mandi manda di zaman kecil dulu. Semuanya sudah berubah mengikut edaran masa.

(Saya suka berbuat begitu walaupun ada sesetengah kita sesudah tahu mandi air paip dan bercahayakan dengan eletrik, tidur dalam penghawa dingin ...sudah tidak mahu mengenang masa lampau lagi. Seakan kesal dan benci kepada masa lampau. Ada... sebab itu kekawan semasa kecil dulu, hari ini semacam tidak pernah kenal lagi. Sesudah jadi pegawai, berpangkat pengarah dan ketua pengarah, sudah lupa buah petai, buah jering atau pun ubi setelo padahal masa remaja dulu buah-buahan itulah yang menjadi makanan ruji. Cis...)

Tasik di kampung saya sudah banyak terkambus dan menjadi cetek. Sungai juga sudah menjadi tohor. Parit-parit tempat lembu dan kerbau menegur air, atau tempat saya dan rakan pertama kali belajar berenang juga sudah lenyap. Pokok-pokok buahan hutan, kedondong, kerian, kedepir, pedal ayam, samak, sagu dan sebagainya sudah tidak ada lagi. Pastinya juga di tasik Cekati atau tasik Renggas, (dua tasik di kampungku) sudah tidak ada lagi tebakam, selat, puyu, sepat, anak kenjang, baung, bujuk, toman, haruan, patong, seluang dan sebagainya. Semua sudah pupus.. seperti juga penduduk kampung yang semakin mengecil dan berkurangan kerana yang muda berhijrah, yang tua pula satu-satu berangkat ke Kampung Luar, iaini tanah perkuburan di kampungku.

Saat melihat anak getah inilah saya menitis air mata.
Paling merujakan saya, (ah macam tak balik lebih 40 tahun penaka Rejemin Ke-10 Komunis Melayu pula), bendang di kampung saya sudah berubah wajah. Iya tidak menampakkan lagi sebuah bendang padi. Semuanya bertukar menjadi kebuh getah. Bendang tidak akan lagi menguning dengan buah padi yang malu ketundukan ke bumi, tetapi menghijau dengan pokok-pokok getah galak menjolok langit.

Ini kurang hijau kata ibu dia perlukan baja?
Dua bendang yang berkeluasan lebih 2,500 ekar kini sudah menjadi kebuh getah. Kelihatan macam astet getah. Semua penduduk kampung menanam getah. Sindrom getah kini melanda kampung saya dan juga kampung-kampung sekitarnya seperti Tok Deh, Lubuk Gong, Terusan, Bakat dan lain-lain.

Tanah yang dulu rang kini dihijaui pokok getah.

Semua ini berlaku kerana harga getah dua tahun lepas naik melonjak, hingga RM12.00 sekilo. Harga getah mengatasi harga tembau atau pun kelapa sawit. Banyak orang kampung saya terutamanya mereka yang sudah ada berekar tanah menjadi orang kaya baru dengan tiba-tiba. Yang dulu ada motorsikal telah bertukar kepada kereta kancil, yang ada kancil bertukar kepada Myvi. Mana kala taukeh atau tukang beli pok getah dan getah pula dari punya pajero buruk kini sudah ada Hilux atau pun Rexton. Hebat pukulan getah.

Fenomena itu juga tidak terelak ia turut menimpa kepada ibu saya. Tanpa saya sedar dia juga berkebun dan berlandang getah. Kesemua tanah padi miliknya serta peninggalan arwah ayah ditanam dengan getah.

Masa lawatan saya ke bendang untuk mengait nostalgia zaman kanak-kanak, saya terkejut besar melihat kebun getah ibu. Saya tidak percaya sama sekali kalau itu adalah miliknya. Memang sebelum ini dia selalu menyebut-nyebut fasal getah dan sesekali merunggut sendirian mengenai getah. Bercerita yang orang itu dan orang ini semuanya menanam getah.

Lantas itu dia juga menyebut mengenai tanah padi yang ada secomping dua tetapi dibiar menjadi rang dan diselimut rumput jenaras dan janggut keli. Dia ada menyebut mahu memagar tanah dan membuat parit tetapi belanjanya banyak. Saya memahami apa yang dirunggut itu dan tidak melayani ibu memandangkan umurnya sudah lanjut dan tidak pantas lagi untuk bekerja kuat. Cukuplah di zaman mudanya bersusah payah, berjemur panas dan bermandi hujan untuk membesarkan saya bersama berempat beradik. Di hari tua, sesudah anak-anaknya besar panjang dan berumah tangga, memiliki cucu elok dia hanya menjadi pengasuh cucu saja. Begitu fikir saya.

Tetapi tidak bagi ibu saya. Dia tidak betah tinggal di rumah dan tulang empat keratnya terus digerakkan bagaikan mesen buatan German. Apabila saya tanya, "getah ini siapa yang punya, dan yang ini siapa yang punya dan yang di dalam pagar ini siapa yang punya?" Ibu menjawab, "inilah yang mek (ibu) usahakan selama ini. Wang yang sedikit sebanyak 'demo' beri itu di sinilah di simpannya."

Saya teruja besar dan termangu dengan penjelasan itu. Tidak sangka dengan kudrat yang tersisa itu dia masih mampu mengusahakan kebun seluas tujuh ekar dengan kudrat perempuannya. Air mata saya menitis tatkala mendengar penjelasan itu sambil memandang di sekeliling pagar yang kini sudah dihijaui pohon getah setinggi 10 hingga 20 kaki. Menurut ibu dua tahun lagi getah itu akan boleh ditoreh.

Saya mencerita ini bukan bermakna selepas ini ibu saya akan kaya dengan kebun berkenaan. Tetapi apa yang hendak saya coretkan akan kerajinan perempuan bernama seorang ibu. Yang tidak tahu duduk diam dan setiap hari ada-ada sahaja kegiatan yang dijalankan. Tanpa kegigihan itu tidak mungkin kebun getah itu terbina.... inilah menyebabkan saya sebak dan bangga memiliki ibu yang gigih dan senekad itu.

Saya sengaja bawa anak bongsu yang tak pernah pijak sawah.
Selainan itu kenapa saya timbulkan fenomena kebun di kampung saya ini ialah, untuk menjelaskan kalau semua berkerja bersungguh-sungguh dan rajin ia pasti berjaya. Apa yang melanda kampung saya itu juga ia bukan dirancang oleh kerajaaan atau projek kerajaan, tetapi atas usaha penduduk sendiri. Tidak ada apa-apa plan pembangunan pertanian oleh kerajaan, apa lagi bantuan tetapi semuanya atas inisiatif sendiri.

Inilah bentuk pagar kebun getah ibu. Simple.
Kalaulah perkebunan karet (Indonesia panggil karet bagi getah) itu diagendakan oleh kerajaan tentu ia boleh berjaya lebih hebat dari itu. Sudah pasti kalau getah seluas 2,500 ekar itu mendatangkan hasil sepenuhnya ia dapat menampung ekonomi orang kampung.

Seingat saya bendang padi itu mengalami kekosongan (rang) begitu lama, lebih 30 tahun disebabkan masalah pengairan. Masalah ini tidak pernah dihadapai secara serius. Tetapi tidak ada apa-apa perancangan atau inisiatif kerajaan untuk mengusahakannya dengan apa-apa tanaman yang tidak memerlukan air banyak. Seingat saya tidak ada apa-apa planing yang dibuat untuk memajukan tanah berkenaan.

Satu lagi bendang padi yang ditanam dengan getah.
Di sini saya tidak mahu kondem mana-mana kerajaan atau agensi kerajaan khasnya Jabatan Pertanian. Tetapi dengan apa yang berlaku sekarang ini, bendang padi kampung saya bertukar menjadi kebuh getah ternyata tanah itu boleh dimanfaatkan dan sedikit sebanyak mengubah corak kehidupan orang kampung. Dalam kosakata lain orang kampung saya berfikiran lebih cepat dari agensi kerajaan.

Cuma saya nak tanya apakah yang kerajaan lakukan selama ini dalam usaha mengubah nasib rakyat? Tidak terfikir pula oleh saya kerajaan tidak ada kakitangan yang mempunyai idea atau pun perancangan lebih bersistemetik dan berpandangan jauh dari orang kampung saya dalam membantu rakyat? Jabatan pertanian pastinya ada pegawai penyelidik tersendiri tetapi apakah yang telah mereka lakukan untuk memanfaatkan tanah-tanah seperti di kampung saya itu. Ribuan graduan pertanian dan perladangan atau ternakan yang dikeluarkan oleh menara gading ke mana mereka sembamkan ilmu yang dipelajari selama tiga hingga lima tahun itu?

Kenapa kerajaan tidak merancang sesutau mungkin alasannya duit. Saya nak jelaskan orang kampung saya tidak kaya raya, mereka semua miskin. Kenapa mereka boleh buat kebun getah. Jawabnya kerana orang kampung saya yakin dan bersemangat. Pendek cerita mungkin kerajaan dan agensi kerajaan boleh mengambil iktibar dan mencotohi semangat orang kampung saya dalam membina ladang getah bersendiri mengikut skala tanah yang dimiliki. [wm.kl.8:22 pm 13/08/13]

5 comments:

Yadzid7007 said...

Semua cerita yg dicoretkan amat bagus kecuali hanya 2 hari shj sedara Berkesempatan bersama ibu tua cukup menyedihkan...

hanimasra said...

tuan mso,tanah dikampung begitu banyak yang terbiar kerana masalah hak milik..macam mak tuan..mungkin dia ada status hak milik(gran)..ada kesedaran pulak..dia boleh jumpa risda..kalau yang hak milik bertaburan di serata malaya..susah dikesan..maka tanah di kampung itu akan jadi kampung untuk monyet dan babi hutan serta ular dan rimau bermain.

Asrul Sani said...

Hello....mana boleh biarkan orang Melayu jadi kaya bang....Bila orang Melayu miskin selamanya, mereka akan tetap memangkah dacing. Bila sudah senang dan selesa berdikari...kirim salam lah jawabnya kepada UMNO.....

mohd sayuti omar said...

Yazid.. saya balik hampir setiap bulan, bahkan hampir semingu sekali. Hanya tidak berkesempatan untuk meround bendang padi. Sdr wajar merasa sedih dan simpati ... kerana pengetahuan dan maklumat setakat itu saja. Kalau sdr mengikut status di Fb dan blog saya sdr tahu berapa kerap saya pulang ke Kelantan, dan tentu akan menemui ibu.
Hanimasr... ia bergantung kepada kehendak kita. Masalah pertindihan tak jadi masalah, tanah ibu saya juga bertindih gerap beberapa lapis... apa yang dibuat itu menunjukkan masalah pertindihan hanya alasan saja. Ada juga bangsa lain yang baru masuk ke negara ini boleh mengerjakan sawah atau landang, apa maknanya itu? Maknanya di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Wassalam.

imah said...

Tuan MSO,

Sebenarnya memang ada agensi kerajaan yang kerjanya memajukan tanah terbiar sepertimana tanah milik ibu Tuan iaitu Felcra.

Saya adalah pesara Felcra dan pernah bertugas di kawasan sekitar kampung Tuan.

Biasalah bila nak buat sesuatu kemajuan, ada syarat-syarat tertentu antaranya pemilik tanah perlu bersetuju membenarkan Felcra memajukan tanahnya dengan syarat-syarat tertentu.

Bila sebut saja ada syarat kena serahkan pengurusan tanah kepada Felcra, part inilah yang sukar diterima oleh pemilik.

Pemilik kena bersetuju menyerahkan pengurusan (bukan hakmilik) tanah berkenaan kerana untuk memajukan tanah itu Felcra gunakan dana daripada pinjaman bank dunia yang perlu dibayar balik.

Wang bayaran balik itu pula perlu dikutip daripada susu getah yang keluar daripada batang getah daripada tanah itu.

Bila tiba bab inilah kebanyakan pemilik tanah tidak setuju malah sanggup biarkan tanah mereka jadi jelumu babi dan sebagainya.

Walau bagaimana pun di sepanjang jalan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang itu memang ada ladang sawit yang dimajukan oleh Felcra yang dulunya pada musim hujan boleh main bot laju. Begitu juga di Bukit Tandak ada kebun getah yang dimajukan oleh Felcra.

Sekian untuk makluman Tuan MSO